Waima apa pun, ‘orang itu’ harus akur setiap Perdana Menteri mempunyai cara atau ­gayanya sendiri dalam melakukan sesuatu. Tiada dua Perdana Menteri menangani sesuatu isu dengan cara yang sama.

Di negara ini, Perdana Menteri menikmati kedudukan yang sa­ngat disegani. Beliau mempunyai kuasa mutlak walaupun beliau tidak ditandakan secara nyata oleh peruntukan-peruntukan perundangan bagi mencerminkan keistimewaan ini.

Bagi situasi di Malaysia, ia suatu hakikat bahawa permintaan PM adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan. Berbeza dengan timbalannya, TPM dan seluruh ahli Kabinet, beliau tidak boleh dipecat dengan apa cara sekalipun melainkan melalui undi tidak percaya yang diluluskan oleh soko­ngan ramai ahli Dewan Rakyat.

Seluruh ahli Kabinet termasuk timbalannya, berkhidmat di atas perkenan PM walaupun dalam bahasa perlembagaan mereka berkhidmat di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ini seperti yang terbukti dalam pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998, fungsi Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata adat resam dari sudut Perlembagaan iaitu ‘menerima dan bertindak atas nasihat’ di bawah Perlembagaan.

Kedudukan ini adalah sama di semua negeri bersultan ter­utamanya selepas pindaan Per­lembagaan pada 1993 yang me­nyebabkan Sultan-sultan kehilangan kekebalan undang-undang mereka.

Penerimaan oleh masyarakat terhadap Perdana Menteri adalah satu keajaiban dalam struktur sosial negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Seorang pelawat yang kali pertama ke negara ini sudah tentu kagum dengan Perdana Menteri yang dapat memimpin sebuah negara berbilang etnik dan di dalam satu sistem yang berfungsi dengan baik dan aman damai.

Rakyat datang kepada Perdana Menteri untuk bantuan. Selepas ceramah politik, sebelum mesyua­rat atau di mana-mana jua tempat yang membolehkan mereka berinteraksi dengan beliau.

Pada masa-masa tertentu, beliau juga membantu dalam per­telingkahan yang berlanjutan un­tuk memutuskan pihak mana se­patutnya mendapat saham terkemuka di dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Mereka datang kepada beliau untuk pekerjaan, peluang-­peluang atau semata-mata untuk membuat aduan terhadap apa-apa dan sesiapa. Beliau bercakap kepada orang kenamaan dan petani. Beliau juga menerima beratus-ratus surat sehari termasuk surat layang atau surat yang tidak berkenaan yang melahirkan gosip, fitnah dan spekulasi terhadap orang tertentu. Ada yang mengkritik beliau atas dasar-dasar dan keputusan beliau.

Sesetengah pihak menunggu di pintu masuk kediaman beliau pada tengah-tengah malam dan mengikut beliau ke rumah. Di sana mereka mencurahkan ­perasaan hati mereka. Kebiasaannya ia atas sebab-sebab peribadi.

Apabila beliau berjabat ta­ngan dengan anda, beliau mungkin tersenyum tetapi fikirannya bo­leh melayang ke tempat lain memikirkan langkah seterusnya atau hasil daripada keputusan politik yang lalu.

Pergerakan minda seorang Perdana Menteri tidak pernah ber­akhir dan tidak pernah bermula. Hidup beliau benar-benar umpama roda di dalam roda. Roda luaran berpusing mengikut arah jam tetapi pada masa sama, dalaman boleh berpusing ke arah yang lain - merancang laluan untuk perkara yang akan datang.

Tiada sesiapa mendapat kemenangan politik ‘paling bermaruah dan bergaya’ hanya apabila debatnya dengan seseorang dibatalkan. Dan tiada sesiapa boleh disifatkan sebagai ‘pengulas politik tersohor di abad ini’ hanya kerana ‘gelaran sinikal’ itu diberikan setelah dia mempunyai pertentangan pendapat dengan si pelabel.