Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PELAJAR  Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin membaik pulih
PELAJAR Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin membaik pulih katil yang rosak semasa mengikuti program kemasyarakatan di Rumah Ehsan, Dungun, Terengganu, pada 14 Mac lalu. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 baharu sahaja diumumkan dan yang pastinya bagi pelajar yang memperoleh gred pencapaian cemerlang sedang bergembira. Tidak kurang juga ada yang dilanda kemurungan dan duka lara tatkala menatap kertas slip keputusan yang tidak seperti yang diimpikan. Ini semua sudah menjadi lumrah setiap kali hari keputusan peperiksaan diumumkan.

Daripada 434,535 calon yang menduduki SPM tahun lalu, seramai 8,647 calon berjaya memperoleh keputusan Gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki. Angka itu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, yang mana seramai 9,721 mencapai Gred A semua mata pelajaran. Meskipun dari segi jumlah calon beroleh Gred A semua mata pelajaran menurun, tetapi ditinjau dari sudut pencapaian Gred Purata Nasional(GPN) bagi semua mata pelajaran me­nunjukkan sebaliknya apabila GPN mencatat 5.10 berbanding 2015 dengan GPN 5.15.

Hakikat itu menjelaskan kepada kita bahawa prestasi pelajar secara keseluruhan adalah lebih baik berbanding 2015. Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof. Kata beliau, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan prestasi pencapaian pelajar adalah lebih baik pada kali ini.

Tahniah penulis ucapkan kepada semua pelajar yang berjaya memperoleh gred pencapaian terbaik. Tidak lupa juga kita sa­ngat berbangga atas jasa dan bakti setiap warga pendidik yang saban hari bertungkus-lumus berusaha menjadikan setiap insan pelajarnya berjaya dalam peperiksaan. Demikian juga kita sangat berbangga dengan sikap cakna yang mendalam para ibu bapa yang bersama-sama pihak sekolah dalam mencapai misi dan visi sekolah.

Sesungguhnya, gabungan usa­ha bersepadu ketiga-tiga pihak, guru, ibu bapa dan pelajar yang akan menghasilkan impak positif seperti mana yang dicita-citakan. Kita juga sangat yakin bahawa situasi kerjasama erat seperti ini akan terus menerus terjalin demi menjayakan kegemilangan pendidikan buat anak-anak kita.

Nampaknya masih ada yang duduk di takuk lama apabila memperkatakan tentang keputusan peperiksaan. Maksud penulis, kita lebih nampak dan terarah untuk membincangkan hal kecemerlangan dari segi pencapaian gred terbaik, hinggakan lupa masih ramai pelajar yang kurang bernasib baik dari segi gred prestasinya. Seharusnya, golongan seperti ini tidak kita pinggirkan kerana jumlah mereka jauh lebih besar berbanding dengan mereka yang memperoleh gred A mahupun B dalam peperiksaan.

Ke mana mereka selepas SPM nanti? Kepada ibu bapa yang anak-anak mereka yang kurang cemerlang dalam SPM, ini tidaklah bermakna yang anak-anak mereka sudah tertutup pintu untuk terus berjaya dalam pelajaran. Seharusnya semua me­nyedari bahawa bidang pendidikan dan pengajian selepas SPM begitu luas dan sentiasa terbuka.

Antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang selama ini dianggap kelas kedua berbanding dengan Universiti Awam (UA) adalah politeknik. Realitinya, politeknik tidak sebagaimana dianggap oleh sebahagian ibu bapa mahupun pelajar, sebaliknya bidang pe­ngajian di politeknik adalah antara yang bakal menjanjikan masa depan yang jauh lebih baik berbanding lulusan IPT lain.

Ini kerana bidang pengajian di politeknik lebih menjurus kepada bidang kemahiran teknik dan vokasional(TVET), sekali gus setiap warga pelajarnya dibimbing dan diasuh menepati piawai pasaran kerjaya industri negara. Dengan dasar dan hasrat besar negara yang mahu menyaksikan bidang pendidikan berteraskan TVET dipacu sebagai aliran pengajian utama negara, maka sewajarnya menyambung pelajaran di politeknik tidak menimbulkan rasa malu di hati ibu bapa dan anak-anak mereka.

Sesungguhnya pendidikan TVET bakal melahirkan insan pelajar yang serba mahir dan teknik dan vokasional dan peluang untuk memperoleh kerjaya masa depan tidak sesukar bidang pengajian lain. Hanya sikap segelintir masyarakat kita yang lebih teruja sehingga beranggapan seandainya anak-anak mereka sekadar dapat menyambung pelajaran di politeknik, maka anak mereka tidak sehebat anak-anak jiran atau rakan-rakan lain yang dapat ke UA. Sikap seumpama ini sewajarnya dikikis dan dinyahkan sejauh-jauhnya.

Sebagai seorang warga kerja akademik di Politeknik Muadzam Shah (PMS), penulis sendiri me­nyaksikan bahawa pelajar yang berada di kampus politeknik adalah insan yang sangat beruntung. Beruntung kerana mereka banyak didedahkan dengan kemahiran yang menepati cita rasa kehendak industri dan pasaran kerja. Selain itu, hubungan erat antara politeknik dengan pihak industri juga telah sekian lama menghasilkan manfaat besar kepada kedua-dua pihak, baik kepada pelajar politeknik mahupun di pihak industri.

Ada dalam kalangan pelajar PMS dalam jurusan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang berjaya mendapat peluang kerja selepas sahaja selesai temuduga dilangsungkan. Baru-baru ini penulis ditugaskan untuk membawa seramai 16 pelajar Kejuruteraan Mekanikal untuk menghadiri sesi temuduga de­ngan Syarikat Sunningdale Tech (M) Sdn. Bhd. di Kota Tinggi, Johor. Alhamdulillah kesemua mereka mendapat khabar gembira pada hari yang sama.

Ini membuktikan pelajar lulusan politeknik sangat diyakini oleh majikan industri. Selain memperoleh peluang kerjaya yang lebih meluas khususnya dalam industri, lulusan politeknik juga memperoleh satu lagi laluan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah. UTeM, Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Raja, Johor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), dan Unimap, Perlis adalah antara UA yang menawarkan ruang dan peluang seluas-luas buat graduan politeknik menyambung ke peringkat ijazah

Penulis mengharapkan tanggapan serong dan negatif yang selama ini masih melekat di hati pelajar dan ibu bapa bahawa pendidikan di politeknik itu kurang nilai berbanding dengan IPT lain sewajarnya dihakis sehabis-habisnya. Ini kerana tidak rugi belajar di politeknik sebaliknya ia menjanjikan peluang kerjaya yang amat cerah untuk kehidupan masa depan.

PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain