Tetapi berbeza ketika ini bukan sahaja dua kuasa besar ini yang terbabit, penglibatan United Kingdom (UK), Perancis, Australia dan paling terkini Jepun telah merumitkan lagi isu ini. Pembabitan kuasa asing ini amat membimbangkan kerana ia terkait dengan kehadiran kapal perang di perairan yang bukan sahaja kritikal untuk kapal dagang tetapi juga amat sensitif dari segi status geopolitik.

Sebab itu juga kebimbangan kehadiran kapal perang asing di perairan Laut China Selatan telah ditegaskan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau melakukan lawatan rasmi ke Jepun tiga minggu lepas. Kenyataan tersebut bukan hanya ditujukan kepada AS dan China sahaja tetapi juga sekutu AS iaitu UK, Perancis, Australia serta Jepun.

Tidak syak lagi kehadiran kapal perang sekutu AS adalah sebagai tanda sokongan terhadap strategi AS yang sentiasa mencabar tindak- tanduk China terutama sekali terhadap aktiviti penambakan beberapa terumbu di Spratly dan Paracel. Cabaran terhadap isu penambakan terumbu dilaksanakan dengan mengguna kapal perang untuk memasuki kawasan 12 batu nautika yang didakwa oleh China sebagai perairan kedaulatan terumbu yang ditambak manakala AS mendakwa terumbu tersebut hanya mempunyai kedaulatan 50 meter sahaja.

Menjadi tanda tanya apakah dasar luar Malaysia berkaitan Laut China Selatan setelah peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ke Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum ke 14 baru-baru ini. Ini adalah kerana hakikatnya jika dikaitkan dengan faktor geopolitik AS dan China, pandangan Dr. Mahathir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Luar Datuk Saifudin Abdullah sudah pasti berbeza dengan rakan sejawat mereka dalam kerajaan BN sebelum ini.

Umpamanya Dr. Mahathir telah menyuarakan bahawa Malaysia akan mengkaji semula Kerangka Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan yang sedang dirunding antara China dan ASEAN. Perlu diberi perhatian kerangka tersebut telah pun dipersetujui oleh ASEAN dan China pada Ogos 2017 dan rundingan pertama telah pun bermula November lepas.

Menarik juga ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai kemelut Laut China Selatan, Mohamad Sabu telah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai isu penempatan aset ketenteraan di perairan tersebut dan secara spesifik merujuk kepada tindakan yang dilakukan China. “Sesungguhpun begitu Malaysia mengambil berat berkaitan peningkatan ketenteraan atau militarization di terumbu-terumbu yang diduduki oleh pihak China. Kehadiran aset-aset ketenteraan China ini menyebabkan dilema keselamatan dalam kalangan negara-negara pesisir dan negara-negara berkepentingan di rantai Asia Tenggara,” tegas beliau.

Manakala Saifudin pula tidak menyentuh secara spesifik mengenai Laut China Selatan dalam taklimat sulung beliau di Wisma Putra setelah dilantik menjadi Menteri Luar beberapa hari lepas.

Tetapi hakikatnya adalah tidak syak lagi bakal berlaku perubahan dasar luar yang agak drastik hal berkaitan Laut China Selatan jika diambil kira penegasan awal yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan. Juga jika diambil kira keputusan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengenai dua projek besar yang melibatkan China walaupun tiada kena mengena dengan geopolitik Laut China Selatan, sedikit sebanyak mempamerkan hala tuju dasar luar negara.

Kementerian Kewangan kelmarin menggantung dua projek saluran gas iaitu Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan juga projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Kedua-dua projek ini mempunyai dua kontraktor utama dari China iaitu China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) dan China Communications Construction Company (CCCC). Keputusan Guan Eng adalah bersandarkan kepentingan ekonomi negara tetapi menimbulkan pertanyaan apakah interpretasi dari Beijing pula kerana ECRL mempunyai kepentingan strategik China melalui pendekatan One Belt One Road (OBOR) China.

Begitu jua dengan penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan maritim terbesar iaitu RIMPAC anjuran AS bukan sesuatu yang luar biasa kerana penglibatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah buat sekian lamanya. Tapi latihan RIMPAC 2018 yang sedang berlangsung sehingga hujung bulan Julai ini agak istimewa buat TLDM kerana buat julung kali disertai oleh kapal perang KD Lekiu. Paling menyerlah latihan RIMPAC kali ini sarat dengan isyarat geopolitik kerana tentera laut China tidak diundang dengan alasan AS kurang senang dengan tindak-tanduk China di Laut China Selatan.

Sebab itu dihujahkan pengamalan dasar luar Malaysia bersangkutan dengan kemelut Laut China Selatan diramal bakal berubah jika dinilai beberapa peristiwa yang berlaku semenjak kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Pegangan prinsip Dr. Mahathir adalah begitu ketara berbeza jika hendak dibandingkan dengan tatacara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila berhadapan dengan kuasa besar seperti AS dan China. Begitu jua dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu walaupun baru sebulan menggalas tugas tetapi apabila diajukan soalan mengenai Laut China Selatan, beliau tidak berselindung menyuarakan pendapat beliau. Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan juga dilihat begitu tegas dengan setiap keputusan walaupun membabitkan China.

Bukan sahaja rakyat ternanti-nanti dasar luar negara mengenai Laut China Selatan, malah pemimpin serantau dan global lain juga turut mengambil berat kerana Malaysia adalah antara negara utama dalam kemelut tersebut.

* PENULIS ialah Geostrategist 
di Perdana School and Geospatial Institute Universiti Teknologi Malaysia (UTM).