Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Polemik puak liberal kelirukan al-Quran

AL-QURAN adalah mukjizat yang akan terus terpelihara sehingga
AL-QURAN adalah mukjizat yang akan terus terpelihara sehingga hari kiamat manakala peranan Rasulullah pula adalah untuk memperincikan dan mentafsirkan setiap ayat al-Quran melalui hadis-hadis baginda. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

BARU-BARU ini tular di media sosial tentang kenyataan kontroversi oleh seorang ahli akademik yang berasal dari Indonesia, Dr. Mun’im Sirry dalam seminar Bagaimana Berinteraksi dengan al-Quran yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF) dan G25 di ibu negara pada 20 Ogos lalu.

Kenyataan tersebut berkaitan dakwaan oleh seorang orientalis barat iaitu John Wansbrough bahawa al-Quran tidak mungkin diturunkan kepada masyarakat Mekah dan Madinah yang begitu primitif serta pagan ­memandangkan setiap inti pati dan kandungan yang terdapat dalam al-Quran adalah begitu intelektual, canggih dan berfalsafah.

Atas alasan itu juga menurut Mun’im, Wansbrough kemudian telah mendakwa kitab suci al-Quran telah diturunkan di Mesopotamia, Iraq memandangkan penduduk Mesopotamia sahaja yang mempunyai tahap keintelektualan dan falsafah yang begitu tinggi pada abad keenam dan ketujuh.

Ekoran kenyataan kontroversi tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 25 Ogos lalu menyatakan kekesalan terhadap dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai usaha golongan liberal negara ini untuk cuba mempromosi tafsiran baharu kepada kebenaran kitab suci tersebut. Hakikatnya inilah situasi yang sedang berlaku sekarang.

Golongan liberal negara ini dan di mana-mana negara nampaknya terus berusaha mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam apabila mereka mengemukakan pandangan-pandangan berbentuk polemik terutama yang berkaitan kitab suci al-Quran.

Mereka cuba membuat penelitian semula terhadap al-Quran de­ngan mengambil pelbagai pandangan daripada pihak orientalis barat yang sememangnya diketahui berusaha menghancurkan Islam melalui kajian ilmiah serta akademik khususnya dalam bidang teologi.

Oleh itu, tidak hairanlah se­tiap kali perbandingan dibuat oleh pihak orientalis termasuk pembentangan yang dibuat oleh Mun’im, al-Quran cuba disamakan dengan kitab-kitab agama lain seperti Bible (ada pelbagai versi) dan Vedas (untuk penganut Hindu) yang mana kita sendiri ketahui kitab-kitab tersebut adalah disusun dan dicipta oleh manusia.

Berbanding al-Quran, kitab suci itu adalah kalamullah dan diturunkan dalam bentuk wahyu ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Sehingga hari ini, al-Quran tidak pernah berubah walaupun satu titik huruf. Sebagaimana al-Quran yang diturunkan sebanyak 114 surah lebih 1,430 tahun lalu, begitu jugalah al-Quran yang ada pada hari ini di seluruh dunia.

Jika ada mushaf lain (berbeza dengan mushaf Uthmani) sekali pun seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak terutama jika ada sebarang pertambahan huruf seperti alif dan sebagainya, mushaf itu akan terus tersimpan di muzium untuk tujuan pameran kepada pengunjung dan bukannya untuk dibaca dan diamalkan,

Jangan sesekali kita lupa bahawa pemeliharaan dan penjagaan terhadap al-Quran dijamin oleh Allah SWT sepertimana yang dirakamkan dalam ayat sembilan surah al-Hijr: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Sesungguhnya al-Quran ini kalamullah yang tidak ada langsung campur tangan manusia seperti mana yang berlaku terhadap kitab-kitab agama lain. Al-Quran adalah mukjizat yang akan terus terpelihara sehingga hari kiamat manakala peranan Rasulullah pula adalah untuk memperincikan dan mentafsirkan setiap ayat al-Quran melalui hadis-hadis baginda.

Allah SWT berfirman: ”Dan tidaklah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”-Surah an-Najm ayat dua dan tiga.

Menurut tafsir Ibnu Kathir, ayat tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah tidak mengucapkan sesuatu berdasarkan hawa nafsu dan kepentingan baginda. Sebaliknya Rasulullah hanya mengatakan apa yang diturunkan kepada baginda untuk disampaikan kepada manusia dengan sempurna tanpa penambahan dan pengurangan.

Tokoh ulama tanah air yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam bukunya bertajuk Fiqh al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah jilid pertama pernah menyatakan perjalanan hidup Rasulullah adalah umpama tafsir secara praktikal kepada al-Quran.

Yang pasti, pihak orientalis serta golongan liberal yang melakukan pentafsiran semula al-Quran itu tidak merujuk kepada hadis-hadis Rasulullah sebagai sandaran tetapi menggunakan logik akal semata-mata. Metodologi ini tidak boleh ­diterima kerana hadis Nabi Muhammad adalah dalil naqli kedua selepas al-Quran.

Itu yang membuatkan ha­sil kajian mereka tertolak ­me­­mandangkan atas faktor keupayaan akal manusia yang terbatas. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh memandang isu ini sebelah mata kerana ini tetap boleh memberi kesan kepada akidah umat Islam. Tidak mustahil juga ada di antara umat Islam yang terpe­ngaruh.

Apa pun penulis tetap me­ngucapkan penghargaan kepada Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang sanggup berhadapan dengan golongan liberal ini dalam seminar tersebut dengan memberikan hujah-hujah bernas dalam ­usahanya mempertahankan kesucian al-Quran.

Bagi penulis, perlu ada lebih ramai cendekiawan Islam yang seperti ini. Tidak dinafikan tindakan dalam bentuk undang-udang salah satu cara terbaik.

Namun tidak salah jika lebih ramai ulama dan cendekiawan Islam di negara ini bangkit mematahkan hujah puak-puak li­beral ini dalam bentuk ilmiah demi kesejahteraan Islam tercinta.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain