Perpecahan boleh menyebabkan umat menjadi lemah. Umat Islam sangat lemah menguruskan perbezaan yang terdapat dan kelainan yang terjadi. Mudah putus asa untuk mencari keluar dari sesuatu masalah yang berbangkit. Membina jurang yang terlalu dalam sehingga daya muzakarah menjadi semakin kecil.

Ini menyebabkan orang Islam terus bergantung kepada kekuatan orang lain. Umat Islam tidak menjadi umat penyumbang kepada suatu contoh yang membayangkan toleransi tinggi ke arah membina jalur kebijaksanaan yang menjadi pedoman generasi hari depan. Perbezaan pandangan boleh membawa keruncingan hubungan peribadi. Perbezaan dalam pendekatan boleh mempertajamkan hubungan jemaah dan organisasi. Malah, perbezaan fahaman boleh melahirkan pertentangan yang kekal antara fahaman politik dan kepentingan jemaah.

Umat Islam selalu lupa bahawa banyak pihak sedang memerangkap ke dalam jebaknya. Kita biarkan diri terjebak kerana hati berasa puas dengan melakukan begitu. Padahal umat Islam di mana-mana tidaklah kuat sangat. Kuasa politik berada di persimpangan, kuasa ekonomi masih kecil, merit ilmu dan pendidikan masih di pinggiran. Dalam keadaan tidak kuat, umat Islam masih mampu berpecah dan bertelagah.

Pengungkapan Islam sebagai suatu sistem kepercayaan dan sebagai suatu cara hidup tidak berlaku secara terancang dan terlihat dengan nyata dalam peribadi dan sistem. Usaha ke arah yang makruf dan menghadapi kerenah terhadap kemungkaran kadang-kadang berlaku seiring. Ini menjadikan sesetengah pihak letih melakukan usaha menampal dari yang koyak dan menimbus dari lopak dan lubang.

Orang lain tahu tabiat orang Islam. Tak dapat membezakan di mana isu pokok dan di mana isu furu’ atau ranting. Kadang-kadang isu ranting boleh mencetuskan permusuhan yang tidak ada noktahnya. Kadang-kadang pendapat yang berbeza dan pandangan yang tidak sama tidak dianggap sebagai suatu rahmah. Sebaliknya polemik sia-sia banyak terjadi. Mereka tidak menginsafi sifat saling melengkapi harus berlaku.

Allah tidak mengurniakan seseorang manusia atau sesuatu jemaah sempurna dan lengkap segala-gala. ­Kelebihan yang ada pada setiap orang harus dikongsi de­ngan orang lain. Ilmu yang Allah berikan kepada seseorang itu masih sedikit. Yang sedikit itu kalau dikongsi kepada lain menjadi banyak dan kuat. Malangnya, sedikit ilmu yang ada menjadikan dirinya angkuh dan meremehkan orang lain. Dirinya saja betul orang lain semuanya salah dan bebal.

Dalam al-Quran dituntut supaya pernyataan terhadap kebenaran dilakukan dengan sabar. Watawa saubilhaq watawasaubis sabr menyatakan kebenaran mestilah de­ngan sabar. Tidak harus timbul sikap gopoh dalam kala­ngan kita menyebabkan nafsu dan keinginan jadi tidak terkawal lalu jalan yang paling mudah adalah mengambil pendekatan menghukum dan bermusuh atau cara-cara yang ekstrem dan jumud.

Bila permusuhan terjadi amat susah untuk dileraikan. Ini bakal berkekalan dan membawa kerosakan kepada umat. Fikirkan tentang generasi depan yang menjadikan kita sebagai sumber teladan. Sekiranya kita ada kesabaran dan hemah dalam mengurus konflik dan perbezaan, ia adalah sumber contoh yang bakal diikuti. Jika berlaku sebaliknya, generasi hari ini bakal meneruskan perpecahan yang berlaku dan akhirnya melemahkan kekuatan umat.

Orang yang memilih jalur politik pun tidak terlepas dari amanah dakwah dan tarbiah. Jangan jadikan politik sebagai tempat menimbulkan perseteruan. Jalur dakwah adalah jalur kasih sayang dan belas kasihan. Fikirkan hari depan generasi muda dan kedudukan anggota umat yang tidak senasib seperti kita, tidak saja silat lidah diperlukan tetapi silat hati amat diutamakan.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).