Secara jujur, saya berada di tangga tercorot dalam barisan penulis dan pejuang bahasa Melayu yang hebat di negara ini. Malah, tidak layak untuk duduk sebaris de­ngan pejuang bahasa yang amat saya kagumi. Dengan usia masih setahun jagung dalam penghasilan karya-karya untuk diterbitkan, saya sebenarnya malu mahu mencoret cetusan rasa di dada akhbar yang tersohor ini.

Tetapi, melihatkan polemik tentang kedudukan bahasa Melayu dalam dunia pendidikan yang semakin menggusarkan kebelakangan ini, saya meletakkan diri sebagai pencinta bahasa.

Bahasa Inggeris hanyalah sekadar bahasa. Saya me­ngajar kepada pelajar dengan niat untuk menambah kemahiran berbahasa kedua sebagai satu aset buat mereka. Seringkali, saya ingatkan kepada mereka, “English is only a language.” Ia bukan imej, budaya atau kepercayaan. Ia adalah medium untuk pe­nyampaian maklumat secara lebih meluas, ­memandangkan ia adalah bahasa yang difahami oleh majoriti penduduk dunia.

Ia adalah kemahiran yang mana-mana individu akan mampu menguasainya sekira mereka mempelajarinya. Justeru, saya juga mengutarakan pandangan bahawa kemahiran menuturkan bahasa kedua ini mampu memberikan kelebihan kepada seseorang, walaupun ia tidak semestinya benar ke atas setiap individu.

Majoriti rakyat Malaysia berbangsa Melayu. Bahasa kebangsaan kita adalah bahasa Melayu. Pelajar sekolah rendah juga tahu akan perkara ini. Malah lebih daripada itu, mereka mengucapkan ikrar taat setia saban minggu di perhimpunan sekolah untuk mematuhi keluhuran perlembagaan di dalam bait kata Rukun Negara. Maka, saya yang naïf ini juga tidak pernah sebelum ini menduga bahawa bahasa kebangsaan akan teruk diganyang dan berlakunya perdebatan tidak masuk akal ­mengenainya.

Lebih mendukacitakan apa­bila bahasa Inggeris turut terpalit dengan isu pemartabatan bahasa Melayu. Sebelum tersalah tafsir tentang niat penulisan saya, sejujurnya saya bukan mahu mempertahankan kepentingan bahasa Ing­geris dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Saya hanya melahirkan cetusan rasa dukacita bila mana bahasa kedua itu diangkat lebih tinggi daripada bahasa ibunda, maka ia dibandingkan dengan bahasa Inggeris secara langsung. Sedangkan bahasa kedua lain seperti bahasa Arab dan bahasa Mandarin juga semakin berleluasa penguasaannya dalam sesetengah institusi pengajian di negara ini.

Polemik pemartabatan bahasa Melayu tidak sepatutnya berlaku kerana kita semua serumpun. Siapa pun kita, apa warna kulit, kaum apa pun kita, bahasa apa pun yang dituturkan, sepatutnya tidak membawa kepada pertikaman lidah yang mengguris hati mana-mana pihak. Kita seharusnya menghormati semua kaum dan hak mereka.

Dalam erti kata lain, kita perlu faham pemartabatan bahasa Melayu adalah usaha murni peninggalan nenek moyang kita untuk diwarisi agar mampu bercakap dalam bahasa yang sama supaya bersatu membentuk jiwa Malaysia yang damai. Maka, mengapa terus menjadikan ia ibarat bom jangka yang bakal meruntuhkan perpaduan kita semua?

Ayuh buka mata rakyat Malaysia sekalian. Saya menggunakan bahasa Melayu, bahasa yang kita semua faham. Bahasa yang menyatukan kita selama 60 tahun Malaysia merdeka daripada penjajahan. Bahasa yang menggabungkan lirik lagu Negaraku.

Negaraku,

Tanah tumpahnya darahku,

Rakyat hidup bersatu dan maju,

Rahmat bahagia Tuhan kurniakan,

Raja kita selamat bertakhta.

 

Laungan “Rakyat hidup bersatu dan maju” itu hadir daripada satu bahasa yang kita gunakan selama ini untuk berkomunikasi dalam sebuah rumpun yang kecil. Pergolakan ini seharusnya ditangani secara bijak. Melatah tidak akan memberikan kebaikan buat sesiapa. Malah, kita (para penulis) hanyalah segolongan kecil manusia dalam kelompok jutaan rakyat Malaysia.

Namun, di dada-dada akhbar, majalah dan di premis-premis jualan bahan bacaan, penulisan kita adalah yang terbaik dan tersohor dipamerkan. Mungkin tiada daya buat kita untuk menangani isu negara, tetapi yakin dan percayalah bahawa usaha memartabatkan bahasa Me­layu perlu dibuat lebih giat dan disohorkan kepada dunia agar ia menjadi kekaguman buat rakyat Malaysia dan penduduk dunia. Usah lagi dituding jari mencari salah pihak lain dalam usaha pemartabatan bahasa ibunda ini.

Uar-uarkan kepada semua melalui apa sahaja media yang boleh menyalurkan berita tentang usaha murni ini. Sekiranya kita bersatu, maka isu sebegini akan ditangani secara serius oleh pemimpin negara yang dipilih untuk ­melaksanakan amanah kepada rakyat. Sesungguhnya, mata pena yang digunakan bagi meninta karya, juga adalah mata pena yang memangkah pemimpin impian rakyat.

Semoga cetusan kerdil ini mampu menjentik naluri pembaca agar terus bersatu dan menghentikan polemik bahasa di negara tercinta ini. Semoga terus berjuang, wahai penggiat bahasaku. Yakin dan percaya, usaha murni anda, tiada pernah dipandang sepi oleh pencinta bahasa Melayu seperti saya.

PENULIS ialah Setiausaha Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) Cawangan Kelantan yang juga pensyarah bahasa Inggeris di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Nilam Puri, Kelantan.