Pasukan ini berjaya menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara pada Isnin lalu, dengan Mohd. Nizam berazam untuk mengadakan aktiviti pendakian serupa ke gunung lain selepas ini. Program mendaki Kinabalu ini adalah simbolik kepada susah senang perjalanan empat dekad PNB sejak kelahirannya pada 17 Mac 1978.

Satu lagi pasukan diketuai Naib Presiden Kanan, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi PNB, Aziz Anuar meninjau Pulau Manukan dan Pulau Sapi bersama kumpulan media. Acara ini diselang-seli dengan sesi taklimat mengenai apa yang ada pada PNB Management Services Sdn. Bhd.; PNB Development dan PNB Commercial.

Yang masih melekat di minda tentunya PNB Management Services yang menguruskan perniagaan hospitaliti PNB menerusi PNB Perdana Hotel & Suites On The Park; Kinrara Resort dan Hotel Sri Petaling (semua di Kuala Lumpur); PNB Ilham Resort di Port Dickson, Negeri Sembilan; Hotel Perdana di Kota Bharu, Kelantan; Impian Morib Hotel di Banting, Selangor dan Lanjut Beach & Golf Resort di Kuala Rompin, Pahang.

Lanjut Beach & Golf Resort, dulunya dikenali sebagai D’Lanjut sebelum diambil alih oleh PNB pada 2010 dan menelan belanja RM80 juta untuk membaik pulih serta meningkatkan kemudahan yang ada di situ. Resort ini menarik perhatian saya kerana ia terletak berhampiran Taman Negara Endau-Rompin yang lama sudah disimpan hasrat untuk dijelajah. Dengan tarikan pantai, golf dan taman negara, resort ini pasti jadi tumpuan.

Dalam diam tak diam, PNB Perdana Hotel & Suites On The Park yang ada sebilangan mengingatinya hanya sebagai PNB Darby Park, adalah destinasi penginapan popular terutama bagi pengunjung dari luar Kuala Lumpur.

Bagi warga Lembah Klang, hotel itu dikenali kerana restoran di tingkat 39 bernama The 39 Restaurant. Ia menyediakan pemandangan menghadap Menara Berkembar Petronas yang bergemerlapan sesuai untuk keluarga atau makan malam romantik.

Peluang bersama pasukan media PNB termasuk Naib Presiden Komunikasi, Aimi Aziz memberi ruang untuk menyelami lebih dalam bidang niaga PNB yang bukan sekadar sebagai pengelola Amanah Saham Nasional (ASN).

PNB Development Sdn. Bhd. (PNBD) juga semakin aktif dalam pembangunan hartanah melalui pegangan strategik dalam beberapa buah syarikat.

Hari ini, aset hartanah PNB terdiri daripada bank tanah yang besar dan pelbagai hartanah komersial, termasuk bangunan pejabat, apartmen perkhidmatan, kompleks beli-belah dan kedai-kedai runcit seperti Plaza Damansara dan paling terkini, dua projek hartanah, Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) dan projek perumahan Mawar Indah di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan.

Pada 28 Ogos lalu, anak syarikat PNBD, Seriemas Development Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian jual beli tanah berkeluasan 86 hektar bernilai RM320 juta dengan AREA Group of Companies (AREA) dari Singapura, untuk membangunkan hab perindustrian dan logistik bersepadu sepenuhnya di tanah perindustrian pegangan bebas di The [email protected] Seri Langat, Selangor.

Aspek menarik PNB ini ialah ia turut menyaksikan perubahan pada tampuk pengurusan dengan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengambil alih jawatan pengerusi organisasi pada 1 Julai lalu, yang disifatkan bakal memberi nafas baharu kepada PNB untuk melangkah lebih ke hadapan.

Mujurlah program taklimat PNB bersama media diselang-seli dengan acara riadah meninjau Pulau Manukan dan Sapi, yang hanya kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Jesselton Point di Kota Kinabalu. Kunjungan ke Kundasang juga memberi inspirasi Kinabalu dengan suasana dingin di pergunungan untuk Merrepak hari ini, dengan destinasi mesti singgah Jambatan Tamparuli.

Satu aspek yang pasti, di setiap destinasi tumpuan pelancong, para petugas yang ditemui adalah profesional dalam tugas masing-masing. Semasa mencuba zipline (merentas pulau menggunakan tali), petugas tidak `loyar buruk’ tetapi sopan, malah menekankan aspek keselamatan. Jelas mereka tahu, sedikit sahaja kealpaan boleh mengakibatkan kemalangan dan bila ia berlaku, semua industri pelancongan akan terkena tempias. Paling manang, bosku!

Sebagai seorang daripada pencarum dalam produk saham amanah kelolaan PNB, sememangnya kita mengharapkan kemajuan PNB dalam pengurusan kewangan. Kelahirannya 40 tahun lalu adalah luar biasa dan keberadaannya sehingga kini, adalah manifestasi pemikiran luar biasa bangsa Malaysia.

CAPTION:

MOHD. NIZAM ZAINORDIN dan Aziz Anuar bersama kontinjen pendaki Kinabalu PNB dan media pada majlis sempena ulang tahun ke-40 PNB di Kota Kinabalu pada Isnin lalu. GAMBAR FAIZAL DARUS