Majlis dikenali sebagai Malam Sumbangsih Perdana akan diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, pukul 8 malam.

TP1B yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), kini diuruskan oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang dipengerusikan oleh tokoh korporat negara Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Idea asal tabung ini diilhamkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh kira-kira setahun lalu menerusi satu formula iaitu: 500,000 alumni UiTM x sumbangan RM2,000 seorang = RM1 bilion. (Perlu diingat jumlah alumni UiTM mutakhir ialah kira-kira 640,000 dan akan meningkat menjelang 2020 kepada sejuta orang.)

Cabaran itu dilontarkan kepada PAUiTM. Sebaik sahaja diilhamkan, pengumpulan sumbangan terus diadakan. Namun memandangkan pengurusan kewangan memerlukan satu mekanisme yang telus dan berintegriti maka sebuah badan pemegang amanah ditubuhkan.

Hasilnya sekumpulan alumni tersohor UiTM telah dilantik untuk mengendalikan badan itu.

Mereka terdiri daripada tokoh perbankan Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid, menteri Sabah Datuk Seri Panglima Marsidi Manjun, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Ir. Sahol Abdul Hamid, usahawan Datuk Seri Zainul Azman Datuk Abdul Aziz, bekas menteri, Datuk Seri Ir. Zin Mohamed, tokoh NGO, Datuk Ibrahim Ali, tokoh telekomunikasi, Datuk Seri Shazalli Ramly, dan tokoh korporat, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.

Tokoh industri penerbangan, Datuk Kamarudin Meranun, usahawan minyak dan gas, Datuk Ramli Mohd. Nor, ahli perbankan, Datuk Wan Ismail Wan Jusoh, usahawan pembinaan, Datuk Khay Ibrahim dan Datuk Yahya Jalil, tokoh ekonomi, Datuk Halipah Esa, perunding korporat, Datuk Nik Mohd. Amin serta pengamal komunikasi, Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad, Datuk Poziah Abdul Rahman dan Datuk Ahirudin Attan.

Sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli itu amat luar biasa.

Jelas sekali kesemua mereka begitu komited. Tan Sri Lodin sendiri tidak putus-putus memanggil mesyuarat demi mesyuarat, walaupun dihimpit dengan ruang waktu yang sendat dengan tugasnya.

Semangat untuk menyumbang kepada anak bangsa yang ditunjukkan mereka amat tinggi.

“Saya mahu melihat anak bangsa kita keluar dari kepompong kemiskinan. Itu adalah tanggungjawab tabung ini.

“Kita akan cari mana-mana anak yang sederhana kebolehannya daripada keluarga miskin diberi peluang untuk belajar sehingga ke menara gading. Kita akan asuh dan didik mereka. Kita pilih kanak-kanak daripada keluarga yang tiada seorang pun yang pernah menjejaki menara gading.

“Insya-Allah anak yang kita asuh itu akhirnya dapat membantu mengeluarkan keluarganya daripada kepompong kemiskinan,” jelas beliau, sambil sering mengulangi hasratnya itu semasa mesyuarat lembaga pemegang amanah TP1B.

Hasrat itu akan direalisasikan pada malam itu apabila 10 kanak-kanak di peringkat umur 15 tahun akan dipilih menyertai program itu. Mereka terdiri daripada anak-anak polis, tentera, bomba, miskin bandar, luar bandar, Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. TP1B akan menaja mereka sehingga ke peringkat universiti.

Semasa urusetia sibuk membuat persiapan, sumbangan daripada pelbagai pihak mencurah-curah masuk. Kebanyakannya datang daripada organisasi yang dipimpin oleh alumni UiTM sendiri.

“Saya sudah luluskan RM2.3 juta sumbangan untuk tabung itu,” kata seorang tokoh industri, bekas pelajar UiTM sekitar akhir 70-an sehingga awal 80-an.

Ternyata beliau cukup puas dapat memberi balik kepada anak bangsanya.

Beliau mahu membalas budi kepada institusi yang pernah mendidiknya satu ketika dahulu. Tanpa UiTM atau ITM atau Maktab Mara atau Dewan Latihan RIDA siapalah mereka ini hari ini. Terima kasih kepada para pemimpin kita yang terdahulu. Biarlah kita rahsiakan siapakah penderma budiman itu sehingga ke malam pelancaran itu.

Sumbangan yang diterima amat menggalakkan. Sasaran yang ditetapkan ialah sekitar RM5 juta, namun sasarannya sudah pun melepasi angka tersebut.

Derma juga diterima daripada orang perseorangan, syarikat-syarikat kecil dan besar serta institusi GLC kerajaan sendiri.

Tambah mengagumkan lebih 100 individu alumni UiTM telah menyatakan hasrat untuk menyahut cabaran menderma RM2,000 seorang pada malam itu.

Pada malam yang bertemakan, “Menjejak Akar, Mengenang Budi”, satu acara menarik akan dipersembahkan oleh alumni The UiTM All Stars terdiri daripada pemuzik dan penyanyi profesional dengan gandingan Fakulti Muzik dan Fakulti Seni Persembahan universiti itu. Dijangka 1,200 alumni dan tetamu akan hadir di majlis itu.

Falsafah TP1B cukup murni. Di dalam makalahnya tertera visi berbunyi: Sepakat Kita Membina Anak Bangsa Yang Hebat, Bermaruah, Berilmu dan Membawa Berkat.

Itulah asas Tabung itu. Dengan kuatnya kita kerana sepakat, maka tercapailah misi iaitu untuk menjana dan mengumpul dana sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk tujuan kecemerlangan anak bangsa melalui peningkatan dan pembangunan pendidikan.

Fokus dana akan dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan bantuan melalui: Pendidikan, Kebajikan, Biasiswa dan Penyelidikan Ilmiah.

Itulah juga moto Persatuan Alumni UiTM Malaysia iaitu Bersatu Teguh, Bercerai Roboh. Satu pepatah orang Melayu yang harus dipegang sampai bila-bila kerana mereka yang terdahulu sudah melalui asam dan garamnya.

Akhir sekali, marilah kita berdoa agar hasrat ikhlas dan murni ini mendapat keberkatan-Nya dan diberikan kelancaran. AMIN.

PENULIS ialah Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi TP1B.