Kesesakan jalan raya akan berlaku di mana-mana sahaja terutama pada tarikh 22 hingga 24 Jun dan 27 hingga 28 Jun serta 1 dan 2 Julai ini. PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan kira-kira 1.7 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya tersebut peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding hari biasa. Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KKL) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula menjangka menerima 2.2 juta kenderaan menggunakan jajaran tersebut.

Setiap syarikat konsesi lebuh raya sudah menyediakan pelan dan strategi masing-masing bagi berhadapan dengan limpahan luar biasa jumlah kenderaan di atas jalan raya bagi tempoh tersebut. Kalau dilihat, segala perancangan termasuk pelan luar jangka tidak banyak berbeza dengan pelan yang lepas-lepas. Yang paling popular ialah cadangan waktu perjalanan atau TTA. Pengguna yang mahu balik kampung ke negeri-negeri tertentu diberi cadangan agar bergerak pada sekian-sekian waktu ditetapkan.

Sejauh mana pengguna mengikuti nasihat ini tidak dapat dipastikan. Berdasarkan kesesakan teruk yang berlaku saban tahun, dipercayai ramai pengguna tidak mempedulikan cadangan waktu perjalanan itu. Patuh atau tidak, kesesakan teruk akan tetap berlaku! Bertarung dengan kesesakan melampau sudah menjadi ‘tradisi tahunan’ rakyat Malaysia setiap kali musim perayaan. Tradisi ini menjadikan mereka kental dan mangli. Tidak keterlaluan ada yang menyifatkan sebagai ‘inilah sebahagian daripada keseronokan menyambut hari raya.’

Bagaimanapun dalam banyak strategi dan pendekatan syarikat konsesi lebuh raya untuk mena­ngani kesesakan pada musim hari raya tahun ini, pengumuman PLUS mahu menutup kesemua 134 lorong tambah nilai di plaza tol lebuh raya itu mulai 22 Jun hingga 2 Julai ini dilihat sebagai mengejutkan, tidak kena malah menyusahkan pengguna. Lebih buruk lagi tindakan ini bakal menyebabkan kesesakan berkali ganda lebih teruk. Jangan terkejut jika keadaan sedemikian boleh berlaku berpuluh-puluh kilometer sebelum tiba di plaza tol. Malah situasi yang bakal berlaku tidak jauh bezanya dengan kesesakan akibat kemalangan jalan raya.

Pihak PLUS perlu ingat satu perkara, walaupun kesemua pemandu mempunyai wang tunai di dalam dompet masing-masing, tidak kesemua mereka berkesempatan untuk menambah jumlah wang dalam kad tambah nilai masing-masing. Apatah lagi kepada pengguna yang sekali sekala sahaja menggunakan kad sedemikian. Mereka tidak akan begitu bermurah hati untuk mendepositkan sejumlah wang yang besar ke dalam kad berkenaan. Pengguna lebuh raya PLUS mengharapkan dapat membayar tol di penghujung perjalanan sebagaimana hari-hari biasa. Bagaimanapun situasi yang sama tidak akan berlaku pada tahun ini. Kepada yang tidak cukup deposit kerana tidak sempat menambah nilai, apa penyelesaiannya? Adakah setiap pemandu terlibat dibenarkan melanggar sahaja palang tol elektronik.

PLUS sewajarnya merancang satu kaedah yang memudahkan pengguna lebuh raya itu, bukan menyusahkan. Sepatutnya lebih banyak lorong khas tambah nilai dibuka, bukan menutup ­kesemua kemudahan sedia ada itu. Malah tidak salah untuk musim hari raya ini beberapa lorong khas yang membolehkan pengguna membayar secara tunai dibuka kembali. Ini untuk musim perayaan sahaja.

Apa makna ‘memudahkan’ pengguna jika langkah yang di­perkenalkan terang-terangan menyusahkan. Lihatlah nanti, bukan sedikit yang akan ‘terkena’ akibat penutupan lorong tambah nilai ini. Lagi pun bukan semua pengguna lebuh raya tahu langkah drastik terbaharu ini. Lainlah kalau pemakluman ini sudah diuar-uarkan berbulan-bulan sebelum ini.

Pihak PLUS perlu sedar ­tekanan memandu di lebuh raya ketika ini amat tinggi apatah lagi kalau di musim perayaan. Pemandu banyak menghabiskan masa menekan pedal brek dan minyak, terhincut-hincut, tersedak-sedak membontoti kenderaan lain pada kadar kelajuan yang sangat rendah. Ini belum lagi diambil kira jika berlaku kemalangan kecil, kemalangan besar dan melalui jalan tidak diturap rata. Kewujudan objek-objek asing di tengah-t­e­ngah jalan juga satu lagi cabaran ter­utama serpihan tayar celup kenderaan berat, bongkah kayu, kepi­ngan besi dan lain-lain yang hanya dialihkan jika ada ­aduan.

Itu satu hal, kawasan hentian sebelah, kawasan rehat dan rawat serta stesen minyak penuh sesak sehingga tidak ada ruang untuk meletak kereta. Bertambah buruk jika satu-satu kawasan itu tidak dikawal oleh petugas, sukarelawan atau ahli-ahli Rela. Tidak hairanlah tempat meletak kereta melimpah ruah sehingga memasuki jalan besar lebuh raya. Pengguna tidak ada pilihan, selain meletak kenderaan di tepi lebuh raya yang sibuk dan amat membahayakan. Walaupun pihak konsesi membuka berpuluh-puluh kaun­ter tambahan untuk tambah nilai, tidak semudah itu. Macam mana mahu ke kaunter tambah nilai jika mencari ruang meletak kereta pun sudah memakan masa berjam-jam dan menjadi satu azab!

Memang wajar beberapa persatuan pengguna membantah pe­ngumuman menutup lorong tambah nilai itu. Langkah itu tidak sedikitpun membantu pengguna, menyusahkan lagi adalah. Walaupun langkah tersebut dilihat ‘sangat murni,’ ada juga beberapa ‘panda­ngan nakal’ yang melihat tindakan itu sebagai strategi terselindung perniagaan yang mahu mengutip seberapa banyak deposit pengguna walaupun mereka belumpun lagi memasuki lebuh raya!