Contoh yang sering digunakan oleh pendukung fahaman ber­kenaan bagi menguatkan hujah mereka adalah usaha untuk mentakrif Tuhan adalah seperti sekumpulan orang buta yang diminta untuk meraba seekor gajah lalu menceritakan apakah binatang itu.

Orang buta pertama meraba belalai haiwan itu dan menyatakan gajah seperti ular, orang buta kedua yang meraba telinga gajah menyifatkan binatang berkenaan umpama kipas angin besar dan orang buta ketiga meraba kaki dan menggambarkan gajah se­perti sebatang pokok.

Seperti manusia yang mempunyai pengetahuan terhad me­ngenai Tuhan, tiada mana-mana orang buta yang mampu menggambarkan sifat gajah yang sebenarnya kerana mereka mempunyai kecacatan yang menghalang melihat binatang itu dengan jelas.

Pandangan itu mendapat perhatian golongan intelektual Islam berfikiran liberal di Malaysia sejak akhir-akhir ini yang merasakan fahaman pluralisme agama adalah formula terbaik bagi menyatukan masyarakat majmuk di negara ini.

Fahaman itu mudah meresap dalam pemikiran golongan terbabit kerana terdapat hujah-hujah oleh pihak orientalis yang me­nyatakan ahli sufi seperti Jalaluddin Rumi dan Ibn Arabi mempelopori fahaman berkenaan.

Antara contoh yang sering digunakan adalah syair Jalaluddin yang menyebut: “Lampu-lampunya (agama) berlainan, tetapi Cahaya (Tuhan) itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus-menerus melihat pada lampu (agama), kamu tersesat.”

Apakah yang dimaksudkan oleh ahli sufi berkenaan? Adakah itu hujah paling tepat untuk mendakwa beliau mendukung fahaman pluralisme agama?

Persoalan itu dijawab oleh penyunting buku ini yang juga Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran dalam bab kedua naskhah berkenaan bertajuk Islam dan Pluralisme Agama: Isu-Isu Akidah Semasa.

Beliau menegaskan, panda­ngan bahawa Islam mengesahkan pluralisme agama menerusi petikan kata-kata di sana sini oleh beberapa tokoh ilmuwan Islam seperti Jalaluddin dan Ibn Arabi yang kadangkala diambil di luar konteks bukanlah hujah kuat untuk membuktikan adanya fahaman tersebut dalam tradisi Islam.

Jelas Mohd. Farid, sepanjang sejarah Islam tidak wujud banyak karya-karya yang membincangkan mengenai pluralisme agama sekaligus membuktikan fahaman itu bukanlah dianjurkan oleh ilmuwan Islam.

“Ini tidak bermakna sepanjang sejarah Islam, agama itu tidak mengiktiraf keperluan untuk umat Islam hidup dalam keadaan aman bersama-sama dengan pe­nganut agama lain.

“Islam tidak pernah menolak hakikat wujudnya pelbagai agama dan hak penganut agama-agama lain untuk beragama. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang mengiktiraf kewujudan pelbagai agama.

“Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan satu kesimpulan bahawa Islam menerima kebenaran semua agama seperti yang dianjurkan oleh pendukung fahaman pluralisme,” tegas Mohd. Farid.

Tambah beliau, Islam tidak menentang pluralisme agama se­kiranya fahaman itu hanya bermaksud kehidupan bersama pelbagai penganut agama di sebuah negara dalam keadaan harmoni.

“Malah keterbukaan bentuk ini sudah lama wujud dalam Islam sejak dahulu lagi. Akan tetapi pluralisme yang ditolak adalah fahaman bahawa semua agama sama benar dan tiada agama yang boleh mendakwa lebih benar ­daripada agama lain.

“Sebaliknya prinsip yang harus dipegang seperti yang dianjur oleh al-Quran adalah bagi kamu agama kamu dan bagiku aga­maku,” tulis beliau.

Sementara itu, dalam buku ber­kenaan turut dijelaskan bahawa fahaman itu bukan berasal dari ajaran Islam tetapi dicetuskan oleh intelektual Kristian yang ingin melakukan pembaharuan dalam agama berkenaan.

Pada awalnya, fahaman sedemikian dikenali sebagai Kristian inklusif yang diputuskan semasa sidang Majlis Kedua Vatican pada 1965.

Dalam sidang itu, telah dibuat penyataan bahawa gereja tidak menolak apa-apa yang baik daripada agama Hindu dan Buddha. Manakala agama Islam dan Kristian mempunyai pertalian yang rapat. Contohnya, dari segi persamaan kepercayaan terhadap Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Maryam.

Kerana itu, pihak gereja berpendapat Islam dan Kristian perlu bekerjasama memperjuangkan keadilan sosial, nilai moral, keamanan dan kebebasan.

Fahaman Kristian inklusif ini kemudiannya berkembang menjadi pluralisme agama dengan pendukung utama ialah tokoh pembaharuan agama Kristian, John Hick dari Britain yang me­ninggal dunia pada 2012.

Menurut Hick, Kristian bukanlah satu-satunya agama yang benar. Beliau menganggap sesiapa sahaja yang mematuhi sepenuh­nya ajaran agama masing-masing akan masuk ke dalam syurga.