Ini memberi tafsiran tersendiri mengenai hubungan Pas-PKR di Selangor dan di Malaysia kerana majoriti penyokong PKR di Selangor adalah orang Islam. Kalau berlaku keretakan hubungan kedua-duanya di Selangor, ini sesuatu yang dijangka. Lebih-lebih lagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengambil pendirian menentang kumpulan politik yang bersama dengan DAP.

Apa makna tahaluf sekiranya perhimpunan solidariti ummah yang dihadiri puluhan ribu penyokong tanpa kehadiran kepimpinan dan ahli PKR. Kepimpinan PKR ramai dalam kalangan orang yang faham agama dan pernah berada dalam gerakan Islam yang popular suatu ketika dulu.

Lainlah kalau kepimpinan PAN yang terkeluar dari ‘tulang rusuk’ Pas dan sekarang di bawah telunjuk DAP tidak bersama dengan perjuangan memperkasa undang-undang syariah (RUU 355).

Apakah mereka beranggapan bahawa RUU 355 itu bukan sebahagian daripada peningkatan undang-undang syariah sedia ada? Orang DAP mengadakan demonstrasi menentang RUU 355 dengan jumlah kehadiran yang kecil. Mujur orang PKR dan PAN tidak menyertai demonstrasi itu. Tidak pula PKR dan PAN mengecam mereka kerana menghina undang-undang syariah.

RUU 355 adalah undang-undang syariah yang selari dengan Perlembagaan dan bukan ditujukan kepada orang bukan Islam. Peningkatan jumlah hukuman terhadap kes-kes syariah yang hendak dipinda melibatkan orang Islam. Mengapa dulu peruntukan undang-undang syariah tidak ditentang oleh mereka tetapi pindaan ini dianggap sebahagian undang-undang hudud pula?

Kehadiran orang ramai dan penglibatan UMNO membuktikan bahawa RUU 355 mendapat dukungan besar rakyat jelata. UMNO dan Pas belum lagi mengadakan tahaluf tetapi sanggup bersama menjadikan RUU 355 suatu realiti demi kepentingan umat Islam.

Semacam ada ketakutan dan kebimbangan bahawa sokongan terhadap RUU 355 ini boleh menyebabkan pembangkang berpecah. Pembangkang pernah bersetuju kepada prinsip menghormati perbezaan yang terdapat dalam membuat pendirian. Malangnya, dalam isu RUU 355 ini PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) cuba menyesuaikan diri dengan pendirian DAP bukannya berdiri bersama-sama dengan undang-undang syariah.

Isu utama yang bakal dihadapi oleh RUU 355 nanti adalah apabila dibawa ke Parlimen yang memerlukan dukungan majoriti mudah. Apakah dukungan ahli Parlimen UMNO dan Pas mencukupi untuk mencapai hasrat itu sekiranya wakil rakyat PKR, PAN dan PPBM mengambil sikap tidak bersama?

PKR, PAN dan PPBM kelihatannya bimbang DAP yang menentang RUU 355 ini akan tersinggung. Sebagai ahli Parlimen Islam perkara itu tidak patut berbangkit kerana tidak semua ahli Parlimen komponen Barisan Nasional termasuk Sabah dan Sarawak boleh bersama dengan RUU 355 ini. Ahli-ahli Parlimen PKR dan PAN sepatutnya lebih berani mengambil pendirian berbeza dengan DAP kerana RUU 355 adalah isu umat Islam bukannya isu politik. Sekiranya mereka mengambil pendirian menyokong RUU 355, kemungkinan mendapat majoriti mudah adalah cerah.

Ramalan pembangkang sekiranya RUU 355 diterima UMNO dan Pas akan melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik kerana banyak petanda yang menunjukkan ke arah itu. Jika ini terjadi kedudukan pembangkang akan tergugat.

Pas sehingga kini masih mengambil pendirian untuk bertanding bersendirian dalam PRU 14. Pertandingan tiga penjuru sangat menakutkan pembangkang. Bagi UMNO Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu Pas adalah lawan politiknya dan UMNO masih memerintah negara. Takdirnya berlaku tahaluf siasi UMNO-Pas kemungkinan pembangkang memenangi PRU-14 menjadi semakin tipis. Inilah sebenarnya kebimbangan mereka.