Apa tidaknya, bekas sekutu rapat mereka, Pas yang selama ini menjadi tulang belakang dalam membantu kempen calon PKR sudah mengesahkan akan meletak calonnya di kerusi berkenaan.

Lebih membimbangkan PKR, pengumuman oleh Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Balik Pulau, Taufik Hashim pada ceramah di Markas Pas Sungai Burung baru-baru ini seakan memberi tamparan kepada PKR.

Menurut Taufik, Pas mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong dan Teluk Bahang yang ditandingi PKR sebelum ini yang tewas kepada Barisan Nasional (BN).

Menyemak kembali peranan Pas ketika masih bersama PKR dan DAP, pada PRU-13, Pas hanya diberikan tangggungjawab ‘kecil’ bertanding di DUN Bayan Lepas namun gagal merampas walaupun calonnya wanitanya, Asnah Hashim memberi saingan sengit kepada wakil BN, Nordin Ahmad.

Dalam nada yakin, Taufik menyifatkan Pas sudah bersedia di Balik Pulau kerana persiapan awal telah dilakukan termasuk program ziarah, ceramah serta kutipan dana pilihan raya dilaksanakan sejak tahun lepas.

Kerja keras Pas itu mungkin juga bertitik-tolak daripada kesedaran mereka yang mana penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.

Ini kerana hampir setiap hujung minggu, kelibat Dr. Hilmi sering dilihat di situ walaupun sibuk dengan tugas selaku Timbalan Menteri Kesihatan di Putrajaya.

Berbeza di kem PKR pula, parti itu dikatakan dalam keadaan terdesak meskipun terdapat desas-desus mengatakan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff (menang dengan majoriti 708 undi pada PRU-12) dikatakan bakal kembali bertanding di situ setelah Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang disandarkan harapan oleh PKR pada PRU-13 tewas dengan majoriti 1,539 undi kepada Hilmi.

PKR yang dilihat terdesak khabarnya bakal menurunkan ‘tokoh besar’ termasuk Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam beberapa program di sekitar Balik Pulau pada hujung minggu ini selain Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah turun di situ.

Namun, menilai sokongan penduduk di Balik Pulau ketika ini, PKR mungkin akan kempunan sekali lagi kerana kelebihan jelas berpihak kepada BN hasil kerja keras jenteranya terutama UMNO di bawah Dr. Hilmi. - UTUSAN ONLINE