Buku Bored and Brilliant: How Time Spent Doing Nothing Changes Everything tulisan Manoush Zomorodi yang bermaksud Bosan dan Bijaksana: Bagaimana Masa Tanpa Sebarang Kegiatan Mengubah Segalanya berusaha mengupas impak teknologi masa kini termasuk telefon pintar terhadap kehidupan kita dan bagaimana kita boleh menggunakan teknologi secara lebih bermanfaat. Kita cenderung untuk melihat rasa bosan sebagai satu perkara yang negatif dan tidak produktif.

Dengan teknologi seperti telefon pintar, tablet, komputer, permainan konsol, televisyen dan sebagainya, kita tidak putus sumber mak­lumat, tugasan atau hiburan untuk berterusan merangsang minda kita. Kita berfikiran bahawa dengan sedemikian kita dapat menjadi efisien, produktif atau dapat me­ngelakkan berasa bosan.

Namun secara tidak sedar seringkali juga kita terjerumus kepada tum­puan berterusan terhadap alat tek­nologi lalu mengurangkan tumpuan kita terhadap kehidupan realiti di sekeliling kita.

Buku ini menghuraikan kesan negatif teknologi masa kini yang se­ngaja direka bentuk agar dapat me­narik sebanyak mungkin perhatian penggunanya di alam digital. Umpamanya pernahkah kita mengalami situasi di meja makan di mana kita berasa jengkel kerana rakan atau keluarga kerapkali melihat telefon pintar?

Atau mungkin kita sendiri pernah bersikap sedemikian. Alasan kita ialah kita ada urusan yang amat penting untuk dikemas kini, atau mungkin juga minda kita sering terawang-awang kerana ingin mengetahui komen-komen rakan kita terhadap status terbaru kita di sosial media.

Lalu sejauh mana sebenarnya interaksi sedemikian mampu mengeratkan hubungan langsung kita dengan orang sekeliling? Seperkara lagi yang dibincangkan dalam buku ini ialah bagaimana kemahiran membaca kita mengalami perubahan seiring dengan pendedahan kepada teknologi maklumat melalui skrin.

Kerana semakin terbiasa dengan pembacaan pada skrin yang lebih bersifat interaktif dengan imej, video atau pautan lain, ramai dalam kalangan kita kini mengalami kesukaran untuk fokus membaca buku dalam tempoh lama. Malahan penulis buku ini mengisahkan artikel pendek oleh rakannya di internet turut tidak dibaca sepenuhnya oleh sebilangan pembacanya.

Maka tidak hairan juga mungkin ada dalam kalangan pembaca berasa sukar untuk menghabiskan pem­bacaan artikel ulasan bu­ku ini yang mungkin sama ada atas faktor kurang berminat atau kekurangan fokus.

Buku ini turut menyentuh isu amalan menangkap gambar menggunakan telefon pintar. Dengan kemudahan kamera pada telefon pintar, detik-detik kehidupan dirakamkan sebagai foto dan seringkali dimuat naik di media sosial. Tetapi penulis buku ini melontarkan persoalan sama ada amalan merakamkan gambar memberi kesan terhadap interaksi dengan insan di se­keliling kerana pasca gambar dimuat naik di internet terdapat kecenderungan untuk kita lebih menggunakan telefon pintar un­tuk mengenal pasti bilangan Like yang mungkin diterima.

Dari segi sains neuro, pener­imaan Like mencetuskan rembesan hormon dopamin yang membuatkan kita berasa gembira. Buku ini menggariskan tujuh langkah untuk kita berada dalam situasi tanpa sebarang kegiatan serta bagaimana perasaan kebosanan ketika itu dapat didepani untuk meningkatkan keupayaan minda, emosi serta hubungan dengan insan dan alam.

Pertamanya ialah dengan memerhati tabiat kita dalam menggunakan teknologi digital. Keduanya meletakkan alatan digital kita umpamanya telefon pintar jauh daripada capaian kita khasnya ketika dalam perjalanan. Ketiga, mengadakan hari tanpa foto. Keempat, memadamkan aplikasi yang digemari. Kelima meletakkan status ‘tiada’ ketika di pejabat. Keenam, menjadi lebih peka terhadap sekeliling. Dan ketujuh, menggunakan perasaan kebosanan untuk memahami situasi kehidupan serta meletakkan matlamat.

Berkemungkinan besar tidak semua langkah yang dicadangkan dapat dilakukan, sama ada atas faktor kerjaya mahupun kemahuan diri. Namun sekurang-kurangnya kita dapat mengetahui tabiat digital kita dan memikirkan kesannya terhadap kita. Juga satu tip yang amat berguna ialah dengan mematikan ciri notifikasi dalam apa jua bentuk agar tidak mencetuskan keperluan mendepani sebarang maklumat terbaru dengan segera.

Sebagai rumusan, buku ini mengajak kita mengubah persepsi kita terhadap kebosanan di mana kebosanan itu ada manfaatnya. Yakni tatkala kita mengalami kebosanan maka di saat itu kita mendapat idea-idea baru, memahami hikmah di sebalik situasi yang berlaku serta menjadi lebih peka terhadap apa yang ada di sekeliling kita.