Barisan Nasional (BN) yang dianggap sukar dikalahkan dan mentadbir Malaysia secara berte­­rusan selama 60 tahun akhirnya terpaksa akur dengan kehendak dan pilihan rakyat. Ini bermakna, BN dilihat sebagai sebuah parti politik yang terakhir hilang kuasa memerintah dalam kalangan parti politik seangkatannya seperti Parti Indian National Congress di India dan Parti Golkar di Indonesia yang telah lama hilang monopoli penguasaan politik di negara masing-masing.

Ini juga sekali gus meletakkan Pakatan Harapan yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mencipta sejarah dalam arena politik dunia.

Pada PRU-14, parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan mencipta rekod prestasi cemerlang yang amat di luar jangkaan. Misalnya, PKR memperoleh 49 kerusi parlimen daripada 71 yang bertanding (69 peratus), DAP memenangi 42 daripada 47 (89 peratus), PPBM memenangi 12 daripada 52 (23 peratus), PAN memenangi 11 kerusi daripada 34 kerusi dipertandingkan (32 peratus). Warisan (Sabah) pula memenangi lapan kerusi daripada 17 kerusi parlimen yang dipertan­dingkan manakala, BN memenangi 79 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan (36 peratus) dan Pas pula memenangi 18 kerusi daripada 157 kerusi yang bertanding (11 peratus).

Pakatan Harapan turut berjaya menawan kebanyakan negeri dengan memenangi 257 kerusi DUN daripada 530 kerusi yang ditandingi kecuali, Kelantan, Terengganu yang ditawan oleh Pas dan Pahang dan Sarawak dikekalkan oleh BN. Jumlah undi popular BN pula dikesan merosot daripada 46.7 peratus (PRU-13) kepada 33.9 peratus, manakala Pakatan Harapan mampu mengekalkan undi popularnya (50.1peratus).

Meskipun setengah pihak menjangka PRU-14 akan menyaksikan ‘tsunami Melayu’ dalam mencorakkan keputusannya, dari segi realitinya, sentimen ‘meng­ubah’ kerajaan dalam kalangan rakyat merentasi kaum, agama, dan lokaliti dilihat menyebabkan Pakatan Harapan menang besar.

Malah kemerosotan sokongan pengundi secara amnya dan peng­undi Cina dan India terhadap MCA dan MIC secara khususnya di Semenanjung dan penolakan pengundi Sabah terhadap BN di Sabah, negeri yang umumnya dianggap sebagai simpanan tetap (fix deposit) BN turut menyumbang kepada BN kehilangan Putrajaya pada 9 Mei lalu.

Selain itu, kemenangan Pakatan Harapan juga dikatakan oleh faktor sebahagian besar pengundi pelbagai kaum yakin dan tertarik dengan manifesto parti itu yang berjanji bakal menyelesaikan masalah-masalah harian yang melibatkan kos sara hidup golongan pendapatan rendah dan sederhana yang kian meningkat dalam tempoh masa 100 hari.

Pun begitu, kita semua mengharapkan pemerintahan Kerajaan Persekutuan sekarang ini menghindarkan tindakan-tindakan yang boleh dilihat atau diandaikan sebagai mempunyai dendam kesumat. Sebaliknya, lebih memfokuskan kepada usaha memenuhi janji-janji 100 hari sambil melaksanakan dasar-dasar inklusif yang boleh membantu menangani penularan polarisasi kaum dan politik ekstrem dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, terhakisnya sokongan pengundi-pengundi terhadap UMNO dan kekalahan ketiga-tiga presiden parti komponen BN, iaitu presiden MCA, MIC dan Gerakan turut menimbulkan pelbagai persoalan. Antaranya apakah rakyat sudah sedia mengalih ke arah paradigma baharu, iaitu menolak parti-parti politik yang bersandarkan kaum? Apakah kaum Cina dan India melihat kepimpinan parti-parti yang menganggotai BN, yang mewakili kaum bukan Melayu, gagal membela kepentingan kaum Cina dan India?

Apa pun, proses transisi kuasa daripada kerajaan lama kepada kerajaan baharu secara lancar tanpa sebarang kesulitan jelas menunjukkan rakyat Malaysia kini bukan sahaja menghormati keputusan PRU-14 dengan hati terbuka, malah lebih matang dalam menjunjung dan mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi tulen.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik.