Di mana-mana sahaja ramai yang bercakap mengenai PRU-14. Antara tajuk yang cukup hangat diperkatakan ialah bila tarikhnya, parti manakah yang diramal menang serta calon yang akan bertanding.

Namun, penulis tidak mahu mengulas mengenai bila tarikh PRU-14 kerana memang punatnya ada di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita tunggu sahaja beliau menekannya.

Bagaimanapun, parti mana yang diramal menang, masing-masing ada pandangan tersendiri, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan.

Persoalan ini terletak di tangan pengundi yang akan menentukannya. Parti mana yang mampu dan berjaya menarik sokongan pengundi pasti akan menang dan membentuk kerajaan di peringkat negeri atau Persekutuan.

Tetapi kali ini penulis lebih ber­minat mengenai siapa calon yang akan bertanding dan kriteria yang diinginkan pengundi serta rakyat.

Tidak dinafikan, kini semakin ramai yang menonjolkan diri, sama ada wakil pihak kerajaan mahupun pembangkang dengan harapan dipilih sebagai calon oleh parti masing-masing.

Jika sudah ditakdirkan dan diberi kepercayaan serta kalau disukai pengundi, pasti boleh terpilih sebagai Yang Berhormat (YB) apabila memenangi kerusi yang ditandingi.

Pesan penulis kepada pengundi, setiap calon yang bertanding harus dinilai dengan terperinci supaya benar-benar mempunyai kriteria dan keupayaan untuk mewakili mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.

Usah tersalah pilih kerana yang menerima implikasinya ialah rakyat di kawasan yang diwakili. Ini kerana pemilihan YB atau wakil rakyat bukan seperti pelantikan seorang jurulatih bola sepak - jika tidak menunjukkan pencapaian yang diharapkan boleh dipecat dan diganti dengan jurulatih lain.

Andai wakil rakyat tersebut tidak mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab ­seperti yang diharap, rakyat harus me­nunggu lima tahun lagi untuk menggantikannya dengan yang baharu.

Nyata, lima tahun bukanlah tempoh yang singkat tetapi banyak pembangunan dan kemajuan mampu dilakukan seiring dengan pembangunan pesat negara dalam pelbagai bidang.

Justeru, pilihlah wakil rakyat yang sudah terbukti jasa baktinya dan sentiasa mudah didampingi dan membantu menyuarakan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, bukan wakil rakyat yang ‘hilang’ selepas menang dan timbul semula menje­lang pilihan raya akan datang.

Penulis akui, BN sentiasa ber­usaha menonjolkan calon-calon dan wakil rakyat terbaik untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.

Kejayaan dan jasa bakti BN tiada siapa yang dapat menafikannya dan andai ingin terus membangun dan maju, tidak sa­lah untuk terus memberi kepercayaan kepada BN bagi menerajui negeri dan negara ini.

Misalnya di Johor, nyata ­ke­­pimpinan BN diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Kha­led Nordin sentiasa mende­ngar ‘denyut nadi rakyat’ serta mengambil tindakan tuntas dan berkesan menangani serta me­ngatasi masalah rakyat.

Contohnya, kegelisahan dan kesukaran rakyat untuk membeli rumah ditangani dengan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bagi menyokong projek-projek rumah mampu milik lain yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan.

Menyedari kesukaran golo­ngan belia khususnya yang baharu berkahwin, turut diperkenalkan Rumah Transit. Mohamed Khaled juga mencetuskan idea bernas apabila mewujudkan Pertubuhan Ihsan Johor bagi membantu membina kediaman yang selesa bagi golongan kurang ber­kemampuan. Ini dilaksanakan de­ngan dengan percuma.

Lebih membanggakan, hingga kini hampir 30 buah rumah telah berjaya dibina hanya dalam tempoh tiga hari yang disokong dan dibantu oleh golongan sukarelawan.

Penulis amat bersetuju de­ngan Mohamed Khaled bahawa kemajuan fizikal sahaja tidak bermakna tanpa diiringi dengan pemba­ngunan modal insan. Dan pelbagai program latihan turut dilaksanakan termasuk yang ber­jaya memberi impak besar ialah Johor Talent serta pengisian da­lam bidang keagamaan.

Jadi, apabila gendang PRU-14 dipalu, tunaikanlah tanggungja­wab dengan bijaksana bagi memilih calon dan parti yang mampu disandarkan harapan.

Usaha terpedaya dengan ‘gula-gula’ yang belum pasti manisnya dan mampu dilaksanakan serta tidak terpengaruh dengan banyak berita palsu yang bertebaran khususnya dalam media sosial.

Jadilah pengundi bijak, jangan perjudikan masa depan negara dan anak bangsa. Dan penulis berangan juga nak jadi YB (Yang Berjasa).