“Mana satu? Ada ramai cakap macam itu,” jawab saya pendek. Anak muda itu, cuma menggeleng-gelengkan kepalanya. Geleng bukan kerana jawapan saya itu, saya agaklah. Tetapi lebih kepada tidak puas hati dengan kenyataan-kenyataan `memilih kerja’ yang dianggapnya cakap main sedap mulut saja.

Rupa-rupanya, dia yang sudah hampir setahun bekerja di kedai kopi itu, ada ijazah kejuruteraan elektrik dari universiti awam di negara ini. Katanya, disebabkan tidak memilih kerjalah, dia bekerja di situ.

Sebelum itu, dia sudah menghantar berpuluh-puluh permohonan kerja yang tidak ada kena mengena dengan bidang dipelajarinya kerana kesukaran untuk mendapatkan kerja dengan ijazah itu, tetapi semuanya ditolak dengan alasan - ``Ini bukan bidang awak. Awak tak ada skil dalam kerja ini.”

“Jadi siapa yang sekarang ini memilih kerja? Dah minta macam-macam kerja tetapi ditolak. Bukan kerja yang memerlukan ijazah atau diploma, yang sijil saja pun sudah minta.

“Panggil temuduga tetapi cakap ini bukan bidang awak. Dah tahu macam itu, kenapa panggil? Nak sembang-sembang sajakah?’’ kata anak muda itu seperti mahu melepaskan geramnya, yang membuat saya tersenyum.

Dan sudahnya, dia beker­ja di situ. Jauh tersasar daripada bidang dipe­lajarinya. Cuma, kalau ada kaitan pun, mungkin dia suka atau biasa minum kopi. Itu saja.

Ya, betullah, anak muda ini memang tidak memilih kerja. Sebabnya, hidup mesti bekerja. Tak kerja, tak makan.

Sebenarnya, ramai seperti anak muda ini. Bukan dia seorang bercerita begini. Ada lagi. Selalunya, saya ringan mulut berbual dengan anak-anak muda yang bekerja di restoran, butik atau kedai kasut. Kebanyakan ditanya, ada diploma dan ijazah.

Ada baru bekerja, ada yang telah lama bekerja, walaupun kerja sebegitu dianggap senang dapat, tetapi mereka terpaksa berebut dengan lepasan SPM pula. Walaupun overqualified, mereka tetap diterima dengan syarat gaji setaraf kelulusan SPM.

Jadi betulkah, kebanyakan graduan universiti suka memilih kerja? Hakikatnya, kalau kita ‘turun ke bawah’, tidak bercakap ikut suka mulut, atau jadi macam burung kakak tua, ulang semula orang lain cakap, sebaliknya kita rajin-rajinkan diri bertanya sendiri pada budak-budak ini, tidak ramai yang begitu.

Sebaliknya, mereka ini struggle untuk mendapatkan pekerjaan. Jadi untuk kelangsungan hidup, mereka kerjalah apa saja yang ada, mungkin untuk sementara. Rasanya, tak ramai sanggup jadi macam ‘tukun tiruan’ di rumah, duduk, makan dan tidur saja.

Zaman sekarang ini, berapa ramai yang dapat diploma, ijazah dan master dalam setahun? Ramai! Saingan untuk dapat pekerjaan jangan ceritalah. Jadi tidak bolehlah, hendak bandingkan zaman kita dulu dengan sekarang.

Dulu lepas kita dapat ijazah saja, terus boleh dapat kerja. Masa buat latihan amali (internship) pun, ada yang telah `ditempah’ awal-awal bekerja di situ. Itu dululah. Tak ada cakap-cakap pasal graduan memilih kerja.

Kita pun jangan hendak bersandar dan berbangga tidak tentu pasal sangat pada hal-hal silam. Realiti sekarang tidak sama dengan dulu. Sekarang persaingan cukup hebat. Bukan sebab mereka malas atau cerewet.

Bagi yang ada anak lepasan diploma atau ijazah, mereka pasti faham apa yang dilalui oleh budak-budak ini. Sedih melihat wajah hampa mereka bila permohonan kerja ditolak. Ini baru cabaran dan ujian yang kecil! Kita pun buat-buat malas hendak layan kemurungan mereka, sebab mahu mereka jadi kuat.

Dan ada juga yang memberitahu: Kalau guna ‘kabel’, senanglah dapat kerja. Nak kena main kabel pula.

Dalam hati saya, muda-muda lagi dah pandai cakap pasal kabel atau kroni. Yalah dengan permainan `orang dalam’, yang menutup peluang orang yang lebih layak, di mana-mana pun, ini tak sepatutnya berlaku. Siapalah yang mula-mula bawa perangai buruk ini?

Pada saya, dalam meng­hadapi zaman sukar men­dapat pekerjaan ini, belajarlah apa saja kemahiran. Bukan kemahiran pandai bercakap saja, tapi tak reti buat kerja.

Contohnya, belajar memperbaiki kenderaan, menggunting rambut, menyolek, memasak, atau apa saja yang boleh hidup tanpa makan gaji.

Sebab itu, ada pepatah Melayu mengatakan, ulat dalam batu pun boleh hidup. Bukan bermaksud duduk diam-diam dalam batu dan makan batu itu. Maknanya, orang yang rajin dan tekun dalam berusaha pasti tidak akan mati kelaparan.