Usaha ini perlu digalakkan kerana ia bukan sahaja menekankan pembacaan al-Quran, malah mengkaji isi kandungannya, memahami maknanya dan menghafaznya.

Namun, perancangan keselamatan yang khusus dan pengendalian yang efisyen dalam mengurus maahad tahfiz sangat penting termasuklah maahad tahfiz yang dibina oleh pihak persendirian.

Ini termasuk memastikan kesemua maahad tahfiz mengutamakan aspek keselamatan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Piawaian keselamatan yang tidak dipatuhi, aspek keselamatan yang tidak diberi keutamaan dan kecuaian adalah di antara punca kerap berlaku kebakaran ke atas maahad-maahad tahfiz di Malaysia.

Merujuk kejadian terbaru yang pilu dan menyayat hati kebakaran maahad tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru, sekali lagi isu piawaian keselamatan maahad-maahad tahfiz dipersoalkan.

Walaupun tujuh suspek telah ditangkap kerana dipercayai terlibat melakukan khianat dalam kejadian kebakaran tersebut, ini tidak melepaskan tanggungjawab pihak yang berkenaan dalam memastikan nyawa dan masa depan penghuni maahad tahfiz terbela dari sebarang unsur khianat atau sengaja atau kecuaian.

Dari tahun 2015 hingga hari ini, kejadian kebakaran terbaru ini merupakan yang ke-212 melibatkan maahad tahfiz.

Kebakaran terbesar membabitkan warga pusat tahfiz yang mendapat liputan meluas berlaku pada 22 September 1989 yang menyaksikan lapan buah asrama Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Yan, Kedah hangus terbakar.

Dalam kebakaran itu, seramai 27 pelajar sekolah terkorban dalam keadaan yang sungguh tragis dan jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan khas `27 syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya'; di Padang Lumat, Yan.

Kronologi kejadian maahad tahfiz terbakar setiap tahun menunjukkan pentingnya tindakan tegas dalam mengutamakan keselamatan penghuni maahad tahfiz.
Di antara langkah-langkah keselamatan yang perlu terhadap semua maahad tahfiz yang wujud di Malaysia adalah :
 Melaksanakan piawaian keselamatan yang wajib dipatuhi
 Piawaian keselamatn ini termasuklah pintu keluar, pintu rintangan api, alat pemadam api, hadkan penggunaan jeriji di premis, tangga kecemasan bagi premis yang lebih dari setingkat, CCTV
 Mewajibkan audit tahap keselamatan
 Menjalankan pemantauan keselamatan yang lebih serius dan menyeluruh.
 Menjalankan pemantauan keselamatan berkala dan sistematik.
 Membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua penghuni tahfiz mendapat maklumat dan kemahiran cara menyelamatkan diri ketika berlaku kecemasan.
 Mewajibkan kursus keselamatan
 Melaksanakan latihan mengejut bagi melihat sama ada pelajar dan warden bersedia atau tidak sekiranya berlaku kecemasan
 Menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan sebagai cara mencegah musibah dan bencana
 Mendapatkan kelulusan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak bomba, Unit Perancang Bangunan, Majlis Bandaraya dan pendaftaran dengan Majlis Agama Islam dan Kerajaan negeri.
 Mengumumkan nama maahad tahfiz yang tidak berdaftar
 Mengumumkan maahad tahfiz yang beroperasi di premis-premis tanpa permit PBT atau kelulusan bomba
 Tidak meluluskan operasi maahad tahfiz yang tidak berdaftar dan yang beroperasi di premis-premis tanpa permit PBT atau kelulusan bomba
 Menutup maahad tahfiz yang tidak mematuhi piawaian keselamatan
 Pemantauan, penyelenggaraan dan pelaporan paip-paip gas
 Mematuhi piawaian keselamatan bangunan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Semua pusat tahfiz di negara ini perlu mematuhi piawaian keselamatan yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran.

Kebanyakan maahad tahfiz di negara kita didapati hanya ada satu tangga dan satu laluan keluar yang sempit, terutamanya setelah dilakukan ubahsuai ke atas premis asal.

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara harus diikuti walaupun berbentuk sementara (sedang dirangka) atau kekal. Walaupun maahad tahfiz menekankan aspek ibadah yang memberi keutamaan menuju jalan akhirat, aspek duniawi juga harus dijaga di mana nyawa perlu diberi keutamaan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta bagi membantu maahad tahfiz seluruh negara. Namun, laporan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor terdapat 104 pusat tahfiz dan sekolah pondok masih gagal mematuhi piawaian keselamatan.

Antara kesalahan itu ialah hanya ada satu pintu kecemasan, tiada alat pemadam api dan pendawaian tidak sempurna.  

Selain dari itu, maahad tahfiz yang tidak berdaftar tidak mempunyai lesen untuk beroperasi dan tiada kelulusan bomba.

Bomba mengalami kesukaran mengesan maahad tahfiz yang tidak berdaftar terutamanya bila berlaku bencana.

Kajian mengenai keadaan keselamatan maahad tahfiz perlu menjadi agenda penting. Perlu juga dilihat aspek tindakan yang boleh diambil terhadap pengusaha maahad tahfiz yang tidak mematuhi piawaian keselamatan yang diwajibkan, demi keselamatan penghuni dan pelajar maahad tahfiz.

Tindakan ke atas pengusaha ini bertujuan memberi peringatan dan denda sekiranya masih gagal mematuhi piawaian keselamatan.

Premis yang diubahsuai pula mesti dapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun kebanyakan premis maahad tahfiz yang terlibat dengan kebakaran dilaporkan tidak mendapat kelulusan. Ini bermakna, tidak mendapat sijil layak menduduki kerana premis diubahsuai tanpa kelulusan. Lesen operasi diperlukan bagi sesuatu premis itu boleh beroperasi.

Permohonan bagi mendapatkan lesen operasi pula wajib mempunyai sijil layak menduduki. Maahad tahfiz yang tiada sijil layak menduduki sudah pasti tidak boleh mendapat lessen untuk beroperasi.

Di sini pihak PBT perlu memantau dari segenap aspek bagaimana maahad tahfiz yang tidak mendapat sijil layak menduduki tetapi memperolehi lesen untuk beroperasi.

Sekiranya ia tiada lesen untuk beroperasi, mengapa ia dibenarkan beroperasi tanpa sebarang pemantauan. Semua ini perlu diambil perhatian kerana kejadian yang lebih buruk dapat dielakkan jika pemantauan yang menyeluruh diamalkan.
Peristiwa menyayat hati seperti ini tidak perlu diulangi.

Memetik kata-kata penulis Budi Hekayat, setiap nyawa ada harga dan hak keadilan. Sesebuah institusi sekolah walaupun namanya ditempek istilah Arab, Mandarin, Tamil atau apa jua bahasa, tetap wajib ada ciri-ciri keselamatan sepertimana perlu dan layaknya bagi sebuah sekolah di negara ini.

Keteraturan masyarakat bermula daripada keteraturan sekolah. Kalau bercelaru sekolahnya, maka bercelarulah masyarakatnya.

Roos Niza Mohd Shariff merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-undang,
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah