Kenapa walaupun Sahol Hamid dah bersara masih membawa diri jauh ke bumi asing? Itu yang berlegar-legar di kepala wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL.

Kebetulan baru-baru ini, WhatsApp yang saya kirim dibalas oleh beliau.

 

“Jomlah Zul kita bertemu, banyak yang saya ingin cerita dan kongsi dengan saudara. Saya balik bercuti seminggu (di tanah air),” kata Sahol Hamid.

Dan berpeluang bertemu sejam dengan beliau di kediamannya di Seksyen 11, Shah Alam beberapa hari lepas, lantas saya ajukan beberapa pertanyaan tentang topik kepemimpinan di universiti dan bentuk universiti masa depan - yang memang kepakaran Sahol Hamid.
 

UTUSAN: Khabarnya Tan Sri diundang ke Universiti Oxford bulan depan, boleh kongsi sedikit?

SAHOL HAMID: Universiti Oxford menghantar jemputan kepada saya untuk sebuah program di sana iaitu dari 1 hingga 4 Disember. Ini kali ketujuh saya diundang ke universiti itu.

Program pertama (1-4 Disember 2018) mengenai topik University Leadership. Saya diminta melatih profesor-profesor dan naib-naib canselor dari Nigeria kira-kira 30 orang di Oxford. Saya salah seorang yang akan melatih mereka dalam aspek university leadership saya diberi peluang untuk menjelaskan topik apakah bentuk universiti masa depan.

Selain itu, ada permintaan dari universiti-universiti di Ghana supaya saya ke negara itu untuk memberi latihan pada Jun 2019. Topik-topiknya berkisar kepemimpinan universiti, Revolusi 4.0 dan universiti masa depan, seperti mana juga yang saya praktikkan di universiti-universiti di India.

Boleh Tan Sri ringkaskan tentang apa yang dikatakan kepemimpinan universiti dan hala tuju universiti masa depan?

Selepas meninggalkan UiTM, saya mulakan kembara ilmu saya di India sebagai Naib Canselor Crescent University, Chennai. Saya mulakan satu program latihan untuk naib canselor enam bulan lalu (Julai 2018) dan Kementerian Sumber Manusia India dapat tahu tentang program yang saya lakukan di India ini. Jadi, mereka teruskan kontrak saya, minta saya buat untuk beberapa universiti di India. Caranya, mereka (kementerian berkenaan) pilih peserta naib canselor daripada kira-kira 10,000 universiti di India ke tempat saya untuk latihan lima hari. Dari situ, disusuli pula jemputan dari Bahagian Pendidikan di Kementerian Pendidikan India untuk memberi latihan dalam 10 aspek termasuk yang saya sebutkan tadi.

Mereka jemput saya sebagai penceramah atas kemahiran, kepakaran dan kepemimpinan saya. Mereka menyatakan saya seorang leader among leaders.

Kalau saya boleh simpulkan, orang luar nampak kepakaran orang kita tapi kita sendiri seolah-olah tidak begitu, mengapa agaknya?

Saya tidak pasti apa kriteria Universiti Oxford jemput saya. Kalau ikut telahan saya, sudah tentu mereka hargai kepakaran saya. Bukan saya jemput mereka, mereka yang jemput. Mereka tahu kepakaran saya yang saya kira dikenali di peringkat antarabangsa. Ya, saya sendiri masih profesor pakar dalam bidang kejuruteraan air (tebatan banjir) di University of Stuttgart Germany sepanjang 20 tahun ini. Di Turki pula saya lebih banyak berinteraksi membantu melahirkan dan menasihat VC di dua buah universiti di sana.

Masa depan sesebuah universiti sebenarnya terletak di mana?

Bidang pentadbiran universiti masa kini telah berubah. Seseorang berjawatan naib canselor hari ini mestilah aktif dan dinamik. Dia kena tahu segalanya bisnes seperti mana akademik. VC mestilah orang yang berpengalaman. Ia hanya boleh didapati melalui latihan atau pengalaman sendiri.

Jadi, apa yang sepatutnya ada pada seorang VC?

VC kena ada ilmu. Ilmu mentadbir. Emotional intelligence. Mesti ada kepemimpinan universiti. Tidak boleh sekadar ada autoriti sahaja untuk mentadbir. Kena pandai jaga tekanan. Ethics dan integrity harus sangat tinggi.

Seseorang VC tidak lagi hanya bermesyuarat atau pengerusikan mesyuarat. Dia perlu pandai coaching dan mentoring anak-anak buahnya. Tidak boleh lagi guna teknik lama di mana kita tidak latih mereka belajar dalam kerja. Tidak boleh, kita kena pilih orang yang dilatih dulu. Dia kena gunakan pendekatan terkini seperti blue ocean strategy. Kena pandai dari segi pembangunan kurikulum masa depan. VC sendiri yang kena IT savvy. Ramai VC kita tidak gunakan IT.

Dan VC juga kena jadikan universiti sebagai mencakupi keusahawanan. Dia kena jana duit. Tidak boleh harapkan daripada kerajaan.

Sepatutnya 50 peratus (sebelum ini 30 peratus) daripada perbelanjaan universiti hari ini mesti datang dari universiti. VC tidak boleh lagi harapkan orang lain. Dia sendiri kena pandu bahawa dia boleh bawa kos 50 peratus ini untuk tadbir universiti.

Berapa ramai VC universiti tempatan yang berjaya?

Kalau tengok VC yang berjaya tidak banyak. Saya tidak nampak sebab latihan yang diberi tidaklah mencorakkan budaya kita. Cuma praktikkan budaya ‘Mat Saleh’ saja. Yang mereka (VC) jemput hanya ‘Mat Saleh’ sebab masih fikir ‘Mat Saleh’ pandai, padahal sebenarnya orang kita ramai yang boleh, ikut acuan kita.

Apa beza VC kita dengan VC di luar negara?

VC di sana, contohnya di Jerman, budaya kerja mereka lain. Tidak payah kita suruh pensyarah untuk buat itu ini. Tidak payah kejar orang itu bila hendak siapkan kerja. Di India pun, mereka akan siapkan kerja kalau kita suruh. Di sini 100 kali mesti cakap, tidak siap-siap juga. Mereka di sini akan ambil kira gaji lebih, soal naik pangkat. Tapi di negara lain, anda buat sajalah, bukan macam di sini pakai lobi, bodek dan bawa cerita buruk-buruk hendak rosakkan kawannya. Jadi, semua VC kena atasi semua ini. Kalau masih dengar cakapan begitu, elok ‘tutup buku’.

Daripada pengalaman Tan Sri bertugas di universiti di Jerman, India, Turki dan masuk kali ketujuh dijemput Universiti Oxford, apa yang boleh dikongsi lagi dengan VC kita?

Kita masih di tahap bawah dalam melahirkan mahasiswa yang bagus sebab mahasiswa masih tidak dapat penetrate (menembusi) sepenuhnya pensyarah. Dengan itu, hasilnya tidak berkesan.

Dalam aspek ini, pengalaman di Malaysia (UiTM) saya gunakan di India supaya ia berkesan. Saya turun padang untuk pastikan ia berkesan. Ada monitoring system yang ketat dan berautomatik.

Contoh jika di sini orang tidak datang dua tiga hari, ramai tidak perasan atau ‘kawtim’ dengan ketua jabatan. Tapi di India, tak datang kerja sahaja, secara automatik gajinya dipotong. Semua universiti beroperasi secara digital.

Tapi berkesanlah perkara ini. Orang tidak akan hilangkan diri. Tidak berani ‘tuang’ kelas.

Mengenai Revolusi Industri 4.0 pula bagaimana tahap perkembangannya di negara ini?

Kita banyak mendokumen­tasi. Itu bagus. Tapi mengim­plementasinya atau laksanakannya tidak ada.

Kepada VC, apa nasihat Tan Sri?

Jangan lagi bersara selepas tamat kontrak. Kepakaran anda semua masih diperlukan di universiti-universiti luar negara. Saya sendiri memperoleh pendapatan lumayan, hampir tiga kali ganda. Marilah sertai saya.