Bila? Akhbar ini dimaklumkan beliau akan menghadiri pelancaran tayangan perdana filem Petta lakonannya di Kuala Lumpur pada 13 Januari tahun baharu nanti.

Khabarnya, Rajinikanth yang mengagumi dan amat menghormati Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap dapat bertemu Perdana Menteri semasa kedatangannya nanti, seterusnya mengundang negarawan itu menghadiri tayangan perdana Petta.

Sejak muncul dalam Kabali dan turut menjalani penggambaran filem box office itu di Malaysia beberapa tahun lalu, jika tiada aral, inilah kunjungan pertama tahun baharu pelakon yang meraih pendapatan tertinggi di India itu ke negara ini.

Kali terakhir bintang besar Kollywood itu menjejakkan kaki ke Malaysia semasa menghadiri Nachathira Vizha 2018 di Stadium Bukit Jalil 6 Januari lalu.

Apa yang mendorong Rajinikanth ke Malaysia? Kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer yang merupakan pengedar tunggal Petta ke seluruh dunia (kecuali India) kepada akhbar ini, kestabilan politik dengan masyarakat majmuk hidup harmoni menarik perhatian Rajinikanth ke sini.

“Ya, impak positif selepas beberapa filem Tamil dan Hindi yang mencecah kutipan box office menjalani penggambaran di negara ini termasuk Kabali, Malaysia sudah dicap mempunyai kuasa beli dan pasaran yang tinggi untuk filem-filem keluaran Kollywood dan Bollywood.

“Dan tentu sekali dengan kehidupan yang harmoni, jaminan kestabilan, makanan yang pelbagai citarasa serta peminat yang ramai telah menarik ramai pelakon dari India termasuklah Rajinikanth dan Shah Rukh Khan menjadikan trend bercuti mereka di Malaysia,” kata Abdul Malik kepada Utusan Malaysia semalam.

Tanya saya kepada Abdul Malik, mungkinkah Petta filem terakhir lakonan Rajinikanth memandangkan pelakon itu kini bergiat aktif dalam politik di Tamil Nadu selain kekangan usia dirinya yang 12 Disember lalu mencecah 68 tahun?

Kata Abdul Malik: “Lakonan adalah darah dagingnya. Laluannya penuh berliku untuk mencapai tahap superstar seperti hari ini.

“Dari seorang konduktor bas hinggalah bakatnya dikesan seorang produser filem hanya dari gayanya mengoyak tiket bas dan melemparkan rokok yang ke mulut sebelum dihisap, Rajikanth membuktikan beliau adalah pelakon sepanjang zaman - dari era filem hitam putih, warna, HD dan 3D, - dia merentasi semua era sepanjang 40 tahun ini.

“Adakah anda fikir ini (Petta) filem terakhirnya?”

Sambung Abdul Malik, 35, yang juga anak kelahiran Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur ini, lebih menarik lagi ranking terbaharu menyaksikan jumlah peminat Rajinikanth mengatasi pelakon Jacky Chan di Asia.

“Sebelum ini juga kutipan tayangan filem kedua tertinggi beliau adalah di Malaysia selepas India, tetapi sekarang second collection adalah Amerika Syarikat,” katanya.

India adalah negara pengeluar filem terbesar di dunia berbanding Hollywood. Se­kurang-kurangnya RM1.2 juta dibelanjakan untuk satu filem di India dengan 100 filem diterbitkan setiap bulan menjangkau 1,200 filem setahun.

Mengenai Petta, tambah beliau, semalam (28 Disember) trailer filem itu yang diedar ke seluruh dunia mencecah 2.6 juta views dalam tempoh cuma empat jam sahaja. Untuk tayangannya di Malaysia, sebanyak 140 pawagam telah bersedia.

Ditanya perancangan beliau selepas membawa masuk beberapa filem popular India ke negara ini antaranya Kabali dan Singam 3, Abdul Malik memberitahu, pihaknya sedang berusaha menempatkan Malaysia di peta dunia dalam industri filem,

“Kualiti filem Malaysia menjadi pilihan antarabangsa sekarang. Dengan kemajmukan masyarakat negara ini, cara kita berfikir pun semakin terbuka, sekali gus konsep dan jalan cerita filem-filem kita kini diterima majoriti khalayak dari seluruh dunia,’’ katanya.