Syarikat ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 itu terpaksa mengembalikan hak mengeksploitasi sumber semula jadi Sarawak sepenuhnya termasuk industri minyak dan gas ­berikutan penubuhan syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Penubuhan syarikat itu adalah kejayaan terbesar Sarawak dalam proses menuntut kembali hak dan keistimewaan yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pembentukan PETROS dan pelaksanaan hak perlembagaan di bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan itu adalah hasil rundingan penurunan kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju menyerahkan kembali hak itu kepada kerajaan negeri ke­rana yakin ia mampu membawa lebih kemakmuran kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Pelancaran PETROS adalah petanda jelas kemajuan besar dicapai dalam rundingan penurunan kuasa yang sedang berjalan. Mulai Julai ini, Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek hiliran dan huluan industri minyak dan gas di negeri ini.

“Ketika itu, semua syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak mestilah mendapatkan lesen, permit dan kelulusan yang dikehendaki di bawah Ordinan Perlombongan Minyak atau Ordinan Pengedaran Gas,” ujar­nya dalam ucapan semasa Majlis Perasmian PETROS di sebuah hotel terkemuka di Kuching baru-baru ini.

Meskipun masih gagal mendapatkan tuntutan untuk menaikkan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus daripada kerajaan Persekutuan, namun penubuhan PETROS dan penyerahan kembali hak meneroka sepenuhnya sumber galian tetap dianggap kejayaan besar kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari.

Walau bagaimanapun, ada pihak terutama pembangkang yang mendakwa pengembalian hak itu hanya ‘gula-gula’ kerajaan BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan satu kegagalan kerajaan negeri kerana masih gagal mendapat tuntutan terhadap royalti minyak dan gas.

Paling lantang membidas Abang Johari ialah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mempersoalkan sejauh mana inisiatif dan gagasan dibawa oleh Ketua Menteri itu dapat membawa kebaikan kepada Sarawak.

Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak itu menuduh Abang Johari tidak faham sistem perundangan dengan mendakwa Akta Kemajuan Petroleum 1976 (PDA) dan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA) terbatal dan tidak sah selagi belum dilulus dan diwartakan, malah ia terbatal selagi tidak dimansuh atau diisytiharkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, kewujudan PDA bermakna pemilikan mi­nyak dan gas masih dikawal oleh Petronas dan ia kekal me­raih pendapatan besar minyak dan gas negeri ini.

Kemuskilan dibangkitkan oleh Chieng Jen kemudian dijawab oleh Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Pusat-Negeri dan Pemantauan Projek negeri, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali yang menjelaskan bahawa peruntukan tersebut termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1954 dan Petronas tidak terkecuali.

Justeru, ujarnya, tidak timbul soal pertindihan kuasa perundangan antara Ordinan Negeri dan Akta Persekutuan berkait isu pemilikan sumber asli minyak dan gas di Sarawak, malah tafsiran sesetengah pihak bahawa Ordinan Pelombo­ngan Minyak 1958 mengatasi Akta Pembangunan Petroleum 1974 sebenarnya tidak lagi timbul.

Sebenarnya bukan sesuatu luar biasa apabila Chieng Jen tidak menyokong usaha kerajaan negeri menubuhkan PETROS dan mendapat hak sepenuhnya menerokai sumber minyak dan gas di negeri ini kerana Pakatan Harapan sendiri sedang cuba `mengula-gulakan’ rakyat Sarawak untuk menyokong mereka menerusi tuntutan sama dalam manifesto PRU-14 yang diumumkan baru-baru ini.

Menerusi manifesto itu, Pakatan Harapan berjanji akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan MA63 termasuk mengkaji hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta minyak dan gas. Namun, sekiranya rakyat Sarawak pandai menilai dan berfikir, mereka pasti tidak mudah tertarik de­ngan ‘gula-gula’ Pakatan Harapan ini kerana pembangkang masih lagi bercakap ‘omong kosong’ sedangkan kerajaan BN sudah pun berjaya mendapatkan sebahagian hak yang dituntut dalam MA63.