Tidak dinafikan mana-mana kerajaan sesebuah negara pasti mahukan segala isu berkaitan rakyat perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin, tanpa mengira apa jua isu, apatah lagi jika melibatkan sektor pertanian.

Lebih khusus isu yang melibatkan keselamatan makanan, namun penggubalan undang-undang baharu tersebut meresahkan beberapa badan bukan kerajaan, komuniti dan organisasi masyarakat terutamanya golongan petani yang dikatakan akan merasai impak negatifnya.

Isu benih telah lama menjadi pertikaian antara dua pihak ini, masing-masing mahu menegakkan pendirian dan pegangan masing-masing menjadikan suasananya agak tidak ‘nyaman’.

Di pihak kerajaan, pasti pihak yang berwajib mahu satu solusi yang tepat dalam mengendalikan kes-kes penggunaan benih haram yang telah semakin berleluasa di pasaran. Keputusan kerajaan tersebut dibantah oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu berkaitan sektor pertanian.

Kordinator Forum Keselamatan dan Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad melihat undang-undang tersebut hanya akan menyebabkan kesan negatif yang serius apabila terdapat pengawalan kualiti terhadap petani dan kepelbagaian benih tanaman dalam negara.

Mereka juga merasakan undang-undang itu seolah-olah menekan petani kerana amalan pertukaran benih dan penjualan benih telah lama dilakukan turun temurun terutamanya mereka yang mengamalkan pertanian secara tradisional.

Mengenakan denda juga seolah-olah memperlakukan petani seperti penjenayah. Bahkan boleh mencetuskan bantahan seperti di Indonesia pada 2004 hingga 2010 dan Colombia, 2013.

Undang-undang itu juga memerlukan petani, penanam benih dan pengeluar benih menjalankan kajian makmal, memohon untuk pensijilan dan pendaftaran selaras dengan pra-syarat tertentu yang menyebabkan peningkatan harga benih.

Mudah kata, lebih ‘mengusutkan’ kepala petani serta membantutkan usaha mempelbagaikan varieti tanaman dan kepelbagaian biologi. Ringkasnya, menurunkan pengeluaran makanan setempat.

Bahkan, kata mereka dalam maklum balas yang dikeluarkan oleh pihak kementerian baru-baru ini, ia hanya menambah persoalan terutama tentang piawaian syarat-syarat kualiti yang ditetapkan, apakah prosedurnya serta kos yang terlibat.

Selain itu, sekatan yang dikenakan ke atas amalan petani selama ini yang menyimpan benih sendiri, bertukar-tukar benih dan ciri-ciri khusus undang-undang tersebut juga dikatakan agak kabur.

Pun begitu, kementerian pasti memiliki alasan yang lebih kukuh mengapa Rang Undang-Undang Benih Pertanian 2019 itu diwujudkan. Banyak juga kes penggunaan benih haram yang akhirnya menyebabkan kerugian di pihak petani juga.

Hal itu telah ditekankan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali sebelum ini di mana beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap penularan penyakit yang akan memberi ancaman kepada kawasan penanaman lain, sekali gus tersebar ke seluruh negara jika penggunaan benih-benih yang tidak disahkan itu berleluasa (terutamanya di sektor penanaman padi).

Pertikaian demi pertikaian seperti itu tidak seharusnya berlaku, jika benar rang undang-undang tersebut akan menganiaya petani seperti yang mereka maklumkan, maka perlu dicari jalan penyelesaian yang terbaik.