Sebelum ini DAP, PKR dan PAN juga membuat desakan memaksa Pas mengikut telunjuk politik mereka. Walaupun Pas bukan lagi dalam pakatan pembangkang namun tindak-tanduk yang dilihat mahu ‘membuli’ Pas terus berlaku.

Rentetan daripada itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat pendirian yang tegas apabila menyatakan: “Kita sudah ada dasar, kita tidak be­kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN, ini keputusan kita, mudah sahaja. Tidak perlu tunggu sebulan, apabila sudah ada hubungan dengan DAP dan PAN, habislah.”

Sememangnya itu keputusan yang tepat kerana sebagai sebuah parti yang bermaruah, mempunyai kekuatan sendiri dan sudah lama berada dalam persada politik tanah air, Pas tidak harus dilayan bagaikan tidak ada harga diri.

Pas mempunyai pendirian dan perjuangan sendiri. Oleh itu parti itu sepatutnya dihormati dan bukannya dipaksa untuk melaksa­nakan agenda politik mana-mana pihak. Kalaulah Pas perlu mengikut apa sahaja kata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP, PKR ataupun PAN, apa maknanya kewujudan Pas?

Sepatutnya parti-parti pembangkang lain tidak melihat Pas sebagai sebuah parti picisan. Sebaliknya jika mereka memerlukan khidmat Pas, maka lakukanlah secara berhemah kerana bak kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad ‘Pas bukan parti budak-budak’.

Bayangkanlah belum pun bergabung lagi Pas sudah diminta mengikut kehendak dan nafsu politik PPBM dan sehingga ke hari ini parti itu terus menjadi sasaran serangan pemimpin-pemimpin DAP dan PAN.

Kalau begitulah keadaannya apa akan terjadi jika Pas benar-benar memeterai perjanjian de­ngan pakatan pembangkang semata-mata mahu melaksanakan impian politik supaya tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

Sama ada PPBM, DAP mahupun PAN, mereka bukannya ikhlas ingin menjalinkan kerjasama dengan Pas atas dasar menghormati kewibawaan dan kemampuan parti tersebut sebaliknya hanya ingin memastikan agenda politik mereka tercapai. Mereka mahu menyeret Pas memenuhi matlamat politik mereka, itu sahaja!

Apabila Pas terpedaya dan terpengaruh dengan ajakan pakatan pembangkang yang kemudiannya perjanjian sudah termeterai, tidak mustahil Pas akan dilayan bagaikan ‘lembu dicucuk hidung’. Inilah sebenarnya muslihat parti-parti tersebut.

Berdasarkan sikap yang ditunjukkan oleh PPBM, DAP dan PAN, Pas tidak akan berupaya waima untuk ‘angkat kepala’ kalau sudah mengadakan kerjasama de­ngan parti-parti berkenaan. Jika mahu mengharapkan PKR akan bersama Pas bagi mempertahankan perjuangan Pas, ibarat mimpi di siang hari.

Sejarah politik sebelum ini sudah menjadi bukti bagaimana PKR lebih cenderung menjaga hubungan dengan DAP dan kini apabila wujud pula PPBM dan PAN, adakah Pas boleh mengharapkan kedua-dua parti itu akan bersama Pas berhadapan dengan DAP?

Seperkara lagi perlu diingat, selain PKR, PPBM sendiri begitu ‘taksub’ untuk menjalinkan hubungan dengan DAP. Ini terbukti apabila Dr.Mahathir sanggup menghadiri Kongres Kebangsaan DAP baru-baru ini dan menarik segala kenyataan buruknya terhadap DAP.

PPBM lakukan semua itu ke­rana mahu menjaga hati DAP. Begitu juga PAN dan semua orang tahu bagaimana parti serpihan Pas itu wujud manakala PKR pula sentiasa sahaja bersuara lunak dengan DAP.

Melihatkan keadaan tersebut, adakah Pas boleh mengharapkan yang parti itu tidak lagi akan dilayan seperti mana ketika berada dalam pakatan pembangkang dahulu? Adakah Pas bersedia untuk dibuli lagi?

Berdasarkan kenyataan-kenya­taan pemimpin Pas setakat ini, mereka amat menyedari bahaya yang sedang menanti jika terpengaruh dengan ‘cerita hantu tiga penjuru’.

Secara logik mana mungkin Pas akan bekerjasama dengan DAP yang terus menghina parti itu termasuklah yang terbaru memperlekehkan pentadbiran kerajaan Pas di Kelantan. Pas juga tidak mungkin memberi ruang kepada PAN kerana tiada jaminan bahawa Pas tidak akan dipaksa menyerahkan kerusinya kepada PAN, kononnya atas kesepakatan pakatan pembangkang.

Oleh itu pemimpin-pemimpin khususnya Abdul Hadi telah membuat keputusan yang tepat apabila menolak kata dua PPBM. Hakikatnya, jika mahu diban­dingkan dengan Pas, apalah sa­ngat hebatnya PPBM selain dike­tuai oleh seorang pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Benar kata Idris:” Jangan dia (Mahathir) berasakan 22 tahun menjadi Perdana Menteri, dia boleh buat kita macam ketua bahagian. Pas bukan ketua UMNO bahagian. Pas sudah 65 tahun, kena hormatlah.”

Perkara paling penting berban­ding PKR, PAN mahupun PPBM, sejarah Pas jauh lebih hebat. Pas memerintah Kelantan sejak 1990, pernah menawan Terengganu dan Kedah. Semuanya atas kekuatan sendiri, sedangkan PKR menawan Selangor hasil bantuan Pas, begitu juga di Pulau Pinang.

Walaupun DAP memerintah namun mereka tidak boleh menafikan bahawa Pas membantu mereka dalam usaha meraih sokongan orang Melayu. PAN dan PPBM pula terwujud kerana perpecahan dalaman parti dan sekarang sedang berusaha untuk terus bernafas dalam arena politik sehingga sanggup ‘menyembah’ DAP. Sehubungan itu mereka tidak setaraf dengan Pas dan tidak layak ‘mengajar’ Pas bagaimana mahu berpolitik!