#DaulatHimpunan812 membuktikan orang Melayu dari segenap lapisan dan umur akan bersatu apabila isu-isu kepentingan bangsa dan agama Islam, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan cuba diancam.

#DaulatHimpunan812 telah memberi mesej yang jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama anggota-anggota Kabinet bukan Islam.

#DaulatHimpunan812 secara jelas meningkatkan kesedaran kepada golongan bukan Islam dan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan PH. Semua pihak baik kerajaan atau pembangkang telah melalui satu pengalaman baharu. Kerajaan PH menjadi lebih berhati-hati dalam tindak-tanduknya.

Justeru sekarang mereka perlu lebih bijak dalam merancang strategi dan melaksanakan dasar-dasar yang hendak diteruskan di bawah agenda Malaysia baharu.

#DaulatHimpunan812 juga berjaya meningkatkan hubungan dua parti Melayu terbesar, UMNO-Pas. Juga memberi keyakinan kepada kepemimpinan mereka bahawa ruang dan peluang ke arah penyatuan politik terbuka luas untuk mewujudkan kesepaduan kuat dalam persediaan dan strategi menghadapi PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tempoh masih panjang tetapi persediaan awal dengan strategi yang baik adalah faktor utama untuk mencapai kejayaan.

Dalam konteks PRU-15, (tempoh penggal Parlimen akan berakhir pada 2023), jika kesepakatan politik dua parti Melayu terbesar menjadi kenyataan, penyatuan dan kesepaduan ditunjukkan dalam perhimpunan itu tentunya boleh dizahirkan dalam PRU-15.

Maka itu satu ancaman kepada PH. Calon-calon tunggal mewakili UMNO-Pas di setiap kawasan Parlimen tentunya akan memberi tentangan sengit kepada calon-calon PH di lebih 160 kawasan Parlimen seluruh negara.

Ancaman kepada kesepakatan UMNO-Pas ialah berwaspada dan menangkis apa juga usaha kerajaan PH yang akan berusaha untuk menggagalkan mereka.

Penyatuan politik UMNO-Pas adalah perkara yang amat ditakuti oleh DAP dan kepemimpinan bukan Islam yang lain.

Dalam konteks halangan kepada kerajaan PH untuk terus menerajui negara, dengan semangat kesepakatan politik yang boleh terhasil selepas #DaulatHimpunan812, ini membuka peluang kepada pembangkang untuk menjadikan PH sebagai kerajaan satu penggal sahja.

Sekali gus membuka peluang untuk menzahirkan sebuah kerajaan yang baharu selepas PRU-15, yang terdiri daripada gabungan dua parti Melayu terbesar.

Jika ini menjadi kenyataan, kerajaan gabungan UMNO-Pas (bersama dengan beberapa parti kecil yang lain) akan merupakan sebuah kerajaan kukuh untuk masa depan bangsa, agama dan negara.

#DaulatHimpunan812 memberi isyarat dan pengajaran yang berguna kepada kerajaan dan pengalaman yang baik kepada pihak-pihak yang menganjur.

Juga satu pengajaran kepada rakyat amnya bahawa Melayu boleh dan akan bersatu jika hak-hak keistimewaan dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tergugat.

Orang Melayu menerima baik kaum-kaum lain dan menghormati agama-agama mereka anuti. Maka, mesejnya jelas, mengingatkan kaum lain agar menjaga sensitiviti dan perasaan orang Melayu.

Jangan sesekali cuba melakukan perkara-perkara berkaitan keistimewaan hak, agama Islam dan kedudukan raja yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Langkah ke hadapan - yang utama ialah betapa pentingnya kerajaan secara serius dan fokus tumpukan kepada usaha menyatupadukan rakyat dan mewujudkan keharmonian, menghormati Perlembagaan.

Umumnya, rakyat terluka dan kecewa. Kerajaan yang dilihat gagal menunaikan janji-janji pilihan raya, ditambah pula dengan timbulnya kenyataan dan tindakan di luar jangkaan dan memberi isyarat mengelirukan mereka.

Kesepaduan dan keharmonian rakyat adalah keutamaan segera. Malaysia boleh gagal jika rakyat berbilang kaum, berbeza agama tidak memahami sejarah negara.

Ini sekali gus mengakibatkan kurang kesepadua selain tidak menghormati sensitiviti atas perkara-perkara asas utama yang termaktub dalam Perlembagaan.

DATUK SERI WAN AHMAD WAN OMAR ialah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).