Berbeza 10 kebelakangan ini, angin timur bertiup kencang sejak Januari hingga awal Mac. Orang utara sudah kenal benar dengan angin timur atau musim kemarau tetapi generasi sekarang hampir-hampir tidak merasa suasana sebenar angin timur ini.

Kalau dulu, pagi-pagi pun malas hendak mandi kerana seawal pukul 7 pagi angin timur sudah mula bertiup kencang membawalah ke tengah malam. Tetapi sekarang, a­nginnya bertiup perlahan. Kadang-kadang beralih kepada angin dari arah barat dan kadang-kadang pula hujan lebat.

Ramai generasi lama orang utara sekarang merasakan bahawa musim angin timur dan kemarau panjang tidak seperti dahulu lagi. Budak-budak muda tidak lagi bermain layang-layang seperti dahulu. Malah tidak ada lagi yang bermain bola sepak di sawah bendang yang kering-kontang kerana biasanya hujan lebat tidak berlaku selama dua bulan.

Apa-apa pun, usaha mengembalikan nostalgia zaman dahulu diteruskan dengan penganjuran Pesta Angin Timur Perlis yang sudah diadakan sebanyak enam kali termasuk tahun ini. Tahun ini, Kampung Bangsal Lebah, Kayang menjadi tuan rumah Pesta Angin Timur 2018 yang dilangsungkan selama tiga hari bermula 9 Mac dan berakhir semalam, 11 Mac.

Pesta yang dikendalikan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan ini menghimpunkan puluhan ribu pengunjung dan menjadi produk baharu pelancongan Perlis. Pelbagai acara dan produk yang terdapat dalam pesta ini akan dapat menarik pengunjung merasai sedikit-sebanyak budaya golongan petani terutamanya aktiviti-aktiviti sebelum arus kemodenan melanda kehidupan petani dan aktiviti-akti­viti semasa petani menjalani kehidupan serta menjalankan tugas seharian mereka dalam arus kemajuan.

Selain itu, pertandingan-pertandingan seperti menggagau ikan, menangkap belut, festival layang-layang, petani sasa dan sebagainya adalah budaya masyarakat Melayu yang berkait rapat dengan corak hidup golongan petani. Inilah antara keunikan Pesta Angin Timur yang perlu dilihat oleh generasi muda, apatah lagi bagi mereka yang bukan berasal dari utara.

Kepelbagaian acara dan aktiviti dalam Pesta Angin Timur termasuk persembahan kesenian dan kebudayaan seperti ghazal parti, wayang kulit dan tarian popular dari utara merupakan manifestasi budaya masyarakat Melayu zaman dahulu yang perlu dinikmati pengunjung.

Pesta Angin Timur mesti dipromosikan seluas mungkin agar dapat menarik ramai pengunjung ke pesta tersebut termasuklah pengunjung dari negeri-negeri jiran. Pesta ini mesti diteruskan kerana membawa pelbagai manfaat kepada industri pelancongan negeri dan menjana ekonomi penduduk setempat. Jualan hasil kraf, makanan dan sebagainya akan memberi pulangan kepada para peniaga yang terbabit dalam pesta ini.

Penganjuran Pesta Angin Timur juga mesti diperluaskan ke negeri Kedah kerana sebagai Jelapang Padi Malaysia, Kedah memiliki ciri-ciri yang sama dengan negeri Perlis. Musimnya sama, budayanya sama malah angin timurnya juga sama.

Pesta Angin Timur yang diadakan di kawasan Kampung Kandis, Kodiang Kedah baru-baru ini merupakan satu usaha untuk memperkembangkan pesta ini lebih jauh lagi. Tidak kira musim sudah berubah, angin timurnya tidak sehebat dahulu, Pesta Angin Timur mampu memperlengkap produk pelancongan, mempertahan budaya dan mempamerkan cara hidup masyarakat petani di negara kita.