Sebelum Siti meneruskan tulisan ini, Siti ingin memohon maaf sekiranya tulisan ini sedikit menyinggung. Tapi tiada secebis pun di hati Siti untuk berbuat demikian kerana hasrat ikhlas adalah menyuntikkan sedikit kesedaran kepada yang muda supaya mengambil iktibar daripada golongan yang sudah veteran dan meneruskan hidup dalam serba kekurangan.

Sebenarnya daripada gambaran kemewahan yang dilalui oleh sesetengah artis muda ketika ini adalah kontradik dengan kisah duka artis veteran. Secara logiknya dengan gembar-gembur kisah kehidupan mewah artis muda, sudah tidak ada artis veteran yang terpaksa menjalani hidup yang lara. Mereka ditinggalkan peminat, populariti dan hilang mata pencarian.

Artis-artis muda yang berada di puncak populariti perlu mengambil iktibar daripada kisah hidup sesetengah artis veteran yang usia tuanya tidak begitu menggembirakan. Siti tidak bermaksud memperkecilkan artis veteran yang sesetengahnya pernah menjalani hidup mewah tapi menjadi sebaliknya pada usia tua. Artis muda jangan mempersenda kerana kata orang tua-tua, pelepah muda jangan ketawa bila pelepah tua gugur kerana dia juga akan menjadi tua.

Maksudnya pada usia muda ini tidak perlulah memperagakan kemewahan yang melampau walaupun sebenarnya mewah. Lebih-lebih lagilah yang tidak mewah tapi bergaya mewah kerana pada tanggapan mereka peminat akan lari kalau menjadi diri mereka yang sebenar iaitu bersederhana menjalani hidup. Nanti bila tiba usia tua, tidak adalah peminat yang membandingkan zaman dulu dan zaman sekarang.

Mewah

Apabila agak banyak media yang memaparkan kehidupan artis veteran yang tidak seperti yang dibayangkan peminat, mereka pun berkata, artis bernasib baik kerana pernah menikmati kemewahan tapi bagaimana dengan mereka yang kerja buruh, pengawal keselamatan dan sebagainya yang tidak pernah menikmati kehidupan mewah? Tapi seolah-olah yang perlu dicurahkan simpati hanya kepada artis sedangkan dulu mereka pernah mewah.

Memang ada benarnya, apalah sangat kesusahan hidup sesetengah artis veteran kalau dibandingkan dengan orang biasa yang terpaksa ikat perut kerana tidak cukup makanan, tidak ada kediaman yang sempurna? Adilkah kalau simpati dan bantuan lebih banyak dihulurkan kepada golongan artis yang dulunya pernah merasai kehidupan mewah cuma sekarang kurang mewah berbanding orang biasa yang terus menerus hidup serba kekurangan?

Seperti yang Siti katakan tadi, Siti tidak bermaksud untuk menyinggung mana-mana pihak terutama pakcik atau makcik artis veteran kita. Siti menulis ini untuk mengingatkan artis-artis yang muda, popular dan hidup kaya raya supaya beringat-ingat pada masa tua. Tak rugi apa-apa kalau hidup sederhana dan beringat-ingat supaya hari tua dapat dilalui dengan sempurna.

Siti bukan tidak kasihan membaca kisah hidup sesetengah artis veteran kita. Tapi Siti tak boleh menafikan orang biasa yang hidupnya menderita pun perlu diberi bantuan dan perhatian. Kepada artis veteran yang pernah popular dan di puncak gemilang tapi kini hidup derita, kita tidak boleh undurkan masa.

Kepada artis muda, ambillah kisah hidup artis veteran sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi laluan yang sama. Malah banyak artis veteran yang berpesan supaya beringat-ingat masa mewah. Hidup tidak selalunya disinari kemilau, sampai suatu masa kemilau itu akan pudar dan bermulalah hakikat sebenar sebuah kehidupan.

SITI JARUM: Hidup sederhana saja.