Menurut Santokh, setiap kali ada perjumpaan dengan semua pemain, elemen ‘3D’ sentiasa ditekankan oleh Datuk Harun bagi memastikan semangat pemain tidak luntur dan berjuang sebagai satu pasukan yang sentiasa dahagakan kejayaan.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam dunia bola sepak, beliau menceritakan Datuk Harun juga merupakan orang yang mula-mula mengesan bakat dan memilihnya untuk mewakili Selangor buat pertama kali dalam kejohanan Burnley Youth Cup (sekarang ini dikenali sebagai Piala Razak) pada tahun 1971.

Datuk Harun ketika itu merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dikenali ramai sebagai seorang pemimpin banyak membantu kebajikan para pemain.

Santokh Singh mengakui Datuk Harun juga merupa­kan pemimpin yang banyak berjasa dan beliaulah orang yang telah membantunya mendapatkan kerja di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai juruteknik pada tahun 1972.

“Datuk Harun bukan saja pilih saya jadi pemain Selangor tetapi beliau juga tolong saya dapatkan kerja di PKNS. Masa itu saya dibayar gaji cuma RM180 sebulan. Elaun RM3 sehari. Gaji kecil tapi cukup, sebab nilai duit besar dan harga barang-barang pun masih murah,” cerita Santokh tersenyum mengingati saat manis beliau mula bertapak dalam arena bola sepak.

Setelah dipilih mewakili Burnley Youth Cup pada tahun 1971, bakat Santokh semakin mendapat perhatian setelah dipilih bermain mewakili pasukan Selangor pada tahun 1972.

Antara kenangan manis yang masih diingatinya apabila Selangor melayakkan diri ke perlawanan akhir dan seterusnya menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1972. Berkat dedikasi yang ditunjukkan itu Santokh seterusnya dipilih mewakili pasukan Malaysia pada tahun tersebut.

Antara pencapaian Santokh paling membanggakan apabila mewakili negara adalah apabila Malaysia memenangi tiga kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 1973, 1974 dan 1976. Ketika mewakili pasukan Selangor, beliau membantu memenangi Piala Malaysia sebanyak sembilan kali.

Pada tahun 1973, bekas jurulatih Malaysia M Kuppan dan Abdul Ghani Minhat merupakan orang yang bertanggungjawab membentuk gandingan mantap Santokh Singh-Soh Chin Aun sehingga menggerunkan pasukan-pasukan lawan di Asia seperti Korea Selatan dan Jepun.

Apabila ditanya apakah kenangan paling manis pernah dikecapinya bersama pasukan negara Santokh memberitahu, ada dua kejayaan terhebat tercipta iaitu meraih pingat gangsa dalam Sukan Asia Tenggara 1974 di Tehran, Iran dan layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980 yang belum mampu diulangi. Untuk rekod, pasukan bola sepak Malaysia pernah layak bertanding ke Sukan Olimpik di Munich Jerman pada 1972.

Menurut Santokh, cerita kejayaan Malaysia menundukkan Korea Selatan 2-1 pada 16 April 1980 di Stadium Merdeka merupakan suatu nostalgia sukar dilupakan. Santokh menyarung jersi kebangsaan berwarna kuning dengan No. 5.

“Kami turun menentang Korea Selatan bukan mengharapkan apa-apa habuan jika menang. Tapi kami turun membawa maruah negara dan mengharapkan kemenangan. Itu saja,” beritahu Santokh yang menjadikan pemain pertahanan Jerman Franz Beckenbauer sebagai idolanya.

Kegembiraan Santokh dan rakan sepasukan ke temasya Olimpik Moscow 1980 berkecai beberapa bulan kemudian apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pemulauan sukan itu sebagai membantah tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.

“Sampai hari ini saya tak rasa Malaysia akan mengulangi sejarah 1972 dan 1980. Mereka (pemain) tiada semangat untuk mewakili Malaysia dan menang . Mereka cuma nak wang dan ganjaran. Itu saja.

“Kita tak boleh salahkan pemimpin FAM, fasal mereka sudah buat yang terbaik, membuat segala perancangan dan masa depan bola sepak Malaysia,” akuinya yang pernah diberi gelaran Ironman, bulldozer dan ‘Surging Sing’ yang bermaksud sentiasa mara ke depan.

Santokh mengakui segala kemudahan bola sepak negara yang disediakan sekarang sudah bertaraf dunia, manakala gaji dan elaun pemain pula tinggi. Jika menang pemain dapat bonus tetapi itu semua belum tentu dapat menjamin kejayaan pasukan Malaysia jika tidak memiliki 3D seperti mana yang digariskan oleh Datuk Harun 46 tahun lalu.

“Dulu tak ada mewah macam sekarang. Tapi mereka mesti ada 3D seperti Datuk Harun cakap. Kalau training pukul 7.00 pagi pukul 6.00 dah turun. Dulu kami pernah berlatih di Terendak Kem, Melaka. Latihan cara askar. Duduk satu bumbung, mandi sekali, makan sekali.

“Kami dibentuk sebagai satu team. Kami diasuh semangat bermain bersama untuk menang dan bermain untuk negara. Dan kami dibimbing bermain untuk rakyat Malaysia. Itu saat manis yang saya takkan lupakan,” katanya.

Beliau menceritakan sebagai hadiah kejayaan berjaya ke Olimpik Moscow 1980, setiap pemain hanya diberikan seutas jam tangan Rolex dan dibawa melawat ke Brazil.

“Cukuplah. Dulu kami bermain bukan nak duit tapi bermain untuk maruah negara. Bendera Malaysia (pada jersi) selalu berada di hati. Jadi mereka perlu bermain dengan bersungguh-sungguh untuk negara yang tercinta,” katanya yang mewakili negara sejak tahun 1972 hingga 1985.

Jika tiada sebarang program, rutin hariannya pagi-pagi lagi beliau pergi ke pasar di Setapak membeli barangan makanan dan selepas itu kira-kira pukul 10.00 pagi beliau akan bertemu rakan-rakannya bekas pemain bola sepak sambil menikmati teh di warung berdekatan rumahnya.

Di warung inilah sejak 15 tahun lalu menjadi destinasi mereka berkumpul dan bercerita pelbagai kisah menarik tentang dunia bola sepak yang diharungi sejak dari muda sehinggalah bersara dari dunia yang dicintainya.

“Dulu, petang-petang saya selalu bermain bola sepak dengan Mokhtar Dahari dan Redzuan Abdullah. Saya kayuh basikal pergi rumah Mokhtar Dahari di Kampung Datuk Keramat. Lepas main bola, singgah rumah Mokhtar minum teh. Lepas itu baliklah,” cerita Santokh yang ketika itu tinggal di Kampung Ayer Panas, Setapak, Kuala Lumpur.