Sebagai ulang kaji terutama bagi kalian yang sudah mati dan menjadi puaka, perayaan Halloween dikhabarkan berasal daripada festival menuai Celtic purba iaitu Festival Samhain yang dikaitkan dengan kepercayaan pagan. Ada juga versi lain, sila selidik sendiri di internet.

Atas sebab itu, kita lihat kebanyakan manusia yang merayakan acara tradisional ini, tidak pernah pun bersembahyang untuk kita yang mati, tetapi meraikan kelompok puaka dalam kalangan kita. Tolong ambil perhatian, ada kuiz minggu hadapan.

Perkara pertama iaitu isu-isu berbangkit, Majlis Puaka Sedunia meminta puaka-puaka dari Asia supaya berhenti ‘mencuba dan menguji’ anggota-anggota majlis puaka dengan kiriman santau dan sihir mereka. Jadilah puaka berakal walaupun jasad sudah tidak ada organ otak, sebab santau dan sihir hanya ‘menjadi’ kepada manusia, bukan sesama puaka.

Majlis Puaka Sedunia juga mahu menegur hantu Nang Nak dari Thailand agar berhenti memanjat siling dewan di ibu pejabat ini, ia tidak menakutkan, tidak lucu dan amat menjijikkan. Lagi sekali kelibat dikesan, Nang Nak akan dipindahkan ke Pulau Spratly selama 500 tahun.

Majlis juga meminta puaka-puaka dari Eropah dan Amerika Selatan agar berhenti mengirim apa-apa pesanan romantik menerusi media sosial kepada Edward Cullen, yang telah mengadu kepada kami berkenaan gangguan spiritual yang dialaminya sejak filem Twilight ditayangkan.

Pada sambutan kali ini, Majlis Puaka Sedunia buat julung kali akan memberi pengiktirafan kepada puaka-puaka atas pencapaian mereka menakutkan manusia, selain berjaya mencipta nama bila kisah mereka dijadikan filem.

Senarai puaka terkemuka:

1 Dr. Malcom Crowe iaitu pakar psikiatrik yang tidak sedar dirinya hantu dalam The Sixth Sense telah berjaya meningkatkan imej hantu sedunia daripada menyeramkan, kepada hantu keliru dan tidak sedar diri yang dia sebenarnya puaka. Ramai manusia hari ini berperangai sedemikian, tidak sedar diri mereka adalah puaka.

2 Hantu Oren kini bermaharajalela, bunyinya. Sana sini orang takut. Satu demi satu manusia dibawa lari hantu ini dan bila ditemui, hanya berbaju oren. Hantu ini tidak akan berhenti selagi semua manusia yang menjadikannya hantu sebelum ini, tidak menjadi oren. Benar-benar seram!

3 Hantu Ju-On adalah menyamai pengaruh Psy dengan lagunya, Gangnam Style iaitu perluasan K-Pop sehingga versi Ju-On Amerika pun ada. Majlis Puaka akan menghantar wakil ke Korea tidak lama lagi, untuk memberi kelulusan satu lagi watak maha menakutkan sebagai ganti Ju-On iaitu hantu kereta api tebing timur.

4 Hantu The Ring, juga menarik kerana menjadi kesinambungan kepada hantu TV terkenal iaitu The Poltergeist. Oleh kerana ia juga dari Korea, majlis menyarankan hantu keluar dari Instagram pula difilemkan. Ini cara kita meningkatkan bilangan hantu instagram dengan pantas!

5 Dracula, yang telah menjadi kebanggaan sekurun sejarah filem, akan kita tamatkan riwayat setelah eksperimen kita dengan watak puntianak boleh berjalan siang dan puasa darah manusia menerusi Twilight, mencatat kejayaan besar. Ia akan dinamakan Hantu Cookai Baru.

6 Hantu Kak Limah, adalah aneh kerana kami dapati tiada elemen seram langsung dalam penceritaan. Majlis berpendirian untuk berkecuali dalam konteks Kak Limah kerana ketika kami menitikberatkan elemen seram, jadi kita akan sarankan filem seram sebenar, Hantu Tiga Beranak yang pasti mengakibatkan manusia meraung.

7 Majlis juga menyarankan pengkisahan Hantu Punya Orang. Ia berkaitan manusia yang gemar guna media sosial dan bergambar ikut gaya Vladimir Putin. Bila gambarnya tersebar luas, manusia itu naik hantu menyalahkan manusia.

8 Hantu Sepatu adalah fenomena terbaru yang diberitahu kepada Majlis Puaka bahawa, berhari-hari hantu sepatu menghantui masyarakat. Bukan saja hantu sepatu, pembantu hantu pun nak menyampuk menjadi hantu terompah. Tapi disebabkan bajet tiada, filem ini kita saran tukar kepada hantu sarung kaki sahaja.