Apa pun, tsunami politik yang dicetuskan oleh pengundi India bermula dalam PRU-12 pada tahun 2008, telah dirancakkan lagi dengan tsunami politik oleh pengundi Cina dalam PRU-13, lima tahun lepas. Pun BN mampu bertahan. Bila pengundi Melayu turut menyertai tsunami politik ini berikutan kehilangan keyakinan melampau (extreme trust deficit) terhadap kepimpinan, BN menerima hukumannya. Bagi pengundi rumpun bangsa Melayu, penolakan BN yang ditunjangi UMNO ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’.

Apa pun, kepahitan hakikat ini wajib diterima. Selepas PRU-12, mereka telah mengingatkan kepimpinan UMNO agar jangan sampai Melayu kehilangan kuasa politik. Bagi mereka, kuasa politik adalah kuasa induk yang wajib kekal dalam genggaman mereka. Ini kerana lain-lain punca kuasa, terutama kuasa ekonomi, pendidikan dan agama amat sukar untuk mereka perkasakan.

Gelombang politik alaf baru ini akan menukarkan landskap politik negara buat selama-lamanya. Jika dulu hanya Pas, sebagai parti politik bangsa Melayu berada di kerusi pembangkang. Lepas itu Semangat 46 (buat seketika) dan PKR, parti pelbagai kaum diterajui bangsa Melayu, berada di situ. Kini, parti politik ditunjangi rumpun bangsa Melayu berada di kedua-dua belah batas politik, kerajaan dan pembangkang. Rumpun bangsa Melayu wajib menerima realiti ini.

Politik alaf baru ini menyaksikan kecenderungan politik tidak lagi taksub atau terikat kepada institusi politik berteraskan ras atau etnik. Saya pernah menulis artikel yang disiarkan dalam akhbar tempatan akan kemungkinan tempias gelombang politik global turut mempengaruhi landskap politik Malaysia. Saya cuba mengingatkan kita semua, termasuk pemimpin, apa akan terjadi jika tempias tsunami politik global itu melanda kita. Kini, ia sudah terjadi.

Bagi kita di Malaysia, kita bersyukur sistem pemerintahan dan Perlembagaan yang dibina membolehkan kita bertukar kepimpinan politik tanpa kekacauan. Dalam sistem itu dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan, ada pemerintah mutlak yang berperanan sebagai khalifah, iaitu Institusi Raja-Raja Melayu. Institusi inilah yang berperanan sebagai pengimbang kepada institusi politik kita.

Ia berkecuali dalam urusan politik, rakyat sebaliknya berperanan sebagai punca kuasa muktamad dalam ruang lingkup Perlembagaan dan perundangan. Sekali gus ia membolehkan rakyat membuat apa juga percaturan politik tanpa rasa khuatir.

Seminggu berlalu sudah. Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU-14, sudah pun membentuk kerajaan. Soalnya, adakah Barisan Nasional (BN) yang tewas sudah bersedia berperanan sebagai pembangkang yang efektif?

Sayugia diingat, dalam sistem politik kita, peranan pembangkang sama pentingnya dengan pihak yang memerintah. Semua pengundi, baik yang menyokong mahupun yang menolak BN, ingin melihat BN berperanan sebagai pembangkang dan pemantau. Sebagai pembangkang mereka wajar bangkang apa yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan tetapi dirasakan ia tidak akan memanfaatkan negara dan rakyat. Sebagai pemantau, mereka sewajarnya memantau bagi pihak semua rakyat (sebagai pemegang-taruh), prestasi kerajaan dalam menjalankan amanah.

 

Beralih angin

Sebagai pembangkang, BN juga wajib bersedia sepanjang masa. Seandainya kerajaan PH gagal menjalankan amanah mereka sepertimana yang dijanjikan, rakyat sebagai pengundi tidak teragak-agak beralih angin kembali kepada BN untuk mentadbir negara. Ini juga satu lagi fenomena atau perubahan angin politik di negara ini.

Maknanya, BN dan PH kena terima hakikat bahawa hari ini rakyat sebagai pengundi, tidak lagi terikat dengan mana-mana parti politik. Penerimaan perubahan angin politik ini juga amat penting bagi parti-parti politik menyusun semula jentera dan struktur parti masing-masing. Jika pengundi tidak lagi taksub kepada parti, apa gunanya cuba menarik pengundi menjadi ahli parti, kerana ramai ahli belum pasti ramai pengundi menyokongnya.

Kedua-dua belah pihak pemisah batas politik, PH dan BN, adalah parti politik majmuk pelbagai kaum. Untungnya kita di negara ini, semuanya terdiri dari kaum atau bangsa yang dikategorikan sebagai politically docile. Yang menang bersyukur dengan kemenangan parti pilihan mereka, yang kalah akur menerima kekalahan itu. Lambat-laun, mereka yang berada di kedua-dua belah pemisah politik ini akan bertaut kembali ibarat ‘biduk berlalu, kiambang bertaut’.

Rutin harian mereka pun nampaknya berjalan seperti biasa. Pun begitu, sembang-sembang politik dalam kumpulan masing-masing akan berterusan hingga ke PRU-15 nanti. Itulah seronoknya berada di bumi bertuah ini.

Tapi saya ada satu kebimbangan baru cetusan daripada tsunami politik ini. Rakyat yang ghairah dengan kekuatan kuasa yang ada padanya, didorong oleh pengaruh-pengaruh luar (global tsunami), akan mempertikaikan kewujudan dan kepentingan Institusi Raja-raja Melayu, dalam politik negara. Suara-suara sumbang sudah mula kedengaran tanpa sebarang tindakan proaktif daripada mana-mana pihak untuk meredakan, mengekang atau memperbetulkan gejala ini.

Sistem pendidikan tidak lagi berperanan sebagai benteng pertahanan pertama kepada institusi ini dalam membentuk kefahaman, jiwa dan minda anak-anak untuk menghormati dan menerima kewujudan institusi ini. Anak-anak ini dibiarkan keliru mengenai kewujudan, peranan dan tanggungjawab institusi ini.

Seandainya satu hari nanti benteng politik juga goyah atau turut tidak mempedulikan institusi ini, tiada siapa yang dapat atau mampu mempertahannya daripada cubaan untuk meruntuhkannya. Institusi politik boleh goyah tetapi kestabilan negara tetap terpelihara, kerana adanya institusi ini. Seandainya institusi ini dilanda tsunami rakyat, kepada siapa ia akan berpaut?

Mahu atau tidak, institusi ini wajib terus dipertahankan oleh institusi lain, terutama institusi politik dan pendidikan. Maknanya, apa juga benteng yang mampu mempertahankan kedudukan institusi ini sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan wajib diperkukuhkan dari sekarang.

* Penulis ialah Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM).