Setelah bermesyuarat dengan kesemua ahli keluarga mereka bersetuju untuk memberi kebenaran kepada saya membuat rumah dan ibu berjanji untuk memberikan tanah tersebut kepada tiga orang anak-anak perempuan dan dipersetujui abang-abang saya dan mengatakan mereka tidak mahu kerana telah mempunyai rumah dan ingin bagi pada adik-adik  perempuan sahaja.

 Setelah enam tahun berlalu, abang-abang saya pencen tetapi mereka mendesak pula mahu membina rumah di atas tanah ibu. Mereka ingin meroboh dan membina semula rumah di tapak yang sama dan ingin menukarkan nama dalam geran yang selama ini nama saya seorang kepada nama abang dengan alasan untuk membuat rumah sewa bagi menampung ibu. Beliau telah berumur 77 tahun. Apa yang patut saya lakukan?


* Zubaidah, Kuala Lumpur.

UKE: Hubungan silaturrahim adalah lebih wajib dipertahankan dan lebih utama daripada harta dunia. Jangan kerana harta maka berantakan satu keluarga.

Apatah lagi melibatkan ibu yang sedikit sebanyak ada kesan kepada anak-anaknya jika terlepas kata atau terkasar laku walau dalam mempertahankan hak. 

Biarlah yang lain berebut harta asalkan anda beralah dan beralah bukan bermakna anda kalah, malah itu adalah kekuatan jiwa yang anda miliki.

Dalam bab ini harus diingat bahawa ibu hanya meletakkan nama anda sahaja di dalam geran, bukannya dia serah terus tanah tersebut kepada anda walaupun dari sudut undang-undang bila nama anda ada dalam geran maka tanah itu adalah hak anda.

Tetapi kerana menghormati ibu dan keluarga yang lain, saya rasa anda tidak sanggup berbuat demikian. Saya mencadangkan seperti berikut:

1. Jangan dirobohkan rumah tersebut sebaliknya anda suami isteri membayar harga tanah iaitu membeli tanah itu dan wangnya diserahkan kepada ibu anda.
2. Anda boleh menyerahkan rumah tersebut kepada abang-abang anda dengan meminta mereka membayar semula kos pembinaan rumah tersebut.
3. Anda serahkan tanah dan rumah itu dengan niat infak kepada keluarga.
4. Anda boleh bertegas dengan mempertahankan tanah dan rumah sebab nama anda ada di dalam geran tetapi yang ini akan menimbulkan perselisihan lebih besar. 
5. Bawa berbincang dengan elok. Bukannya dapat banyak duit jika buat rumah sewa. Kos penyelenggaraan lebih tinggi daripada kadar sewa.
Kalau betul hendak buat rumah sewa dan duit diberi kepada emak, saya rasa lebih baik dana hendak buat rumah sewa itu dimasukkan ke dalam amanah saham atau Tabung Haji atas nama emak dan beliau boleh ambil pembiayaan setiap bulan daripada pelaburan tersebut.
Lebih mudah, kos selenggara tak ada dan tak bergaduh adik-beradik, selesai semua masalah. Terpulang kepada anda untuk mengikut cara yang mana satu.


Tolong bayar rumah pemberian bekas suami  

Seorang wanita semasa berkahwin telah menerima sebuah rumah sebagai mas kahwin. Mereka kemudiannya telah bercerai. Bekas isteri kemudiannya berasa tidak adil untuk terus memiliki rumah tersebut tanpa mengeluarkan satu sen pun. 
Dia kemudian telah membuat bayaran ansuran secara bulanan tanpa ada jumlah tetap iaitu bergantung pada kemampuan kewangan bulanan kepada bekas suami mengikut nilai harga rumah itu semasa dibeli dahulu. 
Apakah dibolehkan bekas isteri  berbuat demikian dan apakah hukum jika bekas suami menerima bayaran tersebut. 


*Sham Ahmad, Ipoh.

UKE: Kenapa hendak bayar ansur-ansur pula? Itu hak isteri sepenuhnya sebab ia mas kahwin. Tak payah nak buat susah-usah, itu hak isteri sepenuhnya. Duduk diam-diam jangan menyusahkan diri sendiri. 
Yang bekas suami hendak ambil duit itu pasal apa pula? Ambil hasil bukan hak mana boleh? Kalau sudah bagi, mana boleh ambil balik melainkan ada sesuatu hal yang dibenarkan oleh syarak.


Witir dua rakaat?  

Saya berniat sunat witir untuk satu rakaat tapi saya buat solat itu dua rakaat. Apakah hukumnya?

*Hamba Allah, Shah Alam.

UKE: Witir dari segi bahasa bermaksud jumlah yang ganjil seperti sekali, tiga kali, lima kali dan seterusnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) itu ganjil (Tunggal atau Maha Esa) dan mencintai yang ganjil.” (Sahih Bukhari).
 Al-witir secara syarak pula bermaksud solat sunat yang dikerjakan di antara solat Isyak hingga munculnya fajar yakni masuk waktu subuh dan ia menjadi penutup bagi solat malam. 
Ia digelar sebagai al-witir kerana jumlah rakaatnya adalah ganjil seperti satu rakaat, tiga rakaat, tujuh rakaat, sembilan rakaat dan seterusnya. Solat witir tidak boleh dikerjakan dalam jumlah rakaat yang genap.


Buat korban untuk anak dan cucu  

Bolehkah kalau saya mahu melakukan ibadah korban untuk anak, menantu dan dua orang cucu saya walaupun anak saya sudah bekerja?

* Norin, Kuala Lumpur.

UKE: Antara syarat korban kepada orang yang ingin berkorban ialah Islam, berkemampuan, akil dan cukup umur. Kakak tengoklah cucu kakak ini dah cukup umur ke belum? 
Nak buat kepada anak dan menantu tiadalah halangan, cuma kakak beritahu sahaja mereka.