Contohnya, dua minggu selepas Mahkamah Persekutuan Malaysia mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan penceroboh rakyat Filipina yang terlibat dalam insiden Tanduo pada 2013, Aquilino “Nene” Q. Pimentel Jr, bekas Presiden Senat Filipina (2000-2001), kini anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, mencadangkan agar Sabah dimasukkan sebagai salah satu negeri Filipina dalam peralihan kepada sistem persekutuan.

Dalam satu aspek, cadangan Nene mencerminkan sebahagian isi hati rakyat dan golongan elit Filipina. Dari satu aspek yang lain memperingatkan kepada rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sabah khasnya supaya tidak terlepas pandang isu lebih besar daripada isu-isu tempatan yang bagaikan tiada berpenghujung.

Rakyat Sabah tidak seharusnya meluangkan terlalu banyak masa memperdebat isu-isu domestik mengenai hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri kerana yang lebih utama ialah isu teras seperti kedaulatan negeri Sabah itu sendiri. Lagipun, tanpa kedaulatan, kebebasan dan kemakmuran ia tidak akan bererti.

Ini persoalan pokok. Hakikatnya, menjadi sebahagian dalam Persekutuan Malaysia ialah antara keputusan tepat yang telah dibuat oleh Tun Mustapha dan barisan pemimpin Sabah yang lain, serta rakyat negeri ini, pada 16 September 1963.

Sesungguhnya, penubuhan Persekutuan Malaysia telah berjaya memelihara maruah Sabah dari­pada menjadi buah catur Filipina dalam mencorak dan mengatur kepentingan mereka di pentas geopolitik serantau mahupun an­tara­bangsa.

Kalaulah Sabah menjadi se­bahagian daripada Filipina, sudah tentu ia akan menjadi sebahagian daripada wilayah Mindanao yang bermasalah di Filipina hari ini.

Mindanao inilah yang masih menjadi antara kawasan konflik paling panas di negara tersebut. Hari ini pun, meski Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, ia tetap menerima tempias daripada konflik Mindanao.

Akibat faktor geografi, anta­ranya Sabah menjadi antara desti­nasi utama pelarian dan mangsa kon­flik di Mindanao. Bukan rah­sia apabila ramai daripada mang­sa konflik ini kemudiannya men­jalani kehidupan lebih selesa di Sabah sehingga tidak mahu kembali ke negara asal.

Pengalaman penulis sendiri menjadi saksi betapa tegarnya rakyat Filipina ini kembali semula ke Sabah meskipun telah berkali-kali ditangkap dan diusir pihak berkuasa. Mungkin pada mereka lebih baik menggadai nyawa datang ke Sabah daripada hidup bergelumang peluru dan bom di Mindanao.

Begitulah makmurnya Sabah dalam Malaysia sehinggakan “Askar Diraja Sulu” pun berani menuntut Sabah sebagai wilayah mereka. Sabah juga mesti ambil pengajaran daripada nasib cucu-cicit bangsa ‘Philistine’ di Palestin. Apabila pelarian Perang Dunia Kedua Yahudi dari Eropah datang berlindung di Palestin, apabila sudah aman, mereka pula menuntut menjadi tuan tanah.

Kerana dikuasai kuasa besar ketika itu iaitu British, kesannya hari ini, hampir keseluruhan tanah Palestin, kecuali Gaza dan Tanah Barat dikuasai oleh negara haram Israel. Palestin telah lenyap. Maka, Sabah tidak boleh menerima nasib sama seperti Palestin.

Sudah tentu rakyat negeri ini dan negeri-negeri lain di bawah payung Malaysia pasti akan berjuang habis-habisan mempertahan dan melindungi negeri bertuah ini daripada sebarang anasir ancaman, dalam dan luar, seperti yang dibuktikan korban nyawa pihak berkuasa Malaysia dalam insiden Tanduo.

Hak Asasi Manusia

Menyentuh mengenai hak asasi manusia ini pula, lebih kurang empat minggu selepas cadangan bodoh Nene, kenyataan panas Manalo pula menyusul. Wakil Filipina dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan Mengenai Hak Asasi Manusia ASEAN (AICHR) yang menjadi salah seorang ahli jawatankuasa di Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Ke Atas Wanita (CEDAW) di Geneva, Switzerland mempersoal kedudukan dan sistem politik Malaysia.

Beliau anggap Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak tentu jelas sistem politik apa yang diguna pakai, sama ada republik atau teokrasi. Anggapan beliau ini didasarkan kepada ketidakpuashatian terhadap pembentangan wakil Malaysia dalam konvensyen di atas.

Kenyataan Manelo sebenarnya ibarat membuka pekung di dada sendiri. Sebagai Penasihat Kanan Hal-Ehwal Luar Negara Filipina, Manelo sepatutnya lebih arif mengenai sistem politik negara-negara jirannya di Asia Tenggara. Manelo sewajarnya membuat sedikit kerja rumah. Pertamanya Malaysia bukan sebuah negara unitari dan tanpa raja (republik) seperti Filipina.

Ia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem persekutuan dan Raja Berperlembagaan, bukan seperti Filipina. Sistem perundangan Malaysia mengguna pakai undang-undang Sivil dan Syariah. Benar, sebagai ahli jawatakuasa konvensyen, Manelo berhak bertanya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Namun meletakkan pembayang yang buruk mengenai Malaysia, diulam kemas dalam bentuk satu pertanyaan, atas pentas antarabangsa adalah sesuatu yang amat dikesali. Lagipun, rekod hak asasi Filipina dalam melindungi wanita mahupun hak asasi manusia tidaklah sebaik mana pun. Hakikatnya, wanita Malaysia jauh lebih bernasib baik daripada wanita Filipina.

Dalam pada itu, atas platform apa pula CEDAW atau ahli jawatankuasanya berhak mengarah dan memberitahu Malaysia bagaimana seharusnya negara ini ditadbir? Apa pula bidang kuasa beliau berani mempersoal sistem perundangan negara ini?

Lagipun, memandang rendah sistem perundangan negara ini seakan-akan seperti memandang rendah kesucian Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia. Kenyataan Nene dan Manelo tidak mencermin kedudukan rasmi Kerajaan Filipina. Sebetulnya, Malaysia boleh sahaja membakul-sampahkan kenyataan mereka berdua ini.

Tetapi Malaysia adalah sebuah negara berdaulat. Maka, sebagai sebuah negara bermaruah, ia mesti tangkas menepis dan menghapus segala prasangka dan prejudis, terutama sekali daripada pihak luar yang memang ada niat buruk terhadap negara ini.

Apa pun, rakyat Sabah harus berterima kasih kepada Jose C. Alaves yang bermurah hati menaja pembinaan tugu peringatan Tun Mustapha. Gabenor Palawan, Filipina ini menjadi bukti hidup bahawa adalah penting bagi rakyat dan ahli politik Filipina untuk celik sejarah demi memupuk dan memelihara hubungan baik kedua-dua negara, kini dan selamanya.

n Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah.