ISMAIL MOHAMED
ISMAIL MOHAMED

Mereka cukup terkesan dengan berita tersebut memandangkan Muhyiddin adalah Ketua UMNO Bahagian Pagoh sejak 1986, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai timbalan presiden, sekali gus memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Sudah pasti berita pemecatan itu sesuatu yang sukar diterima. Malah, terdapat sekelompok ke­tua UMNO di peringkat cawa­ngan membentuk satu rangkaian antara bahagian-bahagian kerana dikatakan terlalu bersimpati dengan Muhyiddin meskipun tidak semua ahli serta pemimpin UMNO mengikut jejak langkah mereka.

Dalam konteks UMNO Bahagian Pagoh, diakui berita pemecatan tersebut sedikit sebanyak mencetuskan rasa tidak puas hati orang UMNO di kawasan itu. Namun sebahagian besarnya enggan mengambil tindakan terburu-buru sebaliknya lebih mengambil pendekatan sabar, tunggu dan lihat perkembangannya.

Bahkan, penulis difahamkan pa­da peringkat awal pemecatan, sokongan orang UMNO Pagoh terhadap Muhyiddin langsung tidak boleh diganggu gugat. Agak sukar untuk mereka menerima hakikat bahawa Muhyiddin telah dipecat daripada UMNO.

Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila Muhyiddin dilihat bersekongkol dengan pakatan pembangkang. Beliau bersama-sama pemimpin pembangkang lain termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masing-masing mula mengadakan kerjasama politik.

Seperti mana kata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed ketika di­hubungi baru-baru ini, apa yang dilakukan oleh Muhyiddin itu sesuatu yang tidak bo­leh di­terima oleh orang UMNO Pagoh. Lebih-lebih la­gi dengan tindakannya bekerjasama dengan DAP.

“Sememangnya ahli UMNO tidak boleh terima jika ada mana-mana pemimpin UMNO bersekongkol dengan parti pembangkang khususnya DAP,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau mengakui, kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan Pagoh dengan Muhyiddin sendiri merupakan presiden parti itu telah memecahbelahkan orang Melayu di kawasan Parlimen ber­kenaan walaupun tidak semua orang UMNO Pagoh terpengaruh.

Kebanyakannya kata Ismail, ter­diri daripada bekas-bekas pe­mimpin yang kecewa kerana tiada tempat dalam parti, yang kalah dalam pemilihan dan yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya. “Mereka inilah yang terpengaruh dengan perjuangan PPBM,” kata beliau.

Sungguhpun begitu, penulis dimaklumkan oleh Ismail baha­wa berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan UMNO di peringkat Pusat, hanya 700 ahli UMNO di bahagian itu dikenal pasti te­lah mengisi borang keahlian PPBM berbanding jumlah ke­seluruhan ahli UMNO Pagoh iaitu kira-kira 20,000 orang.

“Pembubaran ca­wa­ngan juga tidak ber­laku. Yang berlaku ha­nyalah peletakan ja­watan tujuh ketua UMNO di pe­ringkat cawangan. Kini tugas ketua di tujuh cawangan terlibat dipangku oleh timbalan masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai langkah pertama diambil ketika mula-mula dilantik sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh ekoran pemecatan Muhyiddin bermula 24 Jun tahun lalu, Ismail berkata, beliau dengan segera mengadakan pertemuan dengan setiap ahli dan pemimpin UMNO cawangan, ke­pimpinan di peringkat kampung serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjelaskan kedudukan semasa.

“Saya juga berusaha mengu­bah gaya politik Pagoh yang lebih menjurus kepada politik yang memberi manfaat dan ilmu. Yang penting, kita perlu bergerak ke hadapan dan dalam masa sama me­nghindarkan politik kebencian,” katanya.

Atas asas itu juga kata Exco kerajaan Johor itu, UMNO Bahagian Pagoh tidak pernah sesekali bermusuh dengan mereka yang telah menyertai PPBM.

“Malah saya cukup yakin de­ngan kebijaksanaan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam menangani krisis ini dan saya juga percaya mereka yang ketika ini telah menjadi ahli PPBM akan kembali semula kepada UMNO satu hari nanti,” tegasnya.

Menyentuh tentang kesiapsiagaan UMNO Bahagian Pagoh dan Barisan Nasional (BN) kawasan itu untuk berhadapan dengan cabaran Muhyiddin dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau berkata, pihaknya sedar tentang apa yang ada pada Muhyiddin. Pertama, sebagai seorang presiden sebuah parti dan kedua, selaku penyandang kawasan.

Cuma apa yang diperhatikan sejak menjadi Presiden PPBM, me­nurut Ismail, keberadaan Muhyiddin di Pagoh kurang mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Begitu juga dengan program yang mereka anjurkan.

“Ternyata penduduk setempat tidak boleh menerima PPBM, le­bih-lebih lagi dengan kedudukan parti itu yang bekerjasama de­ngan DAP. Dahulu jentera BN yang sedaya upaya menaikkan dan memastikan kemenangan Muh­yiddin dalam setiap pilihan raya,” kata Ismail.

Mengenai calon pilihan raya pula, Ismail cukup yakin dengan kewibawaan tokoh-tokoh tempatan yang bersedia menggalas tanggungjawab ini.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beliau turut memaklumkan kepada penulis, PPBM ketika ini terpaksa mengimport jentera pilihan raya dari luar bagi memastikan kelancaran persiapan parti itu untuk menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

Inilah situasi semasa yang berlaku di Pagoh ekoran pemecatan Muhyiddin lebih setahun lalu.

Sungguhpun begitu, jangan sesekali memandang rendah ke­upayaan Muhyiddin kerana sudah pasti bekas Timbalan Perdana Menteri itu sedang bekerja keras mempertahankan kedudukannya di Pagoh. Apa pun, keupayaan Ismail, ahli jawatankuasa bahagian dan seluruh jentera parti diyakini dalam usaha memastikan Pagoh terus menjadi kubu kuat BN. Selamat berjuang.