Kes ragut selalunya akan memberi trauma berpanjangan kepada mangsa dan juga mereka yang rapat dengan mangsa. Jenayah itu turut menimbulkan ketakutan dan trauma dalam kalangan masyarakat jika mangsa yang terlibat mengalami kecederaan parah atau terbunuh akibat diheret atau dilanggar peragut.

Sejak kebelakangan ini, timbul kembali perbahasan hangat orang ramai mengenai nasib mangsa jenayah dan sejauh mana mereka boleh bertindak balas terhadap suspek. Lebih menarik lagi, perbahasan berkisar tentang tindak balas menyerang suspek dan suspek pula ditahan polis.

Walaupun pihak polis ­telah menjelaskan sebab-sebab ­penangkapan mereka yang menyerang suspek kes ragut, orang ramai terutamanya netizen masih tidak berpuas hati dan cenderung menyokong tindakan mangsa jenayah ragut yang mempertahankan diri.

Antara yang mendapat perhatian adalah kes seorang pelajar dari Yemen yang menjadi mangsa ragut baru-baru ini. Dia ditahan polis selepas melanggar suspek dengan keretanya menyebabkan suspek terbunuh di tempat kejadian. Di Kota Kinabalu, Sabah pula, polis turut mencari beberapa orang peniaga yang menyerang seorang lelaki yang didakwa cuba mencuri telefon bimbit di sebuah pasar baru-baru ini.

Reaksi negatif orang awam sememangnya dijangkakan kerana masih ramai berpendapat bahawa adalah wajar bagi mangsa untuk bertindak balas terhadap peragut atau pelaku jenayah lain.

Berdasarkan maklum balas yang saya terima, kebanyakan menyatakan bahawa mereka akan bertindak balas jika menjadi mangsa kecurian kerana tidak dapat mengawal kemarahan. Sekiranya orang lain pula yang menjadi mangsa, perasaan empati orang awam adakalanya boleh bertukar menjadi emosi yang tidak terkawal dan mendorong serangan fizikal terhadap suspek. Ini dapat dilihat dalam kes-kes melibatkan suspek yang berjaya ditangkap oleh orang awam.

Oleh itu, kita sering membaca kes suspek dipukul selepas ditahan oleh orang ramai walaupun tangan mereka telah diikat. Perkara yang sama turut berlaku di negara lain. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada semua pihak bahawa mereka perlu mematuhi undang-undang sedia ada selagi belum dipinda di Parlimen.

Walaupun terdapat peruntukan untuk melakukan tangkapan awam atau citizen’s arrest di bawah Seksyen 27, Kanun Prosedur Jenayah, orang ramai tetap perlu menyerahkan suspek kepada polis dengan segera tanpa mencederakannya.

Dalam situasi sedemikian, kita perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada berbaloi atau tidak untuk mengambil tindakan yang dicetuskan oleh kemarahan kita? Lebih mendukacitakan, mereka yang menyebabkan kecederaan serius terhadap suspek boleh dihukum kerana hakikatnya telah melakukan jenayah.

Walaupun mangsa ragut atau serangan jenayah mempunyai hak untuk mempertahankan diri, terdapat batasan yang perlu dipatuhi di bawah undang-undang yang ada. Individu yang mahir dalam seni mempertahankan diri misalnya, boleh menggunakan kemahirannya untuk menahan peragut. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mangsa boleh men­cederakan atau membunuh suspek.

Sebenarnya terdapat perbezaan yang amat tipis di antara mempertahankan diri dan ­melakukan kesalahan jenayah. Berdasarkan undang-undang se­dia ada terutamanya Kanun Keseksaan, kesalahan jenayah itu ­telah pun diberikan takrifan dengan jelas. Pada dasarnya, perbuatan jenayah ditentukan berdasarkan prinsip “mens rea” dan “actus reus” yang bermaksud niat dan tindakan. Hukuman yang bakal diputuskan oleh mahkamah juga akan dibuat berdasarkan pertuduhan yang ditentukan oleh pendakwa raya dan ini bergantung kepada kertas siasatan dan bukti yang disediakan pihak polis.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam isu mempertahankan diri ini bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah di kemudian hari apabila ditahan pihak polis dan didakwa di mahkamah. Mereka perlu ingat bahawa selepas mencederakan suspek, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau rotan atau mana-mana dua hukuman.

Penalti yang lebih berat menanti mereka jika melibatkan senjata atau cara berbahaya. Di bawah Seksyen 326, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Dan jika mengakibatkan kematian, pelaku boleh didakwa membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atau dikenakan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 302 akta yang sama.

Ramai berpendapat undang-undang sedia ada tidak memberi keadilan kepada mangsa jenayah terutamanya mereka yang bertindak balas untuk mempertahankan diri atau melindungi mangsa-mangsa lain. Ada juga kes melibatkan mangsa terpaksa melakukan tindakan keras bagi mengelakkan barangan mereka diragut.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya pihak berkuasa mende­ngar pandangan orang ramai serta saranan pakar berkaitan bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu ini. Jika perlu, undang-undang sedia ada harus dipinda bagi melindungi mangsa yang mungkin tidak sengaja mencederakan suspek. Bagaimanapun, ketika kita masih menunggu penyelesaian terbaik daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, orang ramai diingatkan menghormati proses undang-undang dan tidak mengambil tindakan sendiri. Janganlah kerana tindakan terburu-buru itu menyebabkan mereka berhadapan masalah di kemudian hari seperti dalam peribahasa Melayu “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.