Itu bukan video game. Bukan permainan PUBG (PlayerUnknown’s Battlegrounds). Insiden di New Zealand itu tulen. Kejam. Sadis.

Sempat Tumpang petik daripada sumber-sumber New York Times dan Reveal News berkisar satu kajian oleh New America. Iaitu dari 2001 hingga 2015 lebih ramai warga Amerika Syarikat (AS) dibunuh oleh puak pelampau berhaluan kanan yang berasal dari negara itu sendiri berbanding ‘pengganas Islam’.

Satu lagi kajian oleh Reveal and the Center for Investigative Reporting diterbitkan pada Jun 2017 pula lebih mengukuhkan fakta tersebut.

Ini termasuk insiden seorang lelaki berkulit putih berusia 64 tahun dari Nevada melakukan serangan tembakan di sebuah festival muzik country dengan kehadiran pengunjung seramai kira-kira 22,000 orang.

Kejadian di Las Vegas itu meragut nyawa lebih 50 orang dan mencederakan hampir 200 mangsa lain. Rumusannya - pengganas Islam radikal adalah rakyat AS sendiri.

Dalam ucapan pertama Donald Trump kepada Kongres, dia menyatakan yang “majoriti individu disabitkan atas kesalahan aktiviti keganasan dan kesalahan berkaitan keganasan sejak 11/9 datang dari luar negara.”

Namun demikian, tiada seorang pun penjenayah dalam mana-mana serangan pengganas di AS yang dibuat ‘atas nama Islam’ itu berasal dari mana-mana 15 negara yang diharamkan oleh Trump.

Malah, negara paling banyak melahirkan pengganas yang menyerang negara Uncle Sam itu adalah AS sendiri.

Tumpang yakin tragedi Jumaat berdarah di Christchurch tidak merubah pendirian rakyat New Zealand yang menerima baik bukan sahaja imigran Islam tetapi kepelbagaian agama.

Kembali Tumpang kepada realiti, bersyukur ke hadrat-Nya kerana mendiami bumi Malaysia yang aman damai.

Bercakap pasal aset kekuatan dan daya tahan negara, Tumpang akur ia terletak pada pembentukan kaum yang pelbagai.

Cuma perbilangan kaum ini di tahap meruncing jika tidak dipupuk setiap masa dengan prinsip penggabungan dan penerapan nilai-nilai sejagat.

Apatah lagi dengan bilangan pengguna Internet negara menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 % penduduk Malaysia.

Dari jumlah itu, 75 % menggunakan perkhidmatan media sosial dan peruntukkan purata tiga jam sehari dalam laman media sosial. Kajian ini Tumpang petik daripada hasil Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social.

Dalam hal ini, Tumpang yakin ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang mampu memainkan peranan penting memupuk perpaduan dan keharmonian kaum dalam keadaan perbezaan ideologi dan fahaman. Dan tohmahan, fitnah yang muncul berleluasa.

Politik bukanlah tempatnya di mana nasib memainkan peranan yang terlalu besar. Dalam politik, pilihan kaedah pemandu-automatik tidak membantu untuk mencapai kejayaan.

Semua perkara harus dirancang dan dilakukan dalam kaedah manual hampir setiap masa. Edmund Burke yang dipetik dari The Oxford Dictionary of Quatations (3rd. Edn.) 1980 memberi pengertian mengenai peranan ahli politik.

“Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia Tuhan dan mematuhi pemikiran/munasabah (Every politician ought to sacrifice to the grace and to join compliance with reason).

Di sebalik ini, adalah sesuatu yang benar untuk mengatakan bahawa Parlimen telah memberi kesan kepada kehidupan semua lapisan masyarakat rakyat Malaysia.

Ia telah meluluskan tidak kurang 2,170 undang-undang utama melalui pelbagai akta di Parlimen dan pindaan-pindaan mereka.

Dengan keahlian seramai 104 orang pada 1959, kini ia telah menjadi seramai 222 orang ahli yang mewakili empat parti kerajaan, pembangkang selain parti bebas.

Badan perundangan negara itu turut berjaya melalui sekurang-kurangnya dua perisytiharan Darurat, 15 Yang di-Pertuan Agong dan tujuh kepimpinan Perdana Menteri.

Dan walaupun kebelakangan ini dengan pertukaran kerajaan buat pertama kali sejak merdeka dan keadaan Parlimen mencerminkan satu manifestasi ‘mudah tersinggung dan panas’, demokrasi di Malaysia sebenar-benarnya telah wujud.

Salam takziah, al-Fatihah buat para syuhada di Christchurch.