Apakah keistimewaan Labuan? Selain pulau bebas cukai, Labuan juga dikenali sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) dan pusat industri minyak dan gas. Sektor pelancongan juga mampu menarik pengunjung domestik dan antarabangsa sekiranya usaha ke arah itu dipertingkatkan lagi. Baru-baru ini saya berpeluang mengunjungi Labuan untuk melihat lebih dekat sektor pelancongan di negeri itu. Apabila ditanya kepada seorang rakan, apa ada di Labuan, beliau menjawab, sehari sahaja boleh ‘pusing’ Labuan. Maksudnya tidak ada yang menarik. Sebaliknya apabila sudah di sana, ternyata sehari tidak mencukupi. Sekadar pusing keliling pulau memang cukup sehari. Tetapi banyak masa diperlukan untuk mengunjungi tempat-tempat menarik. Bukan sekadar menyaksikan pantai yang bersih dan indah yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi juga mengunjungi beberapa pulau kecil.

Di Labuan juga, kita berpeluang ‘menyelak’ sejarah yang ada di pulau itu terutama semasa Perang Dunia Ke-2. Bukan sekadar catatan sejarah di Muzium Labuan tetapi juga menjejaki tempat-tempat bersejarah yang masih ada. Begitu juga dengan aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh penduduk termasuk sebagai nelayan dan pengusaha restoran makanan laut. Aktiviti seperti skuba, riadah di hutan paya bakau, berkayak dan bermain golf juga menjadi tarikan. Itulah Labuan. Memang tidak cukup sehari. Untuk aktiviti di Taman Laut Labuan yang meliputi Pulau Mayat atau Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman sahaja memerlukan sekurang-kurangnya sehari.

Begitu juga jika anda gemar merakam detik-detik matahari terbenam, jika sehari satu lokasi, bagaimana mahu merakamkan di lokasi lain? Banyak lokasi yang dicadangkan untuk sesi matahari terbenam ini. Bagi mereka yang menggemari aktiviti berkaitan sukan, sejarah, alam dan makanan tentunya tidak peduli soal membeli-belah. Cukup­lah membeli coklat di Labuan sebagai buah tangan yang tentunya lebih murah berbanding harga di kedai bebas cukai lapangan terbang. Apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan lagi usaha promosi. Agensi pelancongan mungkin boleh beralih ke Labuan untuk menyediakan pakej menarik dengan menyediakan pemandu pelancong yang berpengalaman dan mem­bawa pelancong menjelajah pulau ini. Peranan agensi pelancongan ini amat penting bagi menggerakkan sektor pelancongan di pulau itu lebih-lebih lagi selepas kemuraman industri minyak dan gas. Langkah itu bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Najib Tun Razak semasa pembentangan Pengubahsuaian Bajet 2016. Najib antara lain berkata: “Sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang. Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu,’’. Labuan, rebutlah peluang ini !

Semasa di Labuan, beberapa pihak yang terlibat dalam industri pelancongan - hotel dan makanan - mengakui kejatuhan harga minyak menyebabkan sektor berkaitan industri pelancongan turut muram. Jika dulu restoran makanan laut sentiasa ramai pengunjung, kini agak terjejas. Begitu juga dengan sektor perhotelan. Diharapkan usaha bersepadu yang akan dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan dapat melonjakkan lagi industri itu. Di pihak kerajaan pusat pula, Labuan tetap mendapat perhatian.

Menyelak kembali usaha itu, pada 28 Februari tahun lalu, Najib ketika merasmikan Pasar Sentral Labuan mengumumkan tujuh inisiatif dan projek bagi meneruskan momentum pembangunan pulau bebas cukai itu. Salah satu inisaitif ialah membangunkan Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi menempatkan semua agensi kerajaan Persekutuan di bawah satu bumbung. Kini Mini UTC berharga RM26 juta itu telah pun siap dan dijangka dirasmikan oleh Najib pada 6 Februari ini.

Najib pernah berkata: Saya senang melihat pembangunan Pulau Labuan sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Dahulu kita lihat Labuan sebagai satu pulau yang agak lembab dan barangkali wajahnya tidak begitu segar tetapi hari ini jelas sekali bahawa hasil daripada perancangan dan strategi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan, maka Wilayah Persekutuan Labuan sudah pun bertukar wajah menjadi pulau yang lebih moden, progresif dan rancak pembangunan ekonominya. Namun tugas kita belum berakhir...kita perlu jadikan Wilayah Persekutuan Labuan ini bukan sahaja manfaatnya dalam konteks domestik tetapi memaparkan Labuan sebagai pulau bertaraf antarabangsa. Usaha kita perlu dilipatgandakan,’’

Diharapkan kunjungan Najib ke Labuan minggu ini dapat membawa perkhabaran yang boleh meningkatkan lagi pembangunan Labuan termasuk infrastruktur bagi memudahkan perjalanan dari Kota Kinabalu. Khabarnya, landskap Labuan akan berubah dalam tempoh empat tahun akan datang apabila enam projek pembangunan bersepadu berskala besar siap. Projek itu termasuk pembinaan kompleks komersial dan hotel, kompleks perniagaan dengan hypermarket, kedai barang-barang berjenama di marina awam Labuan, ‘water park’ dan ‘waterfront esplanade’.

Perubahan landskap itu diharap tidak menjejaskan keaslian `landskap’ Labuan. Biarlah kita akan terus menyaksikan keindahan pantai, bukit, laut dan kesan sejarahnya. Begitu juga peluang melihat kerancakan nelayan menjual hasil tangkapan mereka kepada penduduk akan terus kekal dalam kerancakan mengubah landskap Labuan.