Mengulas tangkapan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan terbaharu dilakukan terhadap dua individu yang juga bekas banduan disyaki merekrut banduan di penjara Tapah untuk meng­anggotai kumpulan pengganas.

“Dua individu ini juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu untuk mencetuskan konflik antara kaum di Malaysia”, tegas Mohamad Fuzi lagi yang membayangkan betapa nekadnya kumpulan ini mahu menghuru-harakan negara.

Kejayaan tangkapan terkini adalah susulan dari dua operasi yang dilaksanakan pada 27 dan 14 September lepas yang menghasilkan penahanan seramai 12 suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas. Kesemua penahanan tersebut dilakukan bagi membantu siasatan lebih lanjut melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Pada Mac lalu timbul sedikit kekeliruan mengenai penahanan bekas penuntut sarjana di sebuah universiti awam iaitu Siti Noor Aishah Atam yang kemudiannya disabitkan dengan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara selama lima tahun. Pada awalnya, dia telah ditahan melalui SOSMA kerana memiliki 12 buah buku yang ­merupakan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.

Ada pihak yang mendakwa kesalahan yang dilakukannya iaitu memiliki bahan bacaan berkaitan keganasan adalah terlalu kecil kerana aktiviti keganasan belum lagi berlaku. Tetapi hakikatnya adalah perundangan seperti SOSMA dan POTA diperkenalkan khusus untuk berhadapan dengan isu keganasan di mana strategi kekangan dan mencegah dari tercetusnya keganasan adalah matlamat utama.

Terdapat juga mereka yang membuat tuduhan bahawa Malaysia sedang menjurus kepada pemerintahan ala negara polis kerana kewujudan SOSMA dan POTA telah mencabul hak asasi rakyat. Tetapi hakikatnya adalah tanpa SOSMA dan POTA begitu mustahil untuk menahan 23 suspek pengganas dalam operasi September lalu, diikuti Oktober.

Tetapi jika ditinjau beberapa negara maju yang dikatakan amat menghormati hak asasi rakyat mereka, negara tersebut sebenarnya mempunyai perundangan pencegahan keganasan yang lebih ketat berbanding SOSMA atau POTA.

United Kingdom umpamanya telah memperketatkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Keganasan 2000 (TA-UK) iaitu perundangan yang mula diper­kenalkan 17 tahun lalu dianggap sudah tidak efektif lagi untuk menangani bentuk ancaman keganasan masa kini. Seperti mana SOSMA dan POTA, TA-UK juga mempunyai peruntukan menjadi kesalahan untuk memiliki bahan yang cenderung kepada aktiviti keganasan.

Minggu lalu, Setiausaha Dalam Negeri UK, Amber Rudd membuat cadangan supaya mereka yang melayari secara berkala maklumat berkaitan keganasan di alam maya boleh disabitkan dengan kesalahan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Sebelum ini TA-UK hanya mengenakan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan memuat turun bahan berkaitan keganasan dan jika diluluskan oleh Parlimen UK maka ia akan menjadi lebih ketat dari SOSMA atau POTA.

Pada waktu sama, Perancis yang kebelakangan ini sering dilanda peristiwa keganasan telah meluluskan rang undang-undang sebagai persediaan menamatkan pengisytiharan darurat yang diperkenalkan pada 13 November 2015 berikutan dengan serangan pengganas Daesh di Paris yang mengakibatkan 130 terbunuh.

Pengisytiharan tersebut telah diperbaharui sebanyak enam kali dan kebanyakan ahli politik dan rakyat Perancis berpendapat adalah tidak sesuai negara mereka diselubungi dengan senario darurat kerana ia memberi persepsi yang tidak baik bagi sebuah negara seperti Perancis.

Sebab itu, pengisytiharan darurat ditukarkan kepada peruntukkan perundangan yang kekal sebagai persediaan menghadapi ancaman pengganas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Salah satu peruntukan yang terkandung dalam akta tersebut ialah organisasi keselamatan Perancis tidak memerlukan perintah mahkamah dalam kes penahanan individu yang disyaki terlibat dalam keganasan. Akta itu juga memberi kuasa yang agak menyeluruh kepada pihak polis ketika menjalankan operasi keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai seperti lapangan terbang atau pusat beli-belah.

Kritikan yang dilemparkan terhadap SOSMA, POTA dan juga Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara (SMATA) banyak berbentuk tohmahan. Malah, tidak masuk akal kerana sering dibelenggu ideologi politik pengkritik. Malangnya, kritikan mengenai undang-undang pencegahan itu bukan sahaja terbit dari dalam negara tetapi juga organisasi dari luar negara kononnya menuduh Malaysia tidak menghormati hak asasi manusia.

Tetapi hakikatnya adalah setiap negara memerlukan undang-undang pencegahan keganasan tidak kira sama ada Malaysia, U.K. atau Perancis kerana ancaman tersebut tidak peduli siapakah mangsanya. Setiap negara mempunyai hak dalam mengamalkan strategi bagaimana untuk mempertahankan ke­selamatan dan kedaulatan negara masing-masing terutama ancaman yang terbit kumpulan pengganas kerana lazimnya mereka bertindak di luar ruang lingkup perundangan.