Keputusan pemilihan parti itu hari ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh ahli dan penyokong parti itu tetapi juga orang Melayu yang setia memberi undi sehingga memungkinkan UMNO muncul sebagai parti tunggal memiliki kerusi paling banyak di Dewan Rakyat.

Walaupun dua ahli Parlimen membuat keputusan meninggalkan parti sehingga menyebabkan UMNO kini menguasai 52 kerusi Parlimen tetapi fakta keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak boleh diubah iaitu majoriti orang Melayu masih bersama UMNO.

Kedudukan inilah yang menyebabkan ada parti-parti politik cemburu. Dengan kuasa yang dimiliki oleh mereka, UMNO yang menjadi tonggak pemerintahan Barisan Nasional (BN) cuba digambarkan sebagai seburuk-buruk parti di muka bumi Allah ini manakala pemimpinnya dipaparkan mengamalkan rasuah serta penyelewe­ngan.

Tetapi soalnya adakah UMNO perlu berputus asa dengan ‘sera­ngan’ tersebut? Apakah UMNO perlu ‘melutut’ kepada pihak-pihak ter­tentu supaya parti itu tidak diharamkan? Apakah UMNO harus bergabung dengan parti-parti lain dalam kerajaan untuk kembali berkuasa? Kalau begitu bagaimana dengan mandat yang diberikan oleh rakyat khususnya orang Me­layu kepada UMNO?

Cukuplah dua ahli Parlimen parti itu mengkhianati mandat rakyat apabila bertindak keluar parti juga dengan menggunakan alasan demi kepentingan rakyat. UMNO secara keseluruhannya perlu mempertahankan maruah dan martabatnya. Janganlah mengambil jalan pintas atas alasan kononnya untuk menyelamatkan masa depan dengan mahu berunding dengan parti-parti yang menjatuhkannya dalam pilihan raya umum lalu atau menjemput kaum lain bersama UMNO supaya nampak lebih inklusif.

UMNO tidak perlu semua itu. Mahu tidak mahu, UMNO perlu akur dan insaf dengan keputusan rakyat menamatkan kuasa peme­rintahannya tetapi dalam masa yang sama menghormati orang Melayu yang mengundi mereka.

Inilah sebenar-benarnya perjuangan iaitu mempertahankan jati diri sebagai parti induk orang Me­layu dan bersedia menghadapi apa juga cabaran, rintangan dan ‘sera­ngan’ demi membela nasib orang Melayu dan umat Islam.

Apabila kita bercakap soal perubahan, biarlah ia berkisar mencari barisan kepemimpinan terbaik untuk memastikan bahtera UMNO terus dapat berlayar. ‘Destinasi’ dan ‘wajah’ bahtera tidak boleh berubah, sebaliknya yang harus diubah ialah pendekatan mengemudi bahtera itu supaya lebih ramai bersama-sama bahtera tersebut.

Oleh itu tidak perlulah UMNO menekan butang panik dengan menguar-uarkan perkara yang dianggap bersedia menggadaikan jati dirinya semata-mata mahu me­raih sokongan dalam pilihan raya. UMNO adalah parti pembangkang terkuat. Sebahagian besar ahli Parlimennya memiliki pengalaman dalam menguruskan negara, sudah pastilah mereka boleh menjadi pasukan check and balance kepada kerajaan sedia ada.

Tetapi pada masa sama, ahli-ahli UMNO perlu memastikan barisan kepemimpinan yang dipilih itu tidak mempunyai apa-apa ‘parut’ yang boleh menjadi sasaran kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan untuk melemahkan mereka. Selain itu, pastikan barisan yang dipilih mempunyai reputasi dan tidak memiliki apa-apa perkara berkaitan integriti yang bak kata kawan-kawan ‘akan dimuntahkan’ jika mereka terpi­lih dalam barisan kepemimpinan UMNO.

Sememangnya UMNO perlu belajar menjadi pembangkang tetapi itu bukan bermakna UMNO harus mengikut strategi politik mereka sebelum pilihan raya yang bersedia melakukan apa sahaja bagi meraih kuasa. UMNO harus mempertahankan jati dirinya.

Biarlah orang lain terus dengan politik fitnah dan persepsi tetapi matlamat sama sekali tidak boleh menghalalkan cara.

Atas sebab itulah mana-mana pemimpin yang dilihat cenderung untuk `mengorbankan’ jati diri UMNO sebagai parti Melayu, pejuang kepada kepentingan orang Melayu dan mempertahankan agama Islam serta perkara yang termaktub dalam Perlembagaan tidak layak diberi tempat dalam pemilihan kali ini. Tidak kiralah sehebat mana pun individu tersebut.

Kalaulah Pas sejak berpuluh-puluh tahun boleh mempertahankan jati dirinya sebagai parti yang memperjuangkan Islam, kenapa UMNO tidak boleh berbuat demikian ha­nya disebabkan tewas dalam pilihan raya? Mungkin mengambil Pas sebagai contoh, tidak akan di­senangi oleh sesetengah pihak tetapi inilah hakikatnya.

Harapan besar disandarkan kepada barisan kepemimpinan baharu UMNO untuk memastikan dalam keadaan apapun UMNO ja­ngan sesekali mempertaruhkan jati dirinya sebagai parti Melayu.

Ini memandangkan jika tindakan itu dilakukan maka orang Melayu akan kehilangan benteng atau perisai yang selama ini mempertahankan mereka.

Jika keadaan itu berlaku, musuh-musuh politiknya akan berpesta kerana akhirnya ‘racun politik’ yang mereka sebarkan dengan menggambarkan UMNO seburuk-buruknya parti akhirnya ‘mele­nyapkan’ parti keramat orang Melayu itu dari persada politik tanah air.

Justeru adalah diharapkan kepada mereka yang diberi mandat dalam pemilihan kali ini menjaga amanah tersebut yang diwarisi dan pertahankan sejak ia ditubuhkan pada 1946 lagi. Siapapun yang terpilih ia bukan sahaja kehendak ahli-ahli UMNO yang mengundi tetapi lebih penting sudah ditentukan oleh Allah SWT.

Apabila ahli-ahli UMNO memberi mandat kepada seseorang pemimpin bukan sahaja mereka mahu pemimpin-pemimpin tersebut memulihkan UMNO tetapi paling penting terus mempertahankan jati diri parti berkenaan. Semoga pemilihan yang diadakan benar-benar memilih pemimpin berjiwa pejuang UMNO tulen.