Pelaksanaan hukuman itu mengikut peruntukan seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah Terengganu 2001 selepas pasangan berkenaan berjaya dibuktikan bersalah atas kesalahan musahaqah iaitu perhubungan sesama jenis wanita di bawah peruntukan seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Kedua-duanya yang berusia 32 dan 22 tahun itu telah di­sebat di khalayak ramai dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah de­ngan dikendalikan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia. Masing-masing menerima sebatan sebanyak enam kali selain dikenakan denda sebanyak RM3,300.

Hukuman yang dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail itu turut disaksikan oleh Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd, Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun serta 100 orang awam terdiri daripada peguam syarie, pengamal media dan keluarga.

Secara jujurnya, Kalam berpandangan inilah detik permulaan untuk kita mempertontonkan kepada rakyat negara ini cara pelaksanaan sebatan dalam Islam yang sebenar. Kalam percaya banyak pihak yang di luar sana tidak faham bentuk pelaksanaan hukuman sebat seperti mana ditetapkan oleh syarak.

Yang mereka tahu cuma hukuman sebatan yang dilaksanakan dalam undang-undang sivil yang mana penerima hukuman akan mengalami kecederaan teruk selepas sebatan dijalankan.

Proses sebatan dalam Islam bukan bersifat mencedera atau mendera sebaliknya lebih bersifat mendidik agar si pesalah merasa insaf, juga sebagai peringatan kepada mereka yang menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut.

Seperti yang dilaporkan akhbar, tiada kedengaran jeritan sebaliknya kedua-dua pesalah wanita itu dilihat mengalirkan air mata selepas selesai menjalani hukuman. Moga-moga air mata tersebut sebagai satu tanda keinsafan buat mereka.

Atas asas itu tatacara sebatan dalam Islam wajib dipatuhi agar matlamat hukuman benar-benar tercapai sekali gus mengelakkan sebarang kezaliman daripada berlaku.

Naib Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Marlina Amir Hamzah yang turut berada di mahkamah tersebut menyatakan, berdasarkan pengamatannya jelas sebatan syariah yang dijalankan itu tidak menganiaya dua pesalah wa­nita terbabit.

Beliau telah menyenaraikan lima syarat yang telah dipatuhi sebagaimana tercatat dalam status Facebooknya. Pertama, dua pesalah wanita berkenaan dipakaikan dengan pakaian putih yang menutup aurat. Kedua, dua pesalah wanita itu kemudian disebat oleh tukang sebat wanita daripada Penjara Wanita Kajang dengan dibantu oleh pihak Penjara Kajang.

Ketiga, pesalah wanita itu ditanya terlebih dahulu sama ada mereka faham tentang hukuman, sama ada mahu merayu lagi selain disahkan oleh pegawai perubatan yang kedua-duanya sihat dan boleh dilaksanakan hukuman.

Keempat, sebatan ke atas dua pesalah wanita itu dalam keadaan duduk dan kelima, sebatan dilaksanakan dengan menggunakan rotan yang berukuran 1.22 meter panjang dan 1.25 sentimeter ukur lilit lebar dan tukang sebat merotan de­ngan tidak mengangkat rotan melebihi paras bahu serta tidak menyeret rotan ketika merotan pesalah .

Lihatlah, betapa Islam memelihara hak dan maruah pesalah. Apa pun Kalam percaya terdapat banyak pihak berusaha mempertikaikannya. Sebab apa? Sebab mereka jahil tentang ilmu agama. Mereka hanya bercakap hanya berasaskan logik akal.

Lebih menyedihkan suara-suara sumbang ini datang daripada orang Islam sendiri. Kepada orang bukan Islam pula, ja­ngan sesekali cuba campur tangan dalam urusan agama ini. Biar kami, orang Islam yang menguruskannya. Kamu tidak berhak mencampuri urusan agama kami.

Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat, teruskan ketegasan kalian berdua dalam mempertahankan pelaksanaan hukuman sebat ini.

Sesungguhnya apa yang kita lakukan ini adalah kerja-kerja agama yang wajib dilaksanakan. Jangan sesekali kita lupa bahawa Allah SWT adalah Maha Pencipta manakala kita adalah makhlukNya. Renung-renungkanlah.