Malah yang lebih membanggakan Raja-Raja Melayu turut menzahirkan kebimbangan dan memberi penjelasan tentang kedudukan sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh baru-baru ini, Sultan Nazrin Shah semasa merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak yang ke-14 dilaporkan bertitah perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipertahan dan tidak dikompromi.

Fenomena ini sangat baik kerana raja dan rakyat celik undang-undang menjadi aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan.

Ruangan ini mengupas kedudukan Raja-Raja Melayu, undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman. Hal ini dengan jelas diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (6a) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Secara tersirat, ia bermakna Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding yang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara tidak diperuntukkan Perlembagaan.

Bagi undang-undang Islam ia termasuklah Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.

Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan. Malah kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam tidak terhakis dengan cara apapun. Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnya jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (kedudukan lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Namun kedudukan tinggi ini tidaklah bermakna orang bukan Islam didiskriminasi atau dinafikan hak mereka. Malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun.

Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 60 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Pendekatan

Kedaulatan undang-undang Islam amat jelas kerana sekalipun negara berada di dalam darurat, undang-undang Islam tidak akan langsung terjejas malah akan tetap dilaksana berbeza dari undang-undang lain yang tergantung di dalam keadaan darurat.

Ini bermakna undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah masih boleh dilaksanakan dan orang Islam masih boleh mengamalkan undang-undang Islam walaupun negara dalam keadaan darurat dan undang-undang lain digantung.

Inilah keistimewaan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam. Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam.

Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat Perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat atau destinasi akhir kita tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat dan kerajaan memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud. Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara pelbagai pihak di negara ini.

Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian. Parameter digariskan Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati dan tanpanya negara mungkin goyah.

Walau apapun idea atau perjuangan yang ingin dibawa oleh mana-mana pemimpin, ia hendaklah memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa kebangsaan dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan-perlembagaan negeri tidak terhakis.

Tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan antara rakyat negara ini, tetapi perbezaan itu hendaklah dilihat dari aspek positif iaitu ia menjadi kekuatan kepada pembinaan negara ulung Malaysia dan bukan kelemahan negara.

Kita hendaklah bersatu di dalam perbezaan itu. Adalah mustahil kita bersatu tanpa sebarang perbezaan.Masyarakat majoriti hendaklah tidak menindas masyarakat minoriti manakala yang minoriti pula hendaklah hendaklah menghormati majoriti apatah lagi dalam perkara-perkara yang telah disepakati lebih enam puluh tahun dahulu.

Dalam setiap keputusan seorang pemimpin, kayu pengukur yang hendak digunakan adalah Islam. Islam adalah rahmat ke seluruh alam. Dengan piawaian Islam sudah pasti kemakmuran negara dan kedaulatan Islam akan berjalan seiring.

Norma lazim masyarakat atau grundnorm of the society ini merangkumi kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta kepentingan sah kaum-kaum lain mestilah dipertahankan.

Ia tidak boleh diubah walaupun dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana ia telahpun disepakati sekian lama. Oleh itu saya berpendapat titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru-baru ini sangat bertepatan dengan waktu dan bijaksana di dalam mengingatkan semua warga agar mempertahankan dokumen asas negara ini tanpa memilih-milih.

Kebijaksanaan Sultan Nazrin Shah di dalam titahnya itu berupaya memasakkan tiang seri negara agar tidak lagi cuba digoyah pihak tidak bertanggungjawab.

Titah baginda juga dapat melerai kekusutan ditimbul sebahagian pihak yang mendakwa berselindung di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam tindakan mereka sedangkan merekalah yang cuba memecahkan struktur asa Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.