Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SETIAP bakal haji perlu bersedia menghadapi cuaca panas melampau
SETIAP bakal haji perlu bersedia menghadapi cuaca panas melampau dan kehadiran jutaan jemaah dengan pelbagai perangai masing-masing. GAMBAR HIASAN/ AFP

TIDAK berapa lama lagi umat Islam dari seluruh dunia akan berkumpul di Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Jemaah haji dari Malaysia juga tidak ketinggalan. Dijangka seramai 30,200 orang bakal haji terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada musim ini dengan penerbangan pertama bermula pada 24 Julai ini. Sehubungan itu, para tetamu Allah hendaklah bersedia fizikal dan mental bagi menghadapi suasana baharu yang jauh berbeza daripada tanah air sendiri.

Para tetamu Allah dinasihatkan supaya memperbetulkan niat ke Tanah Suci bukan kerana tujuan-tujuan duniawi. Tetapi hendaklah sentiasa mengikhlaskan niat melakukan ibadah haji semata-mata kerana Allah SWT. Ketahuilah hanya dengan niat yang benar serta ikhlas menyebabkan amalan diterima oleh-Nya. Malah niat yang betul bakal mencorakkan aktiviti harian selama kira-kira lebih sebulan di Mekah dan Madinah. Selain itu, niat yang menyimpang daripada tujuan sebenar bakal menyebabkan ibadah yang dilakukan tidak diterima lalu rugilah segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Lebih menyedihkan apabila kembali ke tanah air tanpa beroleh haji mabrur yang dicita-citakan oleh semua.

Bakal-bakal haji juga sudah boleh merangka jadual dan aktiviti ibadah seharian sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Usah buang masa dengan aktiviti yang laghah dan tidak berfaedah. Sebaliknya kesempatan berada di tempat yang paling diberkati di atas muka bumi ini dipenuhi de­ngan melakukan apa sahaja ibadah mengikut kemampuan ma­sing-masing. Misalnya. dengan ­menetapkan untuk khatam al-Quran beberapa kali, banyak me­lakukan umrah sunat bagi yang berniat haji tamatuk, bersedekah mahupun menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Faktor usia dan kesihatan juga perlu diambil kira. Jangan terlalu obses beribadah hingga memudaratkan diri dan kesihatan akibatnya rukun haji yang utama seperti wukuf di Arafah tidak dapat ditunaikan dengan sempurna.

Kesempatan berada di persekitaran makbul doa juga hendaklah dimanfaatkan dengan berdoa siang malam agar segala hajat dunia akhirat diperkenankan oleh-Nya. Doakan juga kaum kerabat dan sanak saudara agar diberi hidayah untuk terus berbakti kepada Ilahi selain dijemput untuk menunaikan fardu haji di tahun-tahun mendatang. Usah dilupakan untuk mendoakan ­kesejahteraan dan keamanan tanah air tercinta moga terhindar daripada musibah. Ingatlah juga akan nasib saudara seagama ter­utama di negara-negara Islam yang bergolak dengan peperang­an agar kembali aman seperti sedia kala.

Selain itu, persediaan fizikal dan penjagaan kesihatan diri juga perlu dititikberatkan. Setiap bakal haji perlu bersedia menghadapi cuaca panas melampau dan kehadiran jutaan jemaah dengan pelbagai perangai dan karektor masing-masing. Kedudukan hotel penginapan di Mekah kira-kira 950 meter daripada kompleks Masjidilharam dan 300 meter daripada Masjid Nabawi di Madinah juga satu cabaran untuk melaksanakan aktiviti solat berjemaah, tawaf sunat mahupun beriktikaf. Apa pun kuatkan semangat selain memohon bantuan dan pertolongan-Nya agar dipermudahkan segala urusan. Sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT yang menjemput semua untuk menjadi tetamunya

Para tetamu Allah SWT juga dinasihatkan supaya tidak terlalu berkira dengan penginapan dan segala kemudahan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Sebelum berangkat ke Tanah Suci sematkan dalam hati tujuan menunaikan haji bukan melancong dan berehat-rehat sehingga ada yang mengharapkan layanan hotel lima bintang dengan segala kelengkapan mencukupi. Tetamu Allah dinasihatkan supaya sentiasa berlapang dada dan bermuhasabah diri dalam menghadapi segala ujian yang mendatang.

Apa yang lebih penting patuhilah nasihat dan arahan petugas-petugas Tabung Haji yang sentiasa bersedia berkhidmat sepanjang masa. Perlu juga diingatkan petugas TH bukanlah hamba abdi yang boleh dibentak-bentak dan dimarahi akan tetapi mereka adalah saudara seagama dan senegara yang ditugaskan untuk melicinkan pergerakan jemaah haji, menyediakan segala kemudahan untuk beribadah selain bagi memastikan semua te­tamu Allah SWT dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna. Tanpa komitmen dan pengorbanan mereka kemungkinan sukar untuk mengharungi kehidupan di negara asing terutama bagi yang sudah berumur dan pertama kali ke luar negara.

Selain itu, tetamu Allah SWT juga dinasihatkan banyak bermuhasabah diri, mengerjakan solat sunat taubat sebelum berangkat ke Tanah Suci, banyak beristighfar memohon keampunan kepada Ilahi. Usah juga dilupakan hubungan dengan sesama manusia. Amalan masyarakat Melayu mengadakan kenduri doa selamat sebelum berangkat menunaikan haji misalnya elok diteruskan. Selain menunjukkan rasa kesyukuran atas nikmat terpilih menjadi tetamu Allah, ia boleh menjadi wadah untuk memohon kemaafan kepada sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai jika ada kesalahan dan kesilapan sama ada yang disengajakan ataupun tidak.

Bagi yang tidak terpilih menunaikan haji pada tahun ini usah­lah gundah gulana. Marilah sama-sama kita berdoa semoga pemergian semua bakal haji dan hajah dalam lembayung rahmat dan pemeliharaan Allah SWT. Semoga mereka terpelihara daripada musibah dan malapetaka selain dipermudahkan segala urusan ibadah di Tanah Suci. Semoga mereka semua kembali ke tanah air dalam keadaan sihat walafiat dan beroleh Haji Mabrur yang tidak ada balasan setimpal melainkan syurga Ilahi.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor Darul Takzim.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain