Oleh itu, sewajarnya di sam­ping memastikan kemudahan infrastruktur dan fasiliti bertaraf antarabangsa, Malaysia menyediakan atlet berminda emas di peringkat antarabangsa. Usaha melahirkan atlet yang berpotensi mendapat pingat emas mesti bermula dari sekolah. Statistik 2016 menunjukkan enrolmen pelajar di peringkat prasekolah ialah 200,684 orang dan sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun sebanyak 2,685,403 orang. Berdasarkan jumlah itu, bersama ke­sedaran kepimpinan sekolah dan guru berkaitan betapa pentingnya melahirkan atlet bertaraf dunia dan sistem latihan yang sistematik dan komprehensif, tidak mustahil pemenang pingat emas Sukan Olim­pik dari Malaysia dapat dilahirkan.

Sekolah adalah organisasi yang berperanan melahirkan modal insan untuk semua bidang yang diperlukan oleh sesebuah negara termasuk sukan. Menurut ahli psikologi, kanak-kanak mudah menerima pengajaran sama ada ilmu kognitif mahupun kemahiran psikomotor. Oleh itu, semua kepimpinan sekolah, terutamanya sekolah tadika dan rendah perlu berakauntabiliti memastikan peranan tersebut dilaksanakan dengan efektif dan efisien. Situa­si tidak mematuhi waktu instruksional Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) mestilah dielakkan. Apatah lagi menerusi Dasar 1 Murid 1 Sukan, jelas menyatakan aktiviti sukan mestilah dilaksanakan sepanjang tahun.

Seawal manusia dilahirkan sehinggalah remaja adalah waktu sangat mudah menerima pengajaran dan kemahiran sama ada dalam bentuk pembangunan minda, perhubungan sosial, pengurusan emosi dan dalam konteks sukan merujuk kepada pertumbuhan, pembesaran dan kebolehan fungsi psikomotor mengikut jenis sukan yang individu minati.

Contohnya bagi kanak-kanak yang cenderung bermain bola sepak, bakat dan minatnya hendaklah dikembangkan seawal usia empat tahun atau semasa berada di sekolah tadika. Pengurus dan guru tadika sewajarnya memberi pengajaran kepada kanak-kanak tersebut aspek pemakanan dan latihan fizikal yang boleh membantu kanak-kanak tersebut mempunyai asas untuk pertumbuhan dan pembesaran fizikal untuk menjadi pemain bola sepak.

Pada masa sama, kanak-kanak tersebut mestilah diajar kemahiran asas bermain bola sepak se­perti menendang, menampan, mengumpan, menimbang dan berlari bersama bola. Isu guru tidak pandai bermain bola sepak sepatutnya tidak timbul, sebab guru boleh mendapatkan khidmat kepakaran daripada masyarakat sekeliling. Ramai rakyat Malaysia boleh bermain bola sepak yang bermaksud di persekitaran sekolah ramai pemain bola sepak yang boleh mengajar asas permainan bola sepak kepada kanak-kanak tadika. Dalam konteks ini jugalah kerjasama sekolah dan masyarakat dalam membangunkan sukan bola sepak negara sa­ngat dituntut.

Selain pemimpin dan guru sekolah perlu melindungi waktu instruksional, mereka juga perlu memastikan fenomena guru sebiji bola tidak lagi wujud. Guru sebiji bola merujuk kepada situasi guru yang mengajar PJK memberi bola kepada sekumpulan pelajar pada waktu PJK dan mengarahkan mereka bermain bola sesama sendiri. Guru terbabit hanya berdiri di tepi padang tanpa memberi sebarang tunjuk ajar kepada pelajar sama ada aspek pemanasan badan, keselamatan di padang apatah lagi mengajar kemahiran ter­tentu dalam permainan yang menggunakan bola seperti bola sepak, bola tampar dan bola baling.

Diakui memang tidak ramai guru terlatih secara profesional dalam bidang sukan tertentu di sekolah namun alternatif seperti melibatkan pelajar senior membimbing pelajar junior boleh dilaksanakan. Pelajar yang mewakili sekolah, daerah, negeri dan negara juga boleh dilibatkan dalam membantu pelajar yang baru menceburi bidang sukan tertentu. Begitu juga melibatkan sukarelawan setempat yang mahir dalam bidang sukan untuk turut serta dalam pembangunan sukan di sekolah.

Menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) jumlah waktu pengajaran PJK telah ditambah. Penambahan waktu tersebut menunjukkan kerajaan serius untuk menjadikan sekolah sebagai tapak asas dalam melahirkan atlet bertaraf dunia. Oleh itu, waktu tersebut mestilah dimanfaatkan secara optimum. Usahlah menjadikan amalan kebiasaan iaitu menafikan hak pelajar-pelajar yang ingin aktif bersukan tetapi disekat kerana mereka berada di darjah enam, tingkatan tiga, tingkatan lima dan tingkatan enam atas berdasarkan justifikasi mereka berada pada tahun mengambil peperiksaan penting.

Alasan sedemikian sebenar­nya telah sekian lama tidak lagi boleh diguna pakai. Banyak kajian menunjukkan bahawa tahap kecergasan dan kecerdasan adalah berkadar langsung. Semakin aktif individu dalam sukan semakin bijak individu tersebut dalam pelajaran. Atlet wushu negara, Chai Fong Wei yang menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia menyatakan bahawa penyertaannya dalam sukan wushu banyak membantunya meningkatkan daya ingatan dan fokus dalam pelajaran semenjak usia 13 tahun lagi. Ini membuktikan sekolah adalah tempat di mana kecemerlangan sukan bermula.

Usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengadakan pertandingan sukan peringkat kebangsaan dalam kalangan pelajar Tadika Kemas mestilah mendapat sokongan daripada semua pihak seperti para penaja dan media massa. Sewajarnya pertandingan sukan peringkat kebangsaan yang melibatkan kanak-kanak tadika ini juga disiarkan secara langsung dan mendapat ganjaran yang setimpal. Merekalah pewaris kelangsungan kecemerlangan sukan negara di pe­ringkat Olimpik dan dunia.

Semoga dengan persediaan semua pihak terutamanya pihak sekolah, peluang untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Olim­pik dapat direalisasikan. Bukan sahaja menjadi tuan rumah tetapi atlet Malaysia dapat menuai ba­nyak pingat emas. Kejayaan memperoleh 10 pingat emas pernah kita raikan semasa menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Ayuh kita ulangi kejayaan tersebut de­ngan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Malaysia Boleh!

PROFESOR DR. AHMAD ESA ialah Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.