NANCY SHUKRI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DA TUK SERI NAN CY SHUKRI yang memegang portfolio di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan bertanggungjawab membentangkan akta tersebut memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI menerusi temubual eksklusif di kediamannya di ibu negara barubaru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk Seri jelaskan sedikit kelebihan Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini?

Tujuan utama akta ini adalah membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi dengan membolehkan mereka menggunakan konsep lama dan aplikasi e-hailing bagi mendapatkan pe­langgan.

Kaedah lama iaitu beratur, menunggu dan mengambil penumpang di tepi jalan manakala kaedah baharu adalah menggunakan aplikasi e-hailing yang mendapatkan penumpang melalui telefon mudah alih.

Kenapa kerajaan khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meminda akta ini?

Sebab kita tidak mahu pemandu teksi di negara ini terus ketinggalan kerana penggunaan aplikasi e-hailing ini telah diterima baik dan digunakan di seluruh dunia malah ia adalah trend dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, kita juga mahu pendapatan pemandu teksi me­ningkat berbanding sebelum ini yang hanya cukup-cukup makan kerana terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi seperti mi­nyak dan NGV ekoran meronda-ronda mencari pelanggan.

Malah, akta ini juga memboleh­kan semua pemandu teksi, Grab dan Uber bersaing di landasan yang sama secara adil kerana penguatkuasaan undang-undang turut terpakai kepada pemandu baharu tersebut.

Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai bersaing di padang yang rata secara adil?

Ya, mereka bersaing dalam mendapatkan pelanggan tanpa terkecuali untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, perlindungan insurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kad pemandu.

Kita tahu memang ada dalam kalangan pemandu Uber dan Grab merungut apabila kerajaan menetapkan peraturan ini de­ngan beranggapan ia menyusahkan. Hakikatnya inilah dakwaan pemandu teksi biasa mengenai ‘layanan tidak sama rata’.

Jadi, apa yang terpaksa dihadapi pemandu teksi biasa turut dikenakan terhadap Grab dan Uber, tanpa berkompromi. Jadi, tiada lagi alasan mengatakan kerajaan pilih kasih dan sebagainya dalam membantu semua pihak.

Adakah akta baharu ini dapat menyelesaikan persengketaan antara pemandu teksi konvensional dengan pemandu Uber dan Grab?

Sebenarnya, terdapat 11 inisiatif di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) dan kesemuanya diterima baik oleh pemandu teksi biasa kecuali satu iaitu menolak kehadiran Uber dan Grab dalam industri.

Atas alasan Grab dan Uber telah mengakibatkan pendapatan mereka berkurangan, sedangkan 50 peratus penumpang yang menggunakan aplikasi e-hailing adalah pengguna baharu pengangkutan awam. Malangnya pemandu teksi yang cenderung menggunakan aplikasi tersebut hanya 14 peratus.

Jadi, jika pemandu teksi menyatakan Uber dan Grab ‘mencuri’ pelanggan mereka, itu tidak betul sebab pelanggan teksi konvensional itu adalah pelanggan yang tidak menggunakan aplikasi e-hailing. Yang menggunakan aplikasi itu adalah pengguna baharu.

Berhubung isu permit dan sistem pajak dengan syarikat teksi, bagaimana akta baharu ini dapat membantu pemandu teksi?

Sebenarnya syarikat teksi ini bukan majikan ke atas pemandu teksi. Sebaliknya mereka berperanan sebagai pemudah cara dalam membantu pemandu teksi dahulu mendapatkan kemudahan pinjaman kenderaan yang dikenali sebagai sistem pajak.

Malangnya, sistem ini bersifat berat sebelah dan tidak menjaga kebajikan pemandu teksi. Atas sebab itu melalui akta baharu ini kerajaan mengeluarkan permit teksi individu baharu dan memberi bantuan geran sebanyak RM5,000 kepada pemandu teksi yang layak.