Dan baru-baru ini pula iaitu pada 22 Januari lalu, sebuah pasar pagi dikenali sebagai Pasar Pimolchai dibom mengakibatkan kematian tiga orang serta men­cederakan 20 yang lain.

Sebenarnya kejadian itu berlaku hanya dua hari selepas lapan wartawan mewakili Kelab Media Elit Kedah (KMEK) mengadakan pertemuan dengan Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Tentera Diraja Thailand (RTA), Leftenan Jeneral Piyavat Nakvanich di Kem Sirin­dhon dekat Yala.

Jujurnya ketika melalui pusat bandar itu untuk ke Kem Sirin­dhon, memang tidak terfikir bahawa kawasan yang disusuri itu akan dibom oleh pihak pembe­rontak dalam tempoh terdekat.

Mengulas mengenai kedudukan semasa di situ, komander ten­tera yang mempunyai kuasa tertinggi di 14 wilayah selatan Thailand itu tidak menafikan tentang kewujudan puak-puak bersenjata yang sentiasa mahu ­melakukan kacau-bilau atas se­bab tertentu.

“Namun keadaan sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Bo­leh saya katakan segalanya jauh lebih terkawal dengan kumpulan-kumpulan pemberontak seperti Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) dan Barisan Re­volusi Nasional (BRN) sudah tidak lagi wujud sebaliknya hanya tinggal nama,” katanya.

Di sebalik insiden keganasan itu, sehingga ke hari ini seramai 158 pemberontak meletakkan senjata dan menerima tawaran untuk berdamai dengan rata-rata mereka sedar akan kepentingan menjaga kedaulatan negara Gajah Putih itu dalam keadaan masing-masing ti­­dak dihalang untuk mengamalkan kepercayaan beragama.

Mengulas lanjut individu ber­ke­naan berkata, keadaan itu se­dikit sebanyak membantu me­ngurangkan sehingga 45 peratus insiden keganasan untuk tahun lalu berbanding 2016 dan insiden keganasan yang direkodkan antara Oktober 2017 hingga awal bulan ini juga berkurangan kepada 72 peratus.

Tinjauan yang dijalankan pihak tentera mendapati sebanyak 95 peratus penduduk di wilayah bergolak menolak segala bentuk keganasan yang ditimbulkan dan mahu hidup dalam keadaan aman damai. Selain itu, tokoh-tokoh agama Islam di sini juga kebanyakannya bersama pihak tentera dan menjalin hubungan cukup erat.

“Malangnya, ada dalam ka­langan individu tertentu yang membuat dakwaan palsu dan memanaskan keadaan bukan atas dasar atau kerana mereka memperjuangkan agama sebaliknya untuk maksud lain,” katanya.

Hakikatnya rakyat di negara ini berpeluang untuk mempelajari sesuatu daripada apa yang berlaku di Selatan Thailand. Perpecahan dalam kalangan umat Islam walaupun mereka hanyalah minoriti di negara itu menyebabkan keamanan yang diimpikan selama ini, tampak masih jauh daripada genggaman.

“Kumpulan-kumpulan kecil ini masing-masing mendakwa mereka mewakili majoriti masyarakat Muslim di selatan Thai. Jujurnya, saya sendiri tidak pasti dengan siapa sepatutnya kami berunding bagi mengatasi masalah ini dan perkara itu saya serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan yang menguruskannya.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, saya berani katakan kea­daan di sini sudah jauh berubah ber­banding dulu dengan para pen­duduk di sini termasuk puak pemisah yang sudah insaf, di­perkukuhkan ekonomi mereka me­nerusi projek tertentu dikenali sebagai ‘pemikiran diraja’.

“Namun bila keadaan akan pu­lih dan bebas sepenuhnya ­da­­ripada ancaman keganasan, sa­ya sendiri tidak boleh memberi ja­wapan,” katanya.