Begitu juga nasib orang Melayu dan bumiputera di Pulau Pinang serta Singapura yang dilihat dipinggirkan selain cuba disingkirkan.

Perkara itu disuarakan oleh Datuk Shaikh Abd. Halim Shaikh Salah Marie Alkathiri, seorang tokoh perniagaan Malaysia yang lebih 30 tahun bermastautin di Arab Saudi. Beliau yang juga Pengurus Al-Massa Crystal yang berpangkalan di negara itu berkata, perpecahan dalam kalangan negara Arab adalah antara sebab mengapa musuh-musuh Islam berani bertindak biadab, sebagaimana Israel.

Katanya, Israel kuat bukan disebabkan mereka benar-benar hebat tetapi di­sebabkan negara Arab tidak bersatu membantu Palestin.

Selain itu, katanya, Pa­lestin juga tidak bersatu dan berpecah kepada tiga kumpulan sehingga menyebabkan negara itu lemah.

“Ini wajar dijadikan pengajaran oleh orang Melayu Islam di Malaysia. Sudah-sudahlah berbalah sesama sendiri, yang lepas biarlah lepas, buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Ketika ini kita masih berkuasa, kerajaan ditunjangi oleh orang Melayu dan Islam. Bayangkan kalau kita hilang kuasa itu hanya kerana perbalahan sesama sendiri, tengoklah Melayu di Pulau Pinang dan Singapura sebagai contoh terdekat,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shaikh Abd. Halim juga meminta orang Melayu menghargai bantuan serta sumbangan yang telah diberikan kerajaan sedia ada untuk membantu mereka. Ini kerana, tiada kerajaan di dunia ini yang membantu rakyatnya dari A sampai Z sebagaimana dilaksanakan oleh Malaysia.

Katanya, kerajaan juga memberi pelbagai bentuk bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertujuan sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat secara bersasar.

“Di Malaysia, kerajaan bantu dari awal sampai akhir. Kalau nak buka kedai kek, kerajaan ada beri bantuan modal, bantuan latihan, kursus sampai boleh berdikari dalam perniagaan. Negara lain tidak bantu sampai tahap itu. Jadi, bersyukurlah kepada Allah dengan nikmat yang diberikan ini, sebuah kerajaan yang membantu rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam untuk bersaing dan sama-sama berjaya,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai jemaah haji Malaysia, Shaikh Abd. Halim yang turut bertanggungjawab menguruskan haji individu kenamaan di negara itu memberitahu bahawa jemaah Malaysia dipandang tinggi oleh Raja Arab Saudi. Jemaah negara dipuji kerana sopan dan mengikuti disiplin ditetapkan ketika melaksanakan ibadah itu.

“Baginda juga meminta jemaah-jemaah lain supaya mencontohi jemaah Malaysia,” ujar beliau.

Untuk musim haji kali ini, beliau berharap segala urusan jemaah Malaysia berjalan lancar serta mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Tabung Haji. Beliau juga menyatakan kesediaan membantu jemaah negara yang mengalami kesulitan sepanjang melaksanakan ibadah haji.