Pada 2019 yang akan menjelang, wacana dan perdebatan mengenai hal-hal tersebut akan diteruskan dalam semua saluran media massa, khususnya, media sosial. Berita-berita benar dan palsu akan terus tersebar, cuma rakyat tak mampu memastikan yang mana benar dan palsu. Ini mengakibatkan kemelut minda dan persepsi mengenai hal-hal penting negara bertambah kalut.

Dengan turunnya kadar kemiskinan di Malaysia daripada 50 peratus pada 1970 ke kira-kira 1 peratus pada 2015 dan berjayanya penstrukturan semula masyarakat dari segi peningkatan hak milik modal bumiputera yang kini hampir 30 peratus, rakyat Malaysia telah menikmati peningkatan kualiti hidup yang membawakan tiga impak besar.

Pertama, rakyat merasa hidup lebih selesa dan menjadikan mobiliti sosial, iaitu, meningkatkan taraf kehidupan dan gaya hidup, sebagai sasaran utama kehidupan mereka sebagai individu, keluarga dan komuniti. Wahana utama untuk mencapai mobiliti sosial berkenaan adalah pendidikan. Maka ibu bapa melabur besar dalam pendidikan, seperti memastikan anak-anak mengikuti tuisyen berbayar.

Kedua, rakyat merasa lebih yakin dan berani untuk menyuarakan pandangan dan kritikan mengenai pelbagai hal melalui beberapa pelantar media massa, terutamanya dalam media sosial. Perkembangan keterbukaan dalam wacana nasional bermula pada 1998 ketika gerakan Reformasi dilancarkan ke seluruh negara dan kemuncaknya pada PRU-12, pada 2008, berlanjutan sehingga PRU-14, 2018.

Ketiga, walaupun beberapa kesukaran timbul daripada perbezaan antara komuniti etnik di Malaysia peningkat kesepaduan sosial dirasakan oleh rakyat. Masyarakat Malaysia ternyata terus stabil, harmoni, aman dan selesa. Malah Malaysia dijadikan contoh dan pujian negara-negara lain di dunia.

Bukti yang paling jelas yang pernah mendapat perhatian dunia adalah apa yang berlaku dan tak berlaku pada PRU-14, yang membawakan perubahan kerajaan, dengan tumbangnya kerajaan lama yang memerintah lebih 60 tahun. PRU-14 adalah satu-satunya pilihan raya di dunia pada 2018 tanpa sebarang keganasan dan pertumpahan darah berlaku semasa ia berjalan. Semuanya berjalan lancar secara aman, keadaan masyarakat dan politik stabil serta harmoni, dan kedudukan ekonomi terus mantap.

Di negara lain yang mengadakan pilihan raya masing-masing pada 2018 mengalami keganasan dan mengorbankan banyak nyawa. Ini berlaku di Bangladesh, Brazil, Cameroon, Filipina, Pakistan, Sierra Leone, Republik Congo, Lebanon, Libya, Mauritania, Nigeria, Guinea, Venezuala dan Zimbawbe.

Apakah sebenarnya anak kunci kepada kejayaan Malaysia menghindari konflik terbuka berdarah dan keganasan berlaku pada PRU-14? Jawabnya ialah perpaduan.

Timbul soalan susulan, apakah yang dimaksudkan dengan perpaduan dan bagaimana Malaysia melestarikan perpaduan semenjak berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, iaitu hampir 50 tahun?

Perpaduan bermaksud kesatuan masyarakat yang diidamkan sebagai menjadi matlamat akhir negara Malaysia yang berbilang etnik. Malah matlamat ini masih merupakan suatu idealisme kerana ia belum kita capai sepenuhnya kerana perbezaan antara etnik terus berlaku. Dari waktu ke waktu tercetusnya detik-detik perbezaan seperti peristiwa Kuil Sri Maha Mariamman yang melimpah ke luar kuil sehingga menggusarkan sebuah negara.

Namun detik-detik perpaduan terus juga muncul dengan kerap dari waktu ke waktu yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh melupakan seketika perbezaan antara mereka. Apabila pasukan bola sepak Malaysia menang mengalahkan pasukan Thailand tempoh hari seluruh Malaysia bersatu terdengar bergegar sorak kegembiraan. Detik perpaduan ini lebih kita rasakan keintimannya apabila datangnya Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Gawai dan Keamatan kerana ketika itu semua rakyat Malaysia merayakannya bersama-sama.

Maka Malaysia terus wujud dan meniti buih-buih perpaduan, antara detik-detik perbezaan dan detik-detik perpaduan, untuk lima dekad lalu. Keadaan ini memaparkan keadaan sebenarnya yang wujud di Malaysia, bukan suatu perpaduan unggul yang diidamkan tetapi kesepaduan sosial iaitu keadaan aman, stabil, makmur, harmoni dan sejahtera berterusan dalam kalangan komuniti berbilang etniknya.

Tersulam dalam kesepaduan ini adalah lompang-lompang perbezaan yang perlu diurus. Ertinya wujud dalam kesepaduan sosial itu semacam social deficit, atau perbezaan sosial yang terbaki. Ini terdapat dalam ruang-ruang berikut; ekonomi, pendidikan, agama, antara generasi tua-muda, antara wilayah bandar dan desa, antara gender, dan antara kelas sosial yang berada, yang senang dan yang susah. Semuanya ini perlu diselesaikan seboleh dan secepat mungkin dengan penuh keprihatinan di semua pihak.

Usaha mencari titik pertemuan, atau tapak integrasi, guna menyelesaikan rangkaian social deficit ini tidak mudah sama sekali, seperti menarik rambut dalam tepung. Kadang-kadang perlu usaha yang bertubi-tubi. Usaha ini diungkapkan sebagai langkah penyatupaduan. Ia dilaksanakan dengan melibatkan dua atau beberapa pihak berasaskan tiga prinsip berikut, iaitu, tawar-menawar, perundingan dan pengantaraan (bargaining, negotiation, mediation). Inilah formula kejayaan Malaysia yang dijadikan contoh sedunia.

Menjelmanya 2019 dan ketika meniti sepanjang tahun nanti pasti pemerintah dan rakyat Malaysia akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Ternyata selama 50 tahun lalu the mother of all challenges, atau ibu kepada semua cabaran, di Malaysia adalah mengekalkan dan melestarikan perpaduan dan penyatupaduan. Usaha ini mesti diteruskan.

Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin ialah penganalisis isu sosiopolitik kini bertugas di Institut Kajian Etnik (Kita), UKM.