Konsep rezeki yang dianuge­rahkan oleh Allah kepada individu tertentu bukan hak milik mutlak untuk dirinya sahaja tetapi adalah rezeki yang perlu diagihkan kepada individu yang tidak mempunyai kemampuan. Perkara ini dijelaskan oleh Allah­ dalam surah al-Baqarah ayat 254 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepada mu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir adalah orang yang zalim.”

Cara membayar zakat adalah bebas untuk dilaksanakan oleh setiap individu Islam. Kerajaan tidak berhak memaksa umat Islam membayar zakat hanya melalui baitulmal. Pada zaman Rasulullah SAW dan peringkat awal Islam zakat dibayar sendiri oleh pemberi zakat kepada individu yang layak. Ketika zaman kegemilangan Islam, baitulmal berperanan penting dalam me­ngatasi permasalahan ekonomi dan masyarakat. Pengendalian dan pelaksanaan sistem kewa­ngan baitulmal lebih tersusun, sistematik dan berkesan. Setiap individu yang mengendalikan institusi tersebut adalah proaktif dan peka terhadap suasana dan permasalahan yang dihadapi oleh negara dan masyarakat.

Peranan Baitulmal ketika itu bukan sekadar mengagihkan wang zakat malah merangkumi aspek ekonomi, kestabilan politik dan keselamatan negara. Contohnya pada zaman Saidina Uthman, kutipan zakat dinaikkan kerana ketika itu negara memerlukan sumber kewangan yang lebih untuk mempertahankan wilayah Islam daripada diserang oleh musuh terutamanya Byzantine yang merancang menyerang Mesir. Oleh itu kelengkapan ketenteraan perlu ditambah dan diperbaiki.

Dalam konteks Malaysia kini, peranan baitulmal hanya berlandaskan kepentingan umat Islam dan dakwah sahaja. Sumber kewangan yang dimiliki oleh institusi ini adalah hasil kutipan zakat daripada umat Islam dan juga pelaburan yang dikendalikan oleh institusi tersebut. Sepatutnya pe­ranan baitulmal lebih tertumpu kepada permasalahan kemiskinan dan keperluan umat Islam terutama ketika negara mengalami krisis ekonomi yang teruk.

Setiap individu yang me­ngendalikan urusan berkaitan kebajikan sepatutnya lebih peka kepada penderitaan masyarakat Islam terutama berkaitan keperluan asas dalam kehidupan seharian. Bukannya mempertahankan peraturan yang terlalu rigid dan kerenah birokrasi yang menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi tersebut.

Persoalannya adakah peraturan itu bertepatan dengan konsep pungutan zakat dalam Islam? Kegiatan ajaran sesat dan individu yang menyalahgunakan konsep kutipan zakat boleh dibanteras secara menyiarkannya dalam media massa demi memberi kesedaran kepada umat Islam. Perundangan yang diper­kenalkan dengan hukuman keras terhadap individu tanpa tauliah yang mengutip zakat dan seumpamanya menyebabkan umat Islam tidak berani untuk me­ngumpul wang daripada individu Islam secara spontan bagi mengatasi masalah saudara Islam yang terdesak memerlukan bantuan kewangan segera.

Jika setiap aspek berkaitan dengan kebajikan masyarakat perlu melalui baitulmal dan institusi kebajikan kerajaan maka proses untuk membantu individu yang malang memakan masa lama terutamanya jika kakitangan dan pegawai yang bertugas di baitulmal itu pasif dan tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab. Sikap dan mentaliti mereka inilah yang sering menjadi kritikan dan rungutan masyarakat awam.

Jika pelaksanaan baitulmal tidak menepati institusi kebajikan malah lebih mirip kepada institusi kewangan yang memerlukan masa untuk memproses permohonan kerana terikat de­ngan birokrasi dan peraturan yang jumud maka boleh menyebabkan umat Islam kurang yakin terhadap baitulmal lantas menghakis kewibawaan baitulmal sebagai satu institusi kebajikan yang tersusun dan dihormati.

Baitulmal sepatutnya menunjukkan sikap proaktif dan lunak kepada golongan yang memerlukan bantuan dengan segera. Institusi tersebut perlu mengge­rakkan kakitangannya dari pe­ringkat atasan sehingga bawahan supaya lebih bertanggungjawab dan aktif menyelami permasalahan masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ramai umat Islam berada dalam keadaan terdesak untuk memenuhi keperluan asas dalam kehidupan.

Oleh itu jadikanlah baitulmal sebagai institusi kebajikan umat Islam yang mesra pelanggan dan proaktif supaya orang miskin dan memerlukan bantuan mudah mendampingi baitulmal bagi menyelesaikan permasalahan mereka seberapa segera.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).