PU Azman antara pendakwah terkenal dalam media sosial melalui
PU Azman antara pendakwah terkenal dalam media sosial melalui pendekatan dakwah santai berjaya menarik perhatian golongan muda. – GAMBAR HIASAN

Apakah yang dimaksudkan dengan tekno-da‘i? Secara mudah, istilah ini adalah gabungan dua perkataan yang mempunyai asal-usul dari dua bahasa yang berbeza. Istilah ‘tekno’ diambil daripada istilah bahasa Inggeris techno yang dapat dikesan asal-usulnya daripada bahasa Yunani (Greek) iaitu technē yang boleh ditakrifkan sebagai seni, kaedah atau kemahiran dalam melakukan sesuatu. Da‘i pula diambil daripada bahasa Arab yang lazimnya diterjemahkan sebagai pendakwah.

Maka, apabila digabungkan kedua-dua istilah yang berasal daripada dua bahasa berbeza ini, kita boleh menyimpulkan bahawa tekno-da‘i ialah golongan pendakwah yang menggunakan seni, kaedah atau kemahiran tertentu untuk me­nyampaikan risalah Islam.

Seni, kaedah atau kemahiran ini boleh merujuk kepada pelbagai perkara termasuklah penggunaan teknologi, aplikasi, perisian dan perkakasan mo­den dalam kerja-kerja dak­wah.

Islam adalah agama dakwah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia demi kesejahteraan manusia dunia dan akhirat seperti firman Allah SWT menerusi ayat 107 Surah al-Anbia’ yang membawa maksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Ini menunjukkan kepentingan bagi Islam disebarkan melalui jalan dakwah. Hari ini kita menyaksikan hampir 1.6 bilion manusia yang menganut agama Islam di seluruh pelosok dunia. Ini bukti jelas kejayaan proses dakwah yang dijalankan selama ini oleh golongan pendakwah dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah yang difikirkan sesuai dengan bangsa, tempat dan masa tertentu.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 125 Surah al-Nahl yang membawa maksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ayat ini menggariskan tiga pendekatan dakwah iaitu de­ngan menggunakan hikmah kebijaksanaan, memberi nasihat pengajaran yang baik dan berbahas menggunakan cara yang lebih baik. Jika dilihat kepada ketiga-tiga pendekatan ini, wujud satu keperluan bagi umat Islam untuk menggunakan ka­edah-kaedah terkini bagi tujuan dakwah terutamanya dalam zaman media sosial yang mencabar hari ini.

Hakikat kehidupan hari ini ialah manusia tidak dapat lari daripada bergantung dan menggunakan teknologi. Dalam kata lain, kehidupan manusia hari ini berkisar de­ngan teknologi, iaitu bersifat teknosentrik. Menyesuaikan pendekatan dakwah dengan realiti semasa menuntut umat Islam melahirkan golongan pendakwah yang dinamakan tekno-da‘i ini.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tekno-da‘i ini seorang individu yang mempunyai pengetahuan agama dan pada waktu yang sama mempunyai pengetahuan me­ngenai teknologi. Hakikatnya golongan tekno-da‘i dalam konteks abad ke-21 ini boleh dibentuk sebagai satu jemaah yang mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri.

Di dalam jemaah itu, terdapat orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama di hadapan tabir yang menyampaikan mesej amar maaruf nahi munkar. Dia disokong pula oleh beberapa individu di belakang tabir yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang teknologi yang menyediakan bahan dakwah dalam bentuk yang inovatif, interaktif dan menarik untuk disampaikan kepada orang ramai menggunakan pendekatan dan aplikasi teknologi terkini.

Dalam perkataan lain, golongan tekno-da‘i ini sebenarnya sekumpulan individu yang mempunyai latar belakang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu iaitu ingin menegakkan syiar dan syariat Islam yang mengajak manusia ke jalan kebenaran. Ini satu kerjasama pintar yang membentuk sinergi di antara golongan agama de­ngan golongan teknologis.

Tanggungjawab menjalankan dakwah adalah tanggungjawab semua orang Islam. Dakwah tidak boleh dipertanggungjawabkan di atas bahu satu-satu pihak sahaja. Dalam konteks tekno-da‘i, ini membuka peluang kepada mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi untuk turut sama berdakwah dengan bekerjasama dengan golongan alim ulama dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.

Aplikasi media sosial semakin popular hari ini. Maka, pendakwah boleh memanfaatkan media sosial untuk berdakwah. Banyak bahan dakwah boleh dimuat naik dan dikongsi menerusi media sosial. Memandangkan media sosial amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, media sosial menjadi satu wadah yang boleh mendekatkan pendakwah kepada masyarakat siber.

Generasi hari ini ialah generasi celik teknologi. Bagi menghampiri golongan ini, pendekatan terkini perlu dimanfaatkan. Atas sebab ini, perlu ada golongan pendakwah yang bijak dan selesa berdakwah dalam media sosial. Mereka ini tidak semestinya pakar dalam menggunakan ICT tetapi memadai mempunyai keupayaan memanfaatkannya bagi menjalankan tugas-tugas amar maaruf nahi munkar.

Malah sekiranya bekerjasama dengan mereka yang pakar mengenai teknologi media sosial, manfaat yang akan diperoleh oleh gerakan dakwah Islamiah adalah lebih besar.

PENULIS ialah Felo Kanan/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).