Ibarat sebutir bom yang tiba-tiba meletup, PPBM Perlis terus menjadi perhatian netizen.


Tidak cukup dengan itu, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membongkar pernah ditawarkan sejumlah wang besar untuk ‘mengatur’ pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan jutaan ringgit kepada syarikat melibatkan anak pemimpin PPBM Perlis.


Kesemua ini ‘timbul’ menerusi kenyataan enam perenggan diedarkan kepada media, beberapa jam selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu digugurkan daripada jawatan setiausaha parti negeri.


Dalam kes sewa kenderaan itu, nama beliau telah digunakan untuk tujuan penipuan berkenaan.


Ini bermakna jika tidak digugurkan (jawatan setiausaha), mungkin ramai yang tidak tahu menahu mengenai apa yang berlaku di dalam PPBM Perlis.


Maka timbullah desakan demi desakan untuk Wan Saiful dikenakan tindakan. Alasannya kerana beliau kononnya telah ‘mencemar’ dan membuka aib parti.


Adakah membongkar penipuan itu merupakan sesuatu pengkhianatan kepada parti. Bukankah individu seperti Wan Saiful inilah yang Malaysia Baharu perlukan?


Bukannya pemimpin yang terus menerus memasuki dunia politik bagi mengejar projek dan mengumpul kekayaan demi kekayaan untuk diri, anak dan keluarga.


Sebaliknya orang ramai kini menunggu apa tindakan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah kesemua rahsia yang sebelum ini tersimpan rapi, kini terbuka.


Tiba-tiba teringat pula kisah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga didesak meletakkan jawatan baru-baru ini.


Ia juga berkaitan dengan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan dalam perhimpunan agung tahunan parti itu. - UTUSAN ONLINE