ICJ bagaimanapun tidak membuat keputusan mengenai kedaulatan ke atas Tubir Selatan (South Ledge). Mahkamah telah menolak hujah Singapura bahawa Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara kolektif adalah milik Singapura.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan hasrat bagi membina pulau buatan di Batuan Tengah. Apa perlunya kita membina pulau buatan di batu maritim yang telah menjadi milik kita?

ICJ telah pun menamatkan pertikaian perebutan ke atas Batu Puteh di antara Malaysia dan Singapura. Sebelum kedaulatan ke atas Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura, kerajaan Singapura tidak boleh membuat sebarang tuntutan wilayah perairan di kawasan Laut China Selatan kerana wilayah induk negara tersebut dikelilingi wilayah Johor di kedua-dua sisi daerah Pontian di Barat dan daerah Mersing di Timur. Di sebelah selatan menghadap Selat Singapura, negara tersebut berbatasan dengan Pulau Batam dan Pulau Bintan, Indonesia.

Kini, senarionya sudah sedikit berubah. Berikut adalah pertikaian susulan yang boleh lahir daripada keputusan ICJ ini. Pertama, walaupun Batu Puteh milik Singa­pura, adakah perairan di sekitarnya juga milik Singapura atau kekal milik Malaysia? Kedua, negara manakah yang akan memiliki Tubir Selatan?

Persoalan-persoalan ini wajar dijawab dengan merujuk kepada kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Me­ngenai Undang-Undang Laut Antarabangsa (LOSC). Malaysia dan Singapura adalah negara-negara anggota bagi LOSC.

Walaupun Batu Puteh milik Singapura, adakah perairan di se­kitarnya juga milik Singapura atau kekal milik Malaysia? Keputusan ICJ menetapkan bahawa Batu Puteh milik Singapura. Akan tetapi, pihak ICJ tidak menyatakan secara terang-terangan bahawa perairan di sekitarnya juga menjadi milik Singapura.

Sekiranya hanya Batu Puteh milik Singapura dan perairan sekitarnya milik Malaysia, Singa­pura tidak boleh membuat tuntutan maritim di perairan sekitar Batu Puteh kerana ia kekal di bawah kedaulatan Malaysia.

Namun begitu, sekiranya kedaulatan Singapura mencakupi Batu Puteh dan perairan sekitar­nya, Singapura berhak menuntut 12 batu-nautika wilayah laut dari pesisiran Batu Puteh seperti yang termaktub dalam Artikel 121 (3) LOSC. Tuntutan ini pasti akhir­nya akan bertindih dengan wilayah laut Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan tersebut.

Bagaimanapun, pihak Singapura tidak boleh menuntut zon ekonomi eksklusif (ZEE) kerana Batu Puteh bukanlah sebuah pulau tetapi ha­nyalah batuan yang tidak boleh menjana ekonominya sendiri.

Jarak antara Batuan Te­ngah dan Batu Puteh adalah lebih kurang satu kilometer dari satu sama lain. Oleh kerana sesebuah negara boleh menuntut wilayah perairan seluas 12 nautika batu, sudah pasti tuntutan wilayah di antara Malaysia dan Singapura boleh bertindih di kawasan ini.

Sekiranya tuntutan seperti ini berlaku, adalah baik sekiranya ke­dua-dua negara dapat mencari formula untuk membahagikan wilayah perairan ini secara equitable atau saksama, iaitu dengan melukis garis tengah yang membahagi di antara kedua-dua Batuan Tengah (Malaysia) dan Batu Puteh (Singapura).

ICJ telah menetapkan pada 2008 bahawa Batu Puteh berada di bawah kedaulatan Singapura manakala Batuan Tengah di­sahkan milik Malaysia. Pihak ICJ tidak membuat keputusan jelas dan muktamad mengenai kedudukan Tubir Selatan, ciri maritim yang hanya muncul wak­tu air surut, kerana ia terletak di kawasan perairan bertindih di an­tara Semenanjung Malaysia, Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Artikel 3 LOSC menyebut mana-mana negara berdaulat layak mewujudkan wilayah perairannya sehingga 12 nautika batu (22 kilometer) dari garis dasar (baseline) wilayah daratnya. Setelah memiliki Batu Puteh secara sah pada 2008, seperti Malaysia dan Indonesia, Singapura boleh menuntut hak perairan di kawasan tersebut.

Oleh kerana kedudukan Tubir Selatan yang lebih dekat dengan Batuan Tengah, Malaysia mempunyai peluang yang lebih besar untuk memilikinya.

Jadi, apa perlu Malaysia membina pulau buatan di Batuan Te­ngah? Rancangan membina pulau buatan ini ada baiknya kerana ada yang berpendapat ia akan memperkukuh kedaulatan Malaysia di kawasan tersebut, yang sememangnya adalah sebahagian daripada jalur utama aliran perkapalan sedunia. Namun, apa perlu Malaysia memperkukuh kedaulatannya di batuan yang memang telah menjadi miliknya?

Tidak seperti Singapura yang berkemungkinan besar tidak dapat menuntut ZEE di Laut China Selatan kerana Batu Puteh ha­nyalah sekadar batuan, Malaysia boleh menuntut ZEE diukur dari tanah besar Johor yang terletak tidak jauh dari situ.

Dengan keadaan kewangan negara yang dikatakan oleh kerajaan sendiri dibebani hutang, daripada membina pulau buatan, adalah lebih baik Malaysia menumpukan perhatian menyelesaikan masalah sempadan maritim di antara Batu Puteh dan Batuan Tengah. Selain itu, adalah lebih penting juga bagi Malaysia menggunakan sumber yang ada bagi mendapatkan Tubir Selatan yang sehingga kini masih belum berkesudahan kedaulatan ke atasnya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).