Terkenang-kenang kehilangan pesawat MH370 dari KLIA ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 yang masih belum ditemui. Ketika MAS masih terkial-kial dengan pengurusan baharu, kelmarin Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin menuntut MAS menarik balik semua pemecatan 6,000 pekerjanya dalam tempoh 48 jam.

Menurut Ismail, pihaknya memberikan masa selama dua hari itu bagi menggesa MAS membatalkan segala terma serta perjanjian melalui surat pemecatan tersebut dan bertemu dengan NUFAM untuk merundingkan semula tawaran baharu kepada semua pekerja terlibat.

Sebagai penumpang MAS penulis faham situasi dan perasaan kakitangan yang diberhentikan. Mereka yang terlibat pasti kecewa kerana pampasan yang ditawarkan tidak memenuhi harapan.

Oleh sebab itu, NUFAM mahu pengurusan MAS yang baharu membatalkan surat terdahulu. Mereka minta dirunding semula dengan pihak NUFAM supaya diberi tawaran yang lebih setimpal ke­pada semua pekerja.

Maksud kenyataan daripada NUFAM itu lebih kurang dalam tempoh 48 jam bermula 9 Jun dan MAS gagal menarik balik surat-surat pemberhentian kerja kepada 6,000 daripada 20,000 pekerjanya maka mereka akan menjalankan protes.

Penulis perhatikan setakat semalam, layanan kakitangan di kaunter berjalan seperti biasa. Masih ada senyuman di sebalik tekanan yang mereka tanggung.

Kepada mereka yang telah menerima surat tersebut barangkali tawakal dan memahami mereka sudah hilang pekerjaan dan seharusnya bertindak memohon pekerjaan lain yang bersesuaian.

Mengenang kerugian besar yang ditanggung oleh MAS sebelum ini, ditambah lagi kehilangan pesawat MH 370 dan nahas MH 17, tidak mungkin pihak kesatuan pekerja tidak mahu memahami kedudukan kewangan syarikat.

Fikirkan jika MAS bukan milik negara. Pasti pemiliknya sudah meminta pekerja mencari kerja lain dan perniagaan syarikat yang tenat itu ditutup sahaja.

Mujur MAS dan Khazanah sebagai pemilik tunggal MAS punya perikemanusiaan, mengambil kira kelangsungan hidup pekerjanya.

Jika MAS tidak mengurangkan lebihan kakitangannya dan memperkenalkan langkah-langkah berjimat, syarikat penerbangan akan berterusan menanggung kerugian mega dan wang pembayar cukai yang sepatutnya untuk program pembangunan akan terus dicurahkan untuk membantu operasi MAS.

Bentuk protes bagaimana yang akan dilancarkan. Adakah mogok dengan tidak melayan pelanggan di kaunter MAS? Untuk manfaat siapa mogok itu nanti?

Hakikatnya, MAS secara teknikalnya telah muflis dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christop R. Mueller telah mengatakan bahawa MAS akan menjadi entiti kecil dan tidak banyak peluang kerja untuk semua kakitangannya.

Mustahil dengan mendesak MAS mengekalkan kesemua pekerjanya boleh membawa MAS ke landasan keuntungan? MAS syarikat yang rugi tanpa perlu bangkit dengan kekangan kewangan yang terhad. Tidak wajar memenuhi permintaan yang menambah bebanan kewangan MAS. Adakah rakyat perlu menyalurkan dana lagi kemudian hari?

Adakah NUFAM hanya memikirkan kelangsungan pekerja sahaja tanpa mengambil kira sama ada MAS mampu berdiri tanpa tongkat? Hakikat sebenar ialah MAS sudah muflis. Cuma tidak diisytiharkan kerana sebab MAS mendapat dana daripada Khazanah.

Mereka yang diberhentikan pun ada peluang bekerja di syarikat penerbangan lain. Beberapa syarikat termasuk AirAsia, MAHB telah menawarkan untuk mengambil pekerja MAS. Oleh itu, tidak perlu dibebankan lagi kepada MAS.

Memang pil ubat untuk menyembuhkan ketenatan MAS itu pahit tetapi terpaksa juga ditelan kalau tidak syarikat penerbangan negara akan terus duduk dalam ICU sehingga mesin penyambung nyawa ditutup. Masa itu bukan hanya 6,000 pekerja malah 14,000 yang bakal hilang pekerjaan.

Kesatuan pekerja perlu bertanya diri sendiri kenapa keadaan 6000 pekerja jadi sasaran. Kesatuan mungkin terlepas pandang tentang perbelanjaan dan tuntutan kerja lebih masa yang tinggi, namun dikatakan tidak menjaga kebajikan pekerja.

Melihat suasana di KLIA semalam, tidak dapat dibayangkan kekecohan dan kelam-kabut operasi di pintu masuk utama negara ini jika mogok dilancarkan.

Bimbang kalau imej Malaysia pada mata masyarakat antarabangsa melalui perkhidmatan MAS bertambah buruk. Sejak peristiwa menimpa dua pesawat MAS, imej syarikat ini jatuh merudum.

Bayangkan kalau pelanggan yang jumlahnya ribuan tidak puas hati dan bertindak menyaman MAS. Siapa rugi?