UKE: Sunat mencium Hajarul Aswad kerana ia dilakukan oleh Nabi SAW. Cuma harus diingat apabila anda sedang berihram, berhati-hatilah di situ kerana kebiasaannya batu tersebut dilumuri wangian yang boleh mengganggu keadaan ihram anda.

 Jika keadaan tidak mengizinkan anda mencium Hajarul Aswad kerana pelbagai faktor, maka memadailah anda melakukan begini: 
* Menyentuh Hajarul Aswad dengan tangan kemudian mencium dan bertakbir. Ini adalah cara paling sempurna.
* Jika tidak boleh juga maka sentuhlah dengan tangan dan mencium tangan.
* Jika tidak mampu juga, maka sentuhlah dengan tongkat atau semacam itu, kemudian mencium bahagian yang tersentuh.
*  Jika tidak mampu juga, berisyarat dengan tangan dan bertakbir tetapi tidak mencium tangan.

Bila melihat keadaan sesaknya manusia ingin mencium Hajarul Aswad, saya rasa mana sempat dah hendak lap dan sebagainya, malah main kucup sahaja. Kalau anda boleh lap, silakan lap sebelum kucup. Tetapi pihak keselamatan pun sentiasa mengelap batu tersebut. Kena beringat jugalah jangan sampai menyakiti orang lain hanya semata-mata hendak mengucup batu tersebut.


Maksud Arafah 

Apakah maksud Arafah? Harap ustaz boleh beri penjelasan.
* Siti, Kuala Lumpur.

UKE: Arafah adalah sebuah padang  22 kilometer di Jabbal Rahmah. Jemaah haji berada di padang Arafah pada 9 Zulhijjah kerana menunaikan salah satu rukun haji.


Persoalan ibu susuan anak angkat

Saya mengambil anak angkat lelaki semasa usianya sehari. Semasa usianya sebulan, anak angkat ini diberi susu badan oleh adik kandung isteri saya hampir setiap hari selama sebulan. Persoalan saya, apakah hubungan bayi itu dengan adik isteri saya dan dengan isteri saya? Apakah boleh dianggap kedua-duanya ibu susuan dan sebagai mahram?
* Zek, Taiping.

UKE: Anak itu dengan anda menjadi anak saudara susuan. Dengan adik isteri anda, menjadi anak susuan. Maka tidak batal air sembahyang dengan isteri dan adik isteri anda.


Lain ditunjuk, lain dalam geran 

Saya ada membeli sebidang tanah kampung seluas suku ekar untuk tujuan membina rumah, menanam pokok buah dan menternak ayam. Tapi luas tanah dalam geran cuma 30 x 40 kaki persegi tak sampai suku ekar seperti tanah yang ditunjukkan semasa hendak beli dahulu. 
Apa yang saya tahu, tanah yang saya beli (tidak termasuk sukatan dalam geran) adalah milik saudara penjual tanah itu.
Apakah boleh saya bercucuk tanam dan membela ternakan di tanah yang tidak termasuk dalam geran itu dan apa hukumnya jika saya makan hasil yang saya usahakan itu?

* Din, Kuala Lipis.

UKE: Berdasarkan kenyataan anda, jelas jual beli anda ini meragukan. Sebab ditunjuk tanah lain tapi dijual tanah lain pula sukatannya. Persoalan ini dulu yang perlu diselesaikan dan bukan persoalan hendak berkebun yang diutamakan. 
Bincang balik dengan penjual dan duduk berbincang perkara sebenar. Bincang secara baik berapa harga sepatutnya jika saiz tanah yang dibeli lebih kecil daripada saiz tanah yang ditunjuk sebelum urusan jual beli. Jangan ada unsur tidak baik dalam proses jual beli itu.


Pakai tudung tapi masuk ke dalam baju  

Kawan saya bekerja sebagai pelayan untuk acara seperti perkahwinan. Dia diminta memasukkan tudung ke dalam baju semasa melakukan kerja untuk tujuan kekemasan dan kebersihan. Apa hukumnya wanita memakai tudung tetapi dimasukkan ke dalam baju?
* Halida, Seremban.

UKE: Di antara tujuan bertudung bagi wanita dan tudung itu pula melepasi dadanya, adalah untuk kebaikan wanita itu sendiri supaya dihormati dan tidak diganggu.Ia juga supaya lelaki memelihara penglihatan mereka.
Jika pakaian luar itu jenis longgar, keras seperti jaket atau ‘vest’yang tidak ketat dan tidak menampakkan bentuk dada si pemakai, maka tidaklah menjadi masalah.
Yang menjadi masalah ialah apabila tudung dipakai ke dalam baju yang ketat atau nipis sehingga menampakkan sesuatu di dada wanita itu. Maka itulah yang dibimbangi belum mencapai kesempurnaan penutupan aurat.